SLIDER

Bukan Mengeluh Dan Merungut, Hanya Ibu Sahaja Memahami Penat Lelahnya

4 Oct 2017



Bagi golongan yang belum berkahwin atau sesetengah lelaki bergelar suami, mungkin tidak faham betapa besarnya tanggungjawab seorang wanita bergelar ibu. Saban hari melalui perkara yang sama, lebih-lebih lagi golongan isteri yang menjadi surirumah sepenuh masa. 

Lebih mencabar dan berlipat kali ganda pula bagi golongan isteri yang berkerjaya. Siang hari sibuk di pejabat, malam hari sibuk menguruskan anak, suami dan rumah tanpa henti. 

Andaikata suami memahami, alangkah bahagianya dan tenangnya hati isteri yang berpeluang untuk berehat seketika. Namun, berapa peratus yang memahami keadaan sebenar seorang ibu? Semoga luahan dari ibu ini, membuka mata golongan suami yang seringkali membiarkan isteri melakukan segala-galanya seorang diri. 

TENGAH sidai kain tadi di ampain, terdengar jiran menangis sambil cakap dengan anak dia. Mungkin dia letih menguruskan anak-anak. Baru kemas, anak dah sepahkan. Baru sapu, anak dah makan terabur. Mana nak sidai kain, basuh kain, masak, basuh pinggan, kemas rumah, urus anak kecil.
Aku faham sebab aku hari-hari melalui perkara yang sama. Memang menangis kalau terlalu letih. Baru nak baring, anak dah menjerit;

"Ibuuu!! Ahmad makan terabur, habis semua makanan."

"Ibuuuu! Caca berak!!"

"Ibuuuu! Arasy bergaduh!!

"Ibuuuu! Ahmad berdarah, jatuh."

"Ibuuuu! Ibuuuu! Ibuuuu!"

Hanya ibu sahaja yang memahami situasi seperti ini. Bila kita cerita, orang akan kata kita mengeluh. Tetapi bila kita tak cakap, orang tak akan memahami. 

Bukan senang menjadi seorang ibu. Mental emosi semua kena kuat. Lain anak, lain perangainya. Rezeki siapa yang dapat anak yang baik dari kecil sampai besar. Siapa yang dapat anak kus semangat perangainya, Allah sahaja yang tahu betapa letihnya kita nak mendidik dan mengajar anak-anak. 

Sakit tekak, sakit hati, sakit jiwa kadang-kadang. Tetapi itulah tanggungjawab dan amanah yang kita kena jaga.

Tak minta banyak, cuma minta seseorang yang memahami keadaan kita itu sahaja. 

Sumber: Mimi Koji
Kredit : thereporter 

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Sudahlah Menumpang, Suami Kita Dirampasnya

3 Oct 2017


ZAMAN semakin pelik. Rumah tangga jadi taruhan untuk mereka yang tidak menghargai hak orang. Memang betul wanita juga yang merosakkan hidup wanita. Semuanya kerana tamak. 

Mungkin itulah resam dunia sekarang, suami orang menjadi pilihan. Macam tidak ada lelaki bujang lagi di dunia ini. Bodohnya kita kerana terlalu percayakan orang, sudahnya hidup jadi merana.

Hendak tahu apa kisah saya minggu ini. Jom kita baca catatan minggu ini. 

“Saya berusia awal 30-an. Biar saya namakan diri saya sebagai Amy (bukan nama sebenar). Saya bekerja dan berkahwin dengan seorang lelaki bernama Azli (bukan nama sebenar) yang sangat saya sayangi sejak lapan tahun lalu. Kami dikurniakan sepasang anak, berusia antara tujuh dan empat tahun. 

“Memang saya akui hidup kami sangat bahagia sejak tujuh tahun lalu tetapi semuanya hancur kerana orang ketiga. Yang sedihnya orang ketiga itu ada kaitan darah dengan saya. Setahun saya dimainkan oleh Azli dan sepupu saya. Mereka berlakon di hadapan saya macam tidak ada apa-apa hubungan sedangkan mereka sedang bercinta. 

“Semuanya bermula apabila sepupu sebelah ibu saya bernama Sherry (bukan nama sebenar) tinggal bersama kami setelah mendapat kerja di ibu kota. Sebelum ini, dia selalu ke rumah kami kerana menuntut di universiti di sini. 

“Saya tidak syak apa-apa kerana sangat percaya dan sayangkan Sherry macam adik sendiri. Memandangkan dia masih muda, saya menjaganya seperti adik sendiri, sakit demam dan kebajikannya semasa di universiti saya ambil berat, begitu juga dengan Azli. 

“Tdak sangka pula dalam masa itu, mereka menjalin hubungan di belakang saya. Sepanjang tinggal bersama kami,saya tidak nampak perubahan pada diri Sherry. Kadangkala saya tidak keluar, suami bawa anak-anak dan Sherry berjalan. Silap saya juga mungkin terlalu percayakan mereka. Anak-anak ada beritahu, suami selalu pegang tangan makcik Sherry. Tapi saya buat tak kisah. 

“Namun bangkai gajah masakan dapat ditudung dengan sehelai daun. Awal tahun lalu, semuanya terbongkar apabila saya terjumpa pasport suami yang bercop di negara seberang. Berderau juga darah. Siap ada resit hotel dan makan di restoran lagi. 

“Lalu Saya teringat, tahun lalu, suami ada ke selatan Thailand untuk menghadiri kursus, katanya. Bila saya periksa catatan keluar masuk di sempadan, sama pula tarikhnya dengan masa dia pergi kursus tersebut. Pada masa sama, Sherry pula berpindah dari rumah kami dan menyewa di kawasan lain dengan alasan hendak berdikari. 

“Saya tidak bertanya serta-merta kerana saya hendak tengok reaksi suami terlebih dahulu. Patutlah selepas dia balik dari kursus ini nampak perubahan pada dirinya. Balik kerja selalu lewat dengan alasan jumpa klien dan banyak kerja di pejabat. 

“Sehinggalah satu hari seorang kawan baik saya terserempak dengan Azli bersama Sherry di sebuah restoran. 

Sahabat saya ini terus telefon bertanya, kenapa saya tidak ikut mereka keluar makan sama, pada hal dahulu selalu kami keluar berama. Katanya suami saya dan sepupu saya itu sangat mesra. Macam suami isteri. Sekali lagi darah saya berderau. Apa yang saya fikir nampaknya akan menjadi kenyataan. 

“Lalu saya ambil keputusan mengintip mereka dengan bantuan sahabat saya tadi. Kami ikut mereka. Bermula dari pejabat suami, kemudian ke pejabat Sherry. Dan terus ke sebuah taman yang rumah sewa Sherry terletak di situ. Sebaik kereta berhenti, saya nampak mereka berdua keluar. Siap berpegangan tangan lagi masuk ke rumah. 

“Setengah jam saya menunggu di luar sebelum mengambil keputusan untuk masuk ke rumah itu dan bersemuka dengan mereka. Saya nekad, apa hendak jadi pun jadilah, pasport suami di tangan saya. Ia sebagai bukti. 

“Dengan langkah yang gementar saya memberi salam. Sherry yang menyambut salam saya. Muncul sahaja di muka pintu wajahnya berubah, dia menjerit, ‘Abang.’ 

“Suami pula muncul. Terkejut badak dia melihat saya tercegat di pintu rumah mereka. Saya kumpul kekuatan. Saya hendak selesaikan perkara itu di situ juga. Saya tidak menangis, tidak juga melatah. 

“Pandai kau orang berlakon. Sanggup memperbodohkan aku. Selama ini aku percayakan kau Sherry. Kau memang tidak kenang budi, suami aku pun kau nak rampas. Saudara jenis apa kamu ini?” Melontar kata-kata dari mulut saya. 

“Abang, lepaskan saya. Saya tidak mahu dengar apa-apa lagi dari abang. Saya percayakan abang tapi abang robekkan hati saya dengan kecurangan abang. Dengan sepupu saya pula itu. 

“Saya baling pasport suami atas meja bersama dengan resit-resit yang ada. Terkebil-kebil mata kedua-duanya. Sherry mula menangis, tapi saya tak hairan dengan tangisan dia, hati saya lagi sakit. 

“Suami memujuk untuk berterus terang tetapi saya katakan sudah terlambat. Sah mereka telah berkahwin. Kahwin senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarga Sherry. Kerja bodoh yang mereka buat. Semuanya sudah menjadi bubur. Saya sudah tidak ada selera untuk bersama Azli. 

“Selesai melepaskan geram saya keluar. Saya balik ke rumah dan telefon semua ahli keluarga saya dan keluarga Sherry, ceritakan apa yang berlaku. Semuanya terkejut dan tidak sangka perkara itu akan berlaku. 

“Malam itu juga seluruh keluarga berkumpul, mesyuarat tergempar ahli keluarga membincangkan perkara ini. Suami dan Sherry dipanggil untuk mengesahkan pernikahan mereka di sempadan. Dan mereka mengaku telah bernikah. 

“Saya mahu tutup buku dengan kisah curang suami dengan Sherry, sepupu saya. Mungkin itu takdir saya. Saya reda dengan ujian Allah. Saya tidak bagi pilihan kepada suami. Tapi saya minta dia lepaskan saya. Saya hendak bebas menjalani hidup saya sendiri dengan anak-anak tanpa suami. 

“Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dan sekarang saya selesa dengan status saya sebagai ibu tunggal. Anak-anak boleh jumpa babah mereka bila-bila masa dia hendak. Tidak ada halangan. Saya bukan bekas isteri yang kejam. 

“Sejak kejadian itu, saya tidak berjumpa lagi dengan Sherry dan Azli. Saya jarang balik ke kampung dan menghadiri majlis perhimpunan keluarga. Buat sementara waktu, saya mengelak dari berbuat demikian. Kalau boleh, tidak hendak jumpa mereka langsung. 

“Semoga Allah lindungi saya dan anak-anak serta kurniakan saya kehidupan yang selesa dan bahagia di dunia dan akhirat. Amin,” kata Amy menamatkan ceritanya. Itulah dunia dan rumah tangga. Saya amat bersimpati dengan apa yang Amy hadapi. Tapi saya kagum dengan kesabaran Amy menangani isu rumah tangganya. 

Saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana ia membabitkan jodoh yang ditentukan oleh Allah tetapi sebagai manusia kita diberi akal untuk berfikir apa yang terbaik untuk kita. Hati-hati menumpangkan orang di rumah kita.Semoga Amy dan anak-anak terus tabah menghadapi ujian Allah ini dan sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya. 

Menamatkan catatan pesanan saya, bahagia boleh dicari tetapi jangan sampai menghancurkan kebahagiaan orang lain. Tidak tenang hidup kita nanti.

Salam.

Kredit : utusanmalaysia


Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Allah Sebaik Perancang; Rupanya Aku Dijodohkan Dengan Yang Terbaik



Sebelum aku mula cerita, let me start with some introduction of myself. Umur aku awal 30-an, telah 6 tahun berkahwin, and blessed with a son and Alhamdulillah a good husband. Alhamdulillah, Alhamdulillah. 

Cerita ni berlaku masa aku zaman single dulu. Zaman-zaman belajar di U, zaman kulit muka tak sekata, jerawat tumbuh sesuka hati, zaman berbracer (description ni tiada kaitan dengan cerita. saje je nak bagitahu). Waktu ni, aku ada seorang boyfriend (aku gelarkan dia M), yang kitorang kenal dan berkawan sejak Tingkatan 3. Kami sekelas sejak sekolah rendah, dan tetap berkawan bila aku masuk asrama time sekolah menengah. Apetah lagi rumah parents masing-masing dalam satu kawasan. 

Time belajar memang tak beberapa seriuslah kami bercinta. Tapi memang dah jatuh kategori bercinta. (Kalau yang belum aqil baligh baca cerita aku ni, ni kakak nak bagitahu yang bercinta-bercouple sebelum kahwin ni adalah salah. Jangan tiru). Mak bapak aku tahu, mak bapak dia pun tahu yang kami berkawan. Tapi, mak dia tak suka aku. Tak suka sebab aku dulu time sekolah mcm jantan sikit.   

Dengan hitam legamnya sebab aktif dalam sukan, pergi sekolah naik basikal, dengan aku memang tak ramai kawan perempuan, so aku tak tau kewujudan Fair & Lovely. Selain dia kata aku ni kasar, pemalas, kurang ajar, dan semualah benda negatif yang ada time tu. (some of these are not right, aku tak pernah jumpa mak dia face to face pon. mana dia tahu pasal aku, aku pon tak tahu). Tapi aku dengan M tetap berkawan and eventually our relationship getting more serious, and of course, tougher.  

Selepas masing-masing tamat Ijazah pertama, si M ni posting di Kepulauan Borneo. Dia doktor. Aku pulak, since kos aku 3 tahun je, aku sambung Master. Camtulah konon-kononnya perancangan kitorang. Lepas dia habis belajar, aku habis Master, kitorang plan nak kahwin. Gituuuuhhhhhh… Little did I know, lepas dia dah kerja tu, and aku ada lagi 2-3 semester lagi nak habis, dia ada perempuan lain kat sana. Walaupun time tu aku bukan bini dia pon, tapi sebenarnya perempuan ni kalau pasangan dia buat perangai, u can tell. So, waktu tu aku pon redhalah si M ni ada perempuan lain. 

Alasan yang diberi adalah, his mom will never approve me. So he’s not going to persuade his mom anymore and try his luck with other girl. So okay. Dipersilakan. Walaupun aku having quite a hard time to cope with this, aku jalani hidup aku macam biasa, trying hard to complete my Master. Time tu memang teruk jugaklah aku sampai kena ambik ubat tidur untuk tidur. Tapi untuk merayu-rayu kat dia untuk balik semula kat aku, memang bukan prinsip akulah. 

So time aku dah ala-ala nak move on, which aku rasa ambik masa almost setahun jugak, suddenly si M ni yang aku dengar months before dah break up with the girl, contact aku semula. He said he was sorry and he wanted me back. Cliche much? Yes. Aku pon yang memang single time tu, and said: Okay. Tapi,aku suruh dia ikut syarat-syarat akulah kan, like meet my parents, say sorry to them and tell them his plan. And aku taknak lama-lama dah. Aku suruh dia masuk meminang, bla bla bla. Memang dia datang jumpa parents aku, menangis-nangis cakap dia mintak maaf tinggalkan aku dulu, and memang dia datang dengan sebentuk cincin belah rotan time tu. 

Aku pun surprise time ni, tapi of course happy sebab dia sedang memenuhi syarat-syarat yang aku kenakan. But my parents send him home, and suruh dia datang with his parents. Barulah proper dan beradat. He said, he will. Tapi dia perlukan masa untuk pujuk mak dia. Memang dia berterus terang dengan parents aku yang mak dia tak suka aku. Mak bapak aku sebenarnya tak bagi dah aku nak berbaik-baik semula. Yelah, dah orang tak suka kat anak dia kan, sebagai mak bapak surely they don’t feel happy about this.  

Tapi looking at this M’s effort, my parents pun takdelah nak keras sangat. And this M guy memang pandai ambil hati orang tua. Oh, time ni aku dah pun berjaya complete my Master. Alhamdulillah, wp halfway memang rasa give up like why am I doing this at the first place, huh? Tapi ni mungkin boleh cerita lain kali bawah tajuk: Perjalanan Masterku yang berliku. kahkahkah. Apekah siap dah fikir tajuk? 

Dipendekkan cerita, sementara bagi masa dia nak pujuk mak dia ni, kitorg kembali bercinta semula secara serius. (Ok, sebenarnya aku geli betul nak taip perkataan bercinta tu. Tapi tak tahu nak ganti dengan words apa. haha) Walaupun long distance, kerap jugak dia balik semenanjung untuk berjumpa dan aku pun kerap ke tempat dia. (Lagi sekali adik-adik. This is wrong! Walaupun aku tak buat benda-benda yang tak sepatutnya, still, this is wrong!).  

Tapi, dia still jugak tak berjaya pujuk mak dia. Worse, kan umah parents kitorang dalam kawasan yang sama, mak dia ni dok cakap bukan-bukan pasal aku, pasal family aku. Adududududu. Bad-mouthing me is fine, but not my family, especially not my parents. Walaupun time ni memang dah serius like dia dah mula mencari rumah, aku pun dah mula nak cari kerja kat tempat dia… just suddenly in one night, semuanya berubah. 

In that one particular night, lepas kitorg berborak melalui telefon konon-konon melepas rindu, not long after we ended up the phone, tiba-tiba aku rasa macam: WHAT AM I DOING? APA SEMUA NI? KENAPA I PUT ON SO MUCH EFFORT SEDANGKAN MAK DIA TAK TERIMA AKU LAGI. In fact, M tak pernah pun bawak aku pergi jumpa mak dia, untuk kenal-kenal. Wp mmg aku dengar cerita mak dia ni sangat garang, but aku rasa, kau dah besar kot. Takkan mak kau nak marah rotan-rotan kau pakai hanger ke getah paip ke.  

Rupanya, mak dia kata (ni aku tahu dari cerita kawan baik dia la. Tahu pun lepas aku dah kahwin) : kalau dia bawak balik aku, for whatever reason, his mom is going to disown him. Boleh eh camtu? Huhuhu. Tapi ni bukan pointnya. Point utama perenggan ni adalah pada malam yang aku maksudkan ni, memang aku rasa macam: I am going to stop all these, I am not going to fight this anymore. And just like that, the next day tu aku cakap kat mak aku, aku dah takde apa-apa dengan si M. I told my mom, we were not meant to be. Aku ignore all of his msg, phone call, ape-apelah. Nekad betul aku time tu. Only to know, exactly 1 month after kenekadan aku kengkonon melepaskan dia tu, tiba-tiba he announced his engagement di Facebook. Rupa-rupanya, dia ada perempuan lain pun all this while. Haram jad betul si M ni. So aku pun back to square one depressed balik, nangis-nangis semualah. Kau refer balik perenggan aku ambik ubat tido semua tu. Lebih kurang sakitnya. Walaupun sebenarnya aku dah tinggalkan dia dulu. But the fact that he was cheating on me tu, awhhhh it hurts, man! 

Not long after his engagement, he got married. Waktu ni, aku dah bekerja, and kerja aku pulak time tu memerlukan aku travel to many places for research purposes. So my coping mechanism waktu ni was better than the first time. Walaupun kawan-kawan dah kurang, I pretty much enjoyed my work. Sampailah aku rasa aku okay untuk being single forever and not married. So, at the age of 28, i was single and enjoying my life to the max. 

Sampailah one sweet day, aku dok baca ada seorang artis ni dia adopt anak angkat. Hahahah. Alah kau pun sure baca pasal gosip artis kan. Tak yah tipu! So i told my mom i want to adopt one. Mak aku punyalah terkejut habis aku kena marah. Dia marah bukan apa, takut memang aku dah tak nak kahwin like betul-betul tutup pintu hati camtu. Sedangkan, aku cuma rasa selesa je dengan keadaan waktu tu. Hehe seriuslah, rumah aku dah ada sebijik walaupun tak besar, boring pulak duduk sorang-sorang. Dahlah aku tak minat nak bela kucing ke ikan laga ke hamster ke.  

And memang aku suka budak. So that was my decision. Mungkin makbulnya doa seorang mak, hari aku nak pergi JKM nak tanya prosedur dan sebagainya, hari tu aku ambik cuti, but still had to go to my office. Settle kerja, aku rushing to JKM la kan sbb aku dah set appointment nak jumpa officer kat situ, sekali time nak reverse kereta, aku terlanggar kereta kelisa siapa tah matilanak! Keluarlah seorang lelaki yang hensem dari kereta kelisa tu, and tenang je. Rilek je dia wp kereta dia kena langgar oleh aku. He knew i was rushing, so he said: Kita settle lepas awak dah selesai. So we exchanged numbers, and off we went. 

Malam tu, laki hensem tadi telefon aku. Wp sepatutnya aku yang call la kan, sebab aku yang langgar. Tapi aku tak cuak pun time dia call, instead, aku rasa bahagia. Kahkahkah geli siot. Dia kata, dia tak kesah pun pasal kereta tu, dia cuma nak tahu, aku okay ke lepas insiden tu. Kotlah masih terkejut ke, luka ke lebam ke. Eh sweet pulak kau ni apahal. Ni aku kata dalam hati je lah. Sekali boleh pulak kitorang dok berborak sampai ke benda2 lain selain pasal insiden tu. Aku pujilah kelakian lelaki hensem ni. Berani dan mungkin jugak dah jodoh. 

Allah buka hati dan permudahkan semuanya. Again, aku percaya ni berkat doa mak bapak aku jugak ni. A week after, he asked me out (urusan kereta dah selesai. He claimed nothing). 2 weeks after the outing, he met my parents & the next day bawak aku pi jumpa parents dia. Sebulan kemudian, mak dia telefon mak aku, merisik through phone. 2 months after, we got engaged. 6 months after we got married. 1 year after, we had a baby boy. 

And my ex, baru-baru ni aku dengar dia dah cerai dengan wife dia. Atas masalah apa aku tak tahu. Isteri dia (now ex) dengarnya tak beberapa ngam dengan mak dia jugak, sampailah mak dia pernah cakap: kalaulah mak kasi kau kawin dengan Paris Hilton (aku), mesti tak jadi camni. Mak dengar sekarang si Paris tu makin cantik, cerah berseri, sopan santun, lemah gemalai. Aishhh menyesal mak! (Ok, aku tambah part makin cantik…sampai menyesal tu. hehehehehe) Alalalala makcik, jangan cemtuh. 

Mak mertua aku baik sangatttt Alhamdulillah. Mana aku tahu cerita ni? Through jiran mak aku, yg satu kelas mengaji dengan mak si M ni. Ex aku pon ada jugak contact2 aku kat FB lately ni, cuma korang jangan risau. Aku isteri solehah insya Allah. Layan laki aku jehhh, laki lain aku tak pandang. Kan dah kata laki aku hensem. (Eh, biarlah nak puji laki sendiri) 

Dah, panjang pulak cerita aku. Nak bagitahu, kita merancang, Allah jua merancang. Maka perancangan siapakah yang lebih baik? Kalau memang bukan berjodoh, berapa belas tahun berkawan pun, kau tetap tak bersama. Tapi, kalau dah jumpa yang betul-betul, eh, tetiba kau dah jadi mak. Gituuuuuu nak cerita. 

So bersangka baiklah kepada Allah walaupun mungkin sekarang ni kita rasa mcm kenapa, kenapa, kenapa. InsyaAllah, yang terbaik tu Allah akan reveal. Perjalanan aku masih jauh, masih banyak nak kena tempuh. Tapi pengalaman yang sedikit tapi mendidik ni, aku akan ingat sampai bila-bila. Terima kasih Ya Allah, kerana perancanganMu yang indah ini. 

Dan aku rasa, yang satu malam tetiba aku rasa nak back-off tu, mesti berkat doa daripada mak bapak aku. Kalau ada yang nak aku tulis pengalaman time ‘sakit’ dicurangi dan how i get through it, boleh cakap kat komen. InsyaAllah aku boleh share. Tujuan aku satu je, supaya kalau ada antara korang yg tgh mengalami, dan rasa macam2 suara jahat suruh buat bukan-bukan.. korang tahu how to face it. InsyaAllah dengan bantuan dan izinNya jua. 

Dan lagi satu hikmah dan betapa baiknya perancangan Allah, kan aku cakap si M ni tak pernah bawak aku jumpa parents dia kan? Just imagine, kalaulah dia bawak aku jumpa mak bapak dia, dahla rumah parents kitorang taklah jauh mana, pastu tak jadi pulak aku dengan si M ni, kotlah sekarang ni jumpa kat mana-mana.. eh mesti aku malukan. Begitulah. Syukur ya Allah.. 

Dah, tu je cerita aku. Gi sambung buat kerja. 

Nota kaki: aku tak jadi amik anak angkat sebab proses dia lagi panjang dari proses aku nak kahwin tu. Aku dah kahwin pun, still tak settle2 proses ambik anak angkat. Dan sekarang aku tengah mengandung anak kedua and going to pop out soon! Doakan yang baik-baik. 

Sekian. 

Paris Hilton ke? 

– Paris Hilton

Kredit : IIUMC 

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

(Resepi : Video) Ikan Bakar Ringkasss

2 Oct 2017


Kat tempat admin sekarang musim hujan. Kalau tengah-tengah hari cari ikan bakar pun sedap ni. Makan panas-panas dengan sambal special, lepas tu perah asam limau...perghh. Follow resepi ini memang senang je buat...  memang ringkass je...yang penting sedap...ajomm try..

Cara nak sediakan ikan bakar berempah ni mudah, cuma sediakan bahan-bahan yang diperlukan saja dan jangan nak tambah ramuan atau rempah-rempah ratus yang lain, nanti rasa ikan bakar berlainan dari apa yang kita inginkan.  



Resepi Ikan Bakar Berempah Ringkas 

Pertama sekali sediakan bahan-bahan yang berikut seperti :
1 ekor ikan
1 sudu besar cili kisar
3 batang serai
3 biji bawang merah
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil garam
(Tambahkan lada jika ingin rasa yang pedas) 


Cara-cara :
Bersihkan ikan dan kelar. Gaul semua bahan kisar dan perap pada ikan selama 20 minit. 

Lumur sedikit minyak pada permukaan ikan dan bakar sehingga ikan masak sambil renjis minyak pada ikan. 


Angkat dan sedia dihidangkan dengan pencicah air asam/kicap atau sambal. 

Resepi video & bertulis adalah dua resepi berbeza, boleh pilih mengikut kesukaan anda 😘 

Kredit resepi: Ummu Nazlifa
Kredit video: IG @masakwithpassion 


Kredit : Fb Senangnya Masak

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Taksub Dengan Produk Kecantikan Dan Produk Kurus

1 Oct 2017



As'kum  Admin,

Terima kasih, kalau kisah yang aku tulis ni dipaparkan diruangan Laman Qasehh. Ni bukan kisah aku. Aku nak citer pasal dua orang member aku ni. Sebab nasihat-nasihat aku ni dah tak boleh pakai dan tak boleh masuk dalam kepala diorang dah. Mata aku ni dah seriau, dan dah naik takut dah dengan diorang ni. Kitorang ni berlima kawan baik . Duduk sewa satu rumah. Umur lingkungan 23-25 tahun. Kitorang memang rapatlah, dah macam adik beradik. Apa benda citer pun kitorang akan kongsi sama-sama. Daripada pasal pakwe, drama korea, tips nak kahwin, macam-macamlah...sampailah kepada topik kecantikan dan produk kurus.

Jadi citernya, dua orang member aku ni, diorang gila punya taksub dengan produk kecantikan dan produk pelansingan. Apa jenis produk yang nampak kat iklan diorang akan beli dan cuba. Masalahnya diorang selalu bertukar -tukar produk bila satu produk tu tak menjadi dan tak berhasil seperti yang diharapkan. Korang tahulah kan, sekarang kat fb, tv, insta..mana-mana media sosial berlambak penjual duk iklan produk-produk ni. Nak putih, nak gebu, nak kurus, nak montok, nak mantap, awet muda, nak perapat, penambah tenaga...semua ada, semua ayat-ayatnya manis nak mempengaruhi dan psiko minda pembaca.

Biasalah orang pompuan kan. Memang cantik dan kurus tu berpisah tiada. Cumanya bagi aku , bergantung pada setiap oranglah. Kalau ya pun nak cantik dan kurus, harus berpada-padalah. Ada peraturan dia, jangan sembrono je try semua produk tanpa usul periksa. Hakikatnya kurus  ke cantik ke , bukan perkara mudah untuk dapat dalam sekelip mata. Walaupun produk -produk tu semua penjual claim kata ada kelulusan KKM ke apa semua tu, bagi aku , mana boleh main ambik macam tu je...siap bercampur dengan produk-produk lain.

Berbalik pada kisah kawan aku yang dua orang ni, diorang punya style macam ni. Pagi makan produk A, satlagi pukul 11 makan produk B, lepas lunch makan produk C, petang produk D...dan last sekali malam sebelum tidur makan produk E. Tak perit ke anak tekak kau tengok diorang telan semua tu. Yang lagi pening, diorang ni bukan kaki bersenam atau jaga pemakanan. Jadi macam manalah produk dalam perut nak proses semua tu, sebab tak berpeluh, air kosong tipulah kata minum 3 botol air mineral besar sehari. Kitorang yang lagi 3 orang ni naik cuak tengok diorang. Kitorang ni dah berbuih-buih mulut bagi nasihat, siap tunjuk artikel pasal salah pengambilan produk cantik kurus ni. Memang bawa mudarat yang teruk. 

Diorang ni, nak kata tak cantik tu taklah. Nak kata kurus sangat pun tak jugak. Memang sedap mata memandang, badan gebu-gebu sikit je pun. Bukannya gemuk. Aku boleh andaikan, yang sorang ni macam Umi Nazira, sorang lagi macam Siti Nordiana. Okay what !! Kira oklah tu kan...cantik apa. Untuk level level kita yang bukan artis ni aku rasa dah patut bersyukur kot. Yang macam Umi Nazira ni, lagi setahun nak kahwin. Tu yang speed-up nak cepat nak pasang badan , nak bagi kurus, cantik gebu putih bagai. Bila aku cakap lebih-lebih sikit, diorang sentap. Kata suka membebellah, tak support memberlah, macam-macamlah.  Bila aku cakap diorang ni tak nak bersyukur, aku pulak dikatakan berdengki haha! Adoii! 

Diorang cakap diorang nak cantik putih macam artis korea. Gebuu mulus gitu. Paling tidak macam Fasha Sandha atau Nora Danish. Aduhaii kawan aku ni. Kalau aku berdengki , dah lama aku tak nak duduk sebumbung dalam rumah sewa ni dengan korang. Sebab aku sayang dioranglah aku nak bagi nasihat supaya tak jadi sesuatu yang mudarat dan sebelum terjadi apa-apa yang lebih teruk. Kalau dah jadi tahap macam ni aku tak sanggup nak tengoknya. Korang tahulah kan, produk-produk ni kita tak tahu macam mana tindakbalas dia dalam badan kita. 

Lagi-lagi style kawan aku ni, diorang jenis makan bercampur-campur brand produk tu. Mestilah setiap produk tu ada tindakbalas berbeza. Contohnya; macam sekat selera makan, keluar masuk tandas, mual pening, jantung berdegup laju, tak boleh tidur, panas badan, kulit menggelupas mcm-mcmlah dan kemungkinan ada effect pada organ dalaman yang boleh menyebabkan rosak. Kan pernah dengar kes kerosakan hati sebab ambik produk macam ni secara berlebihan. Jadi aku taknaklah kawan aku ni jadi macam ni.

Betul, kawan-kawan aku ni , bab duit memang tak jadi masalah. Diorang ni kiranya tersangatlah mampu dan diorang dari keluarga yang kaya dan berada. Kiranya org berduitlah, apa yang dihajati semua petik jari je dah dapat. Setakat harga produk beratus-ratus tu tak luak mana duitnya pun. Tapi...tapi aku naklah dan aku haraplah korang lebih bijaklah gunakan duit tu. Kalau korang ada terbaca tulisan aku ni, janganlah marah ye...aku sayang korang. Aku tak nak korang terkena apa-apa kompilikasi yang buruk. Please dengar nasihat aku, bukan tak boleh ambik langsung, tapi biarlah berpada-pada. Lepas tu kena amalkan pemakanan seimbang dan kerap bersenam. Bukan macam kita ni , duduk terperap je dalam bilik, lepas tu makan jajan kopok sambil layan drama korea. Pastu nak cantik nak kurus sekelip mata. Sayangi diri anda. 

*Pesanan untuk diri aku juga ni*

Dan kalau ada pembaca di luar sana nak kongsi pendapat, mungkin boleh tolong aku nasihatkan kawan aku ni juga.  Dan sebagai tips untuk pembaca-pembaca lain juga.

Tq admin
-Sarah-

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Kahwin Muda Ni Memang Fikir Nak ‘Buat’ Anak Saja Ke?


Assalamualaikum, 

Mungkin ini luahan hati dari seorang kakak. Sedikit perkongsian dan mungkin boleh jadi renungan buat adik-adik yang umur masih muda dan ingin berkahwin. 

Saya ni ada adik beradik ramai, 6 orang dan saya anak sulung. Kisahnya, masa adik saya kawin 4 tahun lepas, saya ada lah rasa sedikit terkilan. Terkilan bukan sebab apa, sebab mak dan abah decide bagi adik tu kahwin awal, umur dia masa tu baru 21. Kata mak, sbb jodoh dia dah sampai. Saya sedikit akur sebab fikir itu semua kerja Allah. Masa cepat sangat berlalu..tiba masa hari pernikahan adik, saya rasa macam ada batu berat yang akan jatuh atas kepala ni nanti. Tapi, saya abaikan je perasaan tu. 

4 tahun dah berlalu, sekarang dah 2017. Adik saya tu dah ada anak 2 orang. Betul kata orang, bahagia tu orang boleh nampak yang luar je hakikatnya jauh beza macam langit dengan bumi. Orang muda ni bila bercinta, semua yang “sweet” dia dengan pasangan nak tunjuk pada satu dunia. Kadang panas juga telinga bila mak komen pasal orang muda bercinta. Itu baru bercinta, kalau dah kawin…lagi banyak dia nak tunjuk. Throwback gambar kawin 3 tahun lepas lah, gambar perut tengah mengandung lah, sweet2 dalam kereta lah, gambar jalan pimpin tangan suami lah..macam lagi lah semua. Maklumlah zaman media sosial. 

Bila keluarga ni mula ada orang baru, banyak sikitlah ragamnya. Boleh migrain hari-hari. Tambah saya dah masak dengan perangai adik-adik. Lagi pula adik yang dah kawin tu. Ingatkan kalau dah kawin, perangai berubah. Rupanya makin menjadi. Duduk rumah mak pun masih boleh malas-malas. Kadang saya sendiri rasa kesian dekat mak. Jadi macam hamba pula.  

Menantu nak makan, dia yang susah payah sediakan, baju kotor mak tolong kutip dan basuh, botol susu anak yang dah basi..mak tolong cuci, pampers anak dalam bilik air..mak tolong buang. Adik tu buat apa sebagai isteri? Membuta sampai pukul 10 pagi 11 pagi. Bangun tidur, terus makan je makanan yang terhidang. Ya Allah, sakit mata tengok perangai dia.  

Kadang saya rase naik angin. Nasib kat rumah mak, kalau rumah mak mertua tak pastilah dia macam mana. Bila masuk bulan Ramadhan, perangai macam tu juga. Sekurang-kurangnya tolong la masak untuk sahur sama-sama. Tambah-tambah dia dah ada suami. Lagi meluat bila up status atau gambar menu masakan kat facebook, instagram, twitter…konon-konon dia yang masak dengan caption “walaupun puasa dan penat melayan karenah anak-anak, harapnya menu ibu ni sesedap rasa” sedangkan itu masakan mak. 

Blerghhh..

Tiba-tiba adik tu decide nak pindah rumah sewa. Oh..melompat la hati saya ni sebab tak payah tengok perangai malas-malas dia tu. Buat sakit hati. Tapi sebenarnya dia pindah sebab adik lelaki saya ni bising kalau rumah bersepah. Mana tak nya, rumah ada budak kecil kan. Saya ni jenis tak kisah..kalau saya rasa rajin nak kemas, baru saya akan kemas sebab saya tak suka nak bising-bising. Tapi dah tahu adik tu malas tahap kritikal, memang tak lah dia nak kemas mainan anak dia. 

Mendapatlah dia kata-kata sentap dari adik lelaki tu. Bila tahu adik tu nak pindah, saya rasa macam satu masalah akan berkurang. Tudung pun tak payah pakai 24/7. Sebelum ni setiap masa kena pakai tudung sebab adik ipar ni kerja sendiri. So, masa dia banyak kat rumah. Adik ni punya rumah sewa dekat je dengan rumah mak. Lebih kurang 1 km je jarak. Nampak sangat pindah sebab sentap..tapi baguslah. Bila lagi nak rasa sentap. Sekurang-kurangnya boleh buat dia berubah. 

Seminggu kemudian, adik tu datang rumah mak sebab adik ipar nak kena uruskan urusan kat luar daerah. Kemudian, bila urusan adik ipar tu selesai..dia kembali ke rumah mak semula. Ingatkan dia nak ambil isteri dan anak-anak dia tu bawa balik ke rumah sewa. Rupanya duduk rumah mak dekat 2 3 minggu juga. Kembali la rimas saya macam dulu. 

Tapi lagi extreme. Adik dan adik ipar ni mula bertengkar sebab hal-hal kecil yang saya kira boleh selesaikan secara baik. Rasa malu mereka tu macam dah tak ada. Bergaduh depan mak abah, adik-beradik dan depan anak. Bukan sekali, bukan dua kali..tapi dah banyak kali bertengkar kat rumah mak. Saya kesian kat mak. Kadang malam-malam, saya nampak dia menangis lepas solat sebab fikir pasal anak-anak. Perangai masing-masing tak matang. Anak-anak dia akan menangis kalau nampak mak ayah dia tu bertengkar. 

Bila dah bertengkar, masing-masing tak kisahkan anak. Adik saya tu keluar entah ke mana, si adik ipar tu mungkin pergi cari kawan dia lepak-lepak sambil minum kopi. Anak dia? diaorang tinggalkan kat rumah mak. Adik-adik saya lah yang tolg babysit sekejap. Bagi makan minum, layan dorang main, tidurkan semua. Tengok muka dorg pun rasa sayu je. Kesian sebab dapat mak dan ayah yang tahu untuk ‘buat’ anak je. Tanggungjawab masing-masing dah ke laut. Amanah Allah mereka abaikan, tunggulah untuk jawab depan Allah nanti. 

Dulu nak kawin bukan main, siap ingat ayat-ayat al-quran dan hadis yang cerita tentang munakahat, kehidupan berumahtangga semua. Tapi apa yang berlaku tak seindah macam apa yang mereka baca. Semua tu lakonan acah-acah alim sebab nak dapat ‘ticket’ kawin muda. 

Sampai satu tahap, saya terpaksa luahkan semua pada mak dan mak setuju dengan apa yang saya katakan. Mak ada rasa sikit menyesal tapi semua ni dah ditentukan. Kena belajar terima takdir. Ada sebab Allah tangguhkan jodoh saya. Semuanya ada depan mata untuk saya ambil iktibar. Persediaan dari segi mental dan fizikal. Tak lupa juga pengisian rohani, al-quran dan solat malam jangan tinggal. 

Apa yang berlaku sekarang, Allah bagi nikmat pada saya dalam bentuk lain, dapat sambung sampai PhD. Teringat saya akan satu kata-kata Ust Pahrol dalam satu buku beliau, “bersahabatlah dengan takdir”. 

Pesanan saya buat adik-adik yang berniat untuk kahwin muda, buatlah persiapan. Cara berfikir dah kena ubah. Nak buat sesuatu perkara, fikir dulu apa kesan yang akan jadi. Yang perempuan, jaga akhlak jaga pertuturan. Akhlak bukan sekadar diukur melalui tudung yang labuh sahaja. Yang lelaki, belajar pegang tanggungjawab pada keluarga dahulu.

-Academic Dr. to be-

Kredit : IIUMC 

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Kecik Hodoh Besar Cantik ; Jangan Mengata Orang, Nanti Gigit Jari

30 Sept 2017


Salam.. Thanks admin approve penulisan Ana Gugu.. Aku ade satu pengalaman dan pengajaran nak berkongsi dengan pembaca setia iiumconfesion.. Begini kisahh nya .. 

Mase sekolah menengah dulu, aku ade sorang kawan ni, perempuan , aku gelarkan ” Aimi” .. kulit gelap n gempal sikit.. Die suka makan nasi lemak, n milo ais.. kalau tengok kelibat die, memang betul la melambangkan feveret die.. 

Budak2 lelaki kelas aku jenis mulut tempayan, pantang tgok prmpuan kurang cumillz atau gelap ade la frasa baru yang muncul dri mulut diorang… keling , india, badak, hitam, gelilah itu laa.. Kesian golongan yg macam Aimi ni.. Tengok je muka diorang ni cool,okey..tapi dalam hati aku yakin, retak seribuuu dipanah sembiluu.. 

Tapi walaupun Aimi ni makan banyak, kalau ade acara sukan mesti die turun padang sekali walaupn mase training, ape2 acara die tak dipilih.. tu yang aku tabik tu… hahaha.. tak macam sesetengah kawan2 perempuan aku yg kurus, dok melepak dalam kelas duduk bawah kipas…. (tangan angkat ke bahu, mata pandang atas).. 

Aimi ni paling selalu kena ejek atau diacah oleh Mamat , budak sekelas mase form 5.. Mamat ni memang pandang Aimi sebelah mata yang separuh tutup.. Mamat pernah cakap dengan kawan2 die depan Aimi, yang aku rase nak bawangkan je mulut die, “Apee? Aku kalau nk cari bini pon nak yang putihh, baru cantik !!” Disertai dengan ketawa beramaui ramai.. Mulut mmg minta kulit bawang betul..Memang terasa la Aimi tu, aku rase lepas je balik sekolah atau sebelum tidur mesti dia menangis kot, orang cakap camtu.. Mesti die persoalkan kenapa Allah cipta die camtu, taktau la kot hanya imaginasi aku.. Lol 

Die ingat yg gelap ni tak cantik ke… manis tau.. Bagi aku Aimi ni baik n pandai n cun cuma die belum pandai bergaya je macam bdak2 perempuan lain..aku perati ade je peminat , cuma die je tak layan … Yela aku rase pencuci muka pun die tak pakai kot.. hahah
Kemuncak cerita, satu hari ni, dengan kuasa Allah, si Mamat terjatuh hati kat Aimi.. Sumpah memang rase ‘betul kehh nihh ?’ ‘Ape? Mamat suka Aimi??’ Jeng3 .. 

Kawan Mamat dok tanye Mamat ” Haa aritu kau dok mengata die , asal sekarang melekat pulak? ” tu ayat yg aku ingat.. Mamat hanya mampu tersenyum dan termenung lepas tu.. Kadang2, die curi2 pandang Aimi.. Aimi buat tak tau je aku tengok.. 

Sumpah Mamat tangkap cintan dgn Aimi,asyik perhati Aimi je.. Die try nak ngorat , bagi ayat sweet cikedis.. tunjuk baik sikit, mmg tak jalann.. Die mmg jealous kalau ade llaki lain dekat ngan Aimi.
Tapi haram jadah Aimi nak layann.. Haa itu la hukum karma, lain kali jangan nak hina2 atau pandang orang sebelah mata.. Allah yang balas, hati manusia ni Allah yang pegang..Kun fayakun tau tak.. 

Dah habis spm ni, kitorang masing2 bawa haluan , ade sambung universiti, kolej, matriks n duduk rumah je tolong bisnes mak.. Jarang2 kalau nak terserempak kat jalan dah, tak macam waktu sekolah. 

Aku sempat usha ig kawan Aimi yang ade kelibat Aimi sekali.. Lawaa bohhh die sekarang,muka ala2 neelopa,tak selekeh macam dulu, ade la tersenarai ciri2 calon isteri.. Lawa, baik,sambung belajar pun bukannye dekat calang2 ipta beb.. Kawan Aimi ade cakap si Aimi ni masih ingat bdak2 laki yg dulunya ejek die.. aku rase mmg die takkan approach la korang.. Hahha.. 

Mmg sekali tu kawan aku ade tgur die, mmg die buat layan tak layan je.Haaa kauu padan muka .. Nasib baik aku tak macam korang.. Yahhuu.. Melepasss .. 

Morals in my story n experiences, jangan laa nak perlekehkan seseorang , sebab kita pun taktau satu masa nnti die akan jadi lebih baik atau hebat dari kite.. Ingat2 sikit dunia ni kadang kita di atas , kadang kita di bawah, ala2 roda je..
Sekian. 

– Ana Gugu

Kredit : IIUMC 

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Pedihnya Hati Apabila Kekasih Melamar Sahabat Baik

29 Sept 2017



JODOH perlu diusahakan walaupun ketentuannya milik Allah. Yang penting berusahalah agar anda ditemukan dengan pasangan yang sesuai. Kisah ini dikirim oleh seorang wanita yang menamakan dirinya sebagai Naima (bukan nama sebenar) mengenai pengalamannya putus cinta setelah teman lelakinya bernikah dengan sahabatnya sendiri.Kita ikuti kisah Naima seterusnya. 


“Saya berusia awal empat puluh tahun. Masih belum bertemu yang serasi, bukan memilih tetapi keserasian atau sekufu juga perlu diambil kira. 

“Pelbagai kategori insan telah saya temui, dari yang sederhana sehinggalah ke peringkat atasan. Namun Allah belum menyingkap lelaki yang sesuai untuk saya. 

“Alhamdulillah dalam masa mencari saya akhirnya diperkenalkan dengan seorang teman baharu oleh seorang kawan baik yang saya anggap seperti saudara sendiri. 

“Perkenalan dengannya menjadikan diri saya berubah daripada seorang yang pendiam dan pemalu kepada seorang yang peramah dan boleh dibawa ke majlis. 

“Tanpa disedari saya mula jatuh cinta dengan lelaki itu yang saya panggil Zami. Orangnya sangat baik, peramah dan penyayang. “Hubungan kami sangat manis. Saya tahu dia sayangkan saya begitulah saya. Namun ujian Allah datang tanpa henti. Saya diuji dengan pelbagai perkara termasuk daripada sahabat baik yang memperkenalkan Zami kepada saya. 

“Dalam diam dia juga menaruh hati kepada Zami. Maka jadilah cinta tiga segi antara kami, itupun saya tidak tahu. Pandai mereka menyimpan rahsia. “Permainan cinta yang saya lalui amat menggerunkan, malah meninggalkan kenangan pahit dalam pencarian jodoh saya. 

“Sedih dan hiba apabila mendapat tahu sahabat saya, Nadia (bukan nama sebenar) memang bercinta dengan Zami, lelaki yang telah memberi harapan kepada saya. “Menyedari keadaan akan menjadi sulit saya bertekad mengundur diri. Saya maklumkan kepada Zami yang kami tidak ada jodoh dan saya minta diputuskan hubungan tanpa memberi alasan saya sudah tahu akan kisah cintanya dengan Nadia.

“Saya mengalah kerana tidak mahu kehilangan sahabat. Saya rela menjauhkan diri dari Zami kerana mahu melihat mereka bahagia. “Satu hari Zami menghubungi saya. Dia ingin berjumpa dengan saya dan menjelaskan perkara sebenar tentang apa yang berlaku dalam hubungan kami. “Tidak disangka di dalam pertemuan itu Zami membuat kejutan kepada saya dengan memaklumkan yang dia dan Nadia sudah bertunang. 

“Bayangkan dalam masa bercinta dengan saya dia melamar Nadia. Patutkah saya diperlakukan begitu? Apa salah saya? “Saya kecewa. Air mata yang tumpah tidak dapat mengembalikan hati saya yang sudah ranap. Nadia sepatah pun tidak beritahu saya yang dia telah bertunang dengan Zami sedangkan kami hari hari berjumpa. 

“Mungkin itulah istimewanya insan yang bergelar lelaki, pilihan di tangan mereka dan malang bagi wanita yang terpaksa akur dengan keputusan lelaki seperti Zami walaupun pedihnya umpama luka tertikam sembilu. “Hari dilangsungkan pernikahan mereka, saya hadir menjadi pengiring kepada Nadia yang bakal bergelar isteri pada Zami. Saya gagah hadir sebab tidak mahu menyinggung hati mereka atas dasar persahabatan.

“Saya cuba untuk tersenyum tetapi hati saya sangat sakit melihat pengantin begitu riang. Macam tidak ada apa-apa yang berlaku. Menarik sungguh drama mereka. “Malah Zami langsung tidak rasa bersalah dengan apa yang dia telah lakukan. Untuk pertama kali hajat saya memiliki seorang teman yang boleh dijadikan pelindung hidup musnah kerana rakusnya hati seorang sahabat yang tamak dan pentingkan diri sendiri.

“Sehingga kini saya terfikir, apakah untuk memiliki sesuatu yang kita hajati kita perlukan keberanian yang luar biasa, jika kita terlalu berlembut atau bertolak ansur kita akan kecundang, sudahnya, milik kita dirampas orang! “Saya banyak belajar tentang hidup terutama setelah apa yang berlaku dalam hidup saya. Kerana tidak mahu terus terganggu dengan drama Zami dan Nadia saya akhirnya memohon untuk berhenti kerja dan berpindah ke tempat lain. 

“Sejak itu saya tidak pernah tahu lagi hal mereka. Malah mereka juga tidak berusaha untuk mencari dan bertanya khabar saya. Saya doakan mereka bahagia. “Dalam hidup ini saya percaya kepada ketentuan Allah. Mungkin jodoh saya belum sampai. Walau ramai yang mencuba tetapi saya sangat berhati-hati. Bimbang pisang berbuah dua kali. 

“Sesungguhnya tidak mudah untuk kita menegakkan tugu cinta dan mempertahankannya. Kerana kehadiran cinta belum pasti menjanjikan kebahagiaan, saya telah melaluinya dan saya sakit kerana cinta. Semoga Allah bagi saya kekuatan untuk terus hidup,’’ Naima menutup ceritanya. Saya sangat bersimpati dengan masalah Naima. Menjadi lumrah dalam kehidupan apa yang kita sayangi, tidak semestinya menjadi milik kita.

Sabarlah Naima. Jangan ikutkan hati. Anda telah 
membuat keputusan bijak dengan 
mengalah dan merestui pernikahan mereka.
Bertabahlah Naima menghadapi cabaran hidup. Mungkin jodoh belum ada. Mungkin juga Allah S.W.T sedang menguji anda untuk menghadiahkan seorang lelaki yang lebih baik daripada Zami. Pesanan saya sebelum menamatkan catatan, apapun, dulukan diri sendiri daripada perkara lain demi masa depan anda. 

Insya-Allah satu hari anda pasti ketemu lelaki idaman yang serasi dan dapat melindungi anda di dunia dan akhirat. 

Salam

Sumber : Utusan

Kredit : terbakor.com

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Isteri Bekas Suami Tuduh Saya Gila Talak



Saya Rose (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an, mempunyai dua anak perempuan, berusia lapan dan 11 tahun. Saya ibu tunggal, berpisah dengan suami empat tahun lalu kerana orang ketiga. 
 
“Syukur, sebab saya bekerja walaupun gaji tidak seberapa tetapi saya gembira kerana anak-anak di bawah jagaan saya sepenuh masa dan bekas suami boleh melawat anak-anaknya pada bila-bila masa. 

“Perkahwinan kami dahulu kerana cinta. Dua tahun menyulam kasih, hancur begitu sahaja kerana dia beralih kasih. Cintanya rapuh. Janjinya hanya separuh jalan untuk bersama saya. 

“Saya reda dengan perpisahan ini. Saya menyifatkan jodoh kami hanya sampai setakat itu. Tiga bulan selepas berpisah, bekas suami bernikah dengan gadis yang menjadi skandalnya semasa masih menjadi suami saya. 

“Saya tidak terkejut. Lebih baik begitu daripada saya dimadukan. Tak sanggup hidup dengan lelaki yang menduakan kasih sayangnya kepada saya. 

“Setahun berlalu, keadaan aman, anak-anak gembira dengan saya. Kami hidup secara sederhana. Apa yang ada itulah yang kami makan. Saya tidak ajar anak mewah dengan hidup seperti masa ayah mereka ada.  

“Saya didik mereka dengan baik. Ada masa belajar, mengaji, solat dan bermain. Awal tahun ini, saya tengok dua anak saya mula berubah perangai. 

“Balik sahaja dari rumah ayah mereka, keadaan mereka berubah. Mengaji kena suruh, baca buku juga kena paksa. Lebih banyak main daripada belajar. Cakap saya sudah tak didengar. 

“Setelah memujuk dan bertanya dengan baik, saya dapat tahu semasa mereka ke rumah ayah mereka, mereka tidak pernah disuruh buat apa yang saya suruh mereka buat. 

“Mak tiri pun tidak pernah ambil tahu hal mereka, sebab sibuk uruskan anak dia. Mereka bawa diri sendiri. Makan sendiri dan banyak masa dihabiskan dengan menonton televisyen dan bermain.
“Kerana tidak mahu perkara itu berterusan, saya hubungi bekas suami bertanyakan hal itu. Dia melenting dan tuduh saya kata dia tak pandai jaga anak. Mengeruhkan keadaan, isterinya pula masuk campur. 

“Dituduhnya saya cuba menggoda suaminya semula. Siap dimaki hamunnya saya dengan kata-kata kesat, sedangkan dia tahu saya sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan suaminya lagi. 

“Tidak cukup dengan telefon, dia kirim mesej dan WhatsApp macam-macam kepada saya. Tuduh saya gatal dan gila talak. Cetek sungguh fikiran dia. Agaknya dia lupa yang dia yang menggatal mengorat suami saya dahulu. 

“Saya apa lagi, ‘belasah’ dia habis-habisan dengan kata-kata azimat saya. Saya minta dia bertaubat dan jangan kacau saya dan anak-anak saya. Saya pun tak ingin nak rebut kembali suami dia. 

“Yang saya utamakan sekarang adalah anak-anak saya. Masa depan mereka dan pelajaran mereka. Saya tidak mahu anak-anak saya dididik dengan cara yang tidak sepatutnya. Saya tidak mahu bekas suami abaikan anak-anak kami apabila bersamanya. 

“Saya minta dia jaga kebajikan anak-anak kami sekiranya mereka ada bersamanya. Jaga makan minum mereka, layan mereka dengan kasih sayang. Jangan biarkan mereka dengan hal sendiri. 

“Saya juga minta dia bagi tahu isterinya, jangan racun fikiran anak-anak saya. Saya tidak mahu mereka keliru dengan hidup mereka. Saya mahu anak-anak berjaya dalam pendidikan dan hidup mereka di dunia dan akhirat. 

“Saya juga pelik dengan perangai isteri bekas suami. Apa lagi yang dia hendak. Suami saya dah diambilnya. Anak-anak juga diberi hak berjumpa ayah mereka tanpa halangan walaupun nafkah yang diberi macam biskut chipsmore. Sekejap ada, sekejap tak ada. 

“Saya malas naik turun mahkamah, nak tuntut nafkah anak-anak, dah empat tahun, tak ada perubahan. Bekas suami macam itu juga, berhabis untuk keluarga baharunya, ada duit tapi untuk anak-anak dengan bekas isteri, selalu tak cukup. 

“Semoga Allah lindungi saya dan anak-anak dan tempatkan kami di bawah rahmat dan lindungan-Nya setiap waktu. Mudah-mudahan kami tiga beranak bahagia dengan cara kami di dunia dan akhirat. 

“Kepada suami di luar sana, pesan saya jangan abaikan anak-anak kalau sudah kahwin lain. Kepada isteri yang merampas suami orang, jangan keterlaluan melayan anak-anak tiri. Jagalah dengan kasih sayang, ingat anak-anak itu tidak berdosa.
Mereka tidak tahu apa-apa. Saya berdoa supaya bekas suami dan isterinya akan sedar dan kembali ke pangkal jalan,” kata Rose menamatkan ceritanya. 

Itulah lumrah hidup yang perlu kita hadapi. Saya harap Rose akan terus bersabar. Insya-Allah banyak berdoa, Allah akan buka jalan untuk semua masalah yang Rose hadapi. Abaikan perangai isteri bekas suami, asalkan Rose tetap dengan cara berhemah dan mulia seorang wanita dan ibu. 

Menamatkan catatan, pesanan saya, hargai orang lain dan jangan berdendam. Hidup itu sederhana, asal kita tidak menjadikannya rumit dan menyusahkan.
Salam

Kredit : utusanmalaysia


Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Responsive Advertisement

RECENT COMMENTS

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

Online

Artikel Lain

© LAMAN QASEH • Theme by Maira G.