SLIDER

Di Fitnah Saudara-Mara Di Laman Sosial

30 Apr 2017


Kepulangan Linda, 30, ke rumah nenek sebelah ibunya di sebuah perkampungan di utara Semenanjung bagi sambutan Syawal baru-baru ini, tidak semeriah sebagaimana diharapkan. Dia yang tidak mengetahui punca sebenar tindakan ramai dalam kalangan sepupu-sepupunya yang tidak mengindahkan malah dilihat seperti memulaukan dirinya amat tidak difahami. Dia yang balik beraya bersama keluarga, ibu dan ayahnya, sedikit berasa tersisih dengan layanan daripada sepupu-sepupu yang lain. “Keluarga nenek memang ramai. Ibu saya mempunyai 12 orang adik-beradik dan setiap keluarga mempunyai anak-anak yang ramai. Apabila sesekali balik berjumpa pasti meriah kerana setahun sekali bersua mesra apabila hari raya.

“Tetapi kepulangan saya baru-baru ini seolah-olah tidak diendahkan oleh sepupu-sepupu lain yang jarak usia mereka tidak jauh beza dari saya,” jelas Linda ketika ditemui di majlis rumah terbuka baru-baru ini. Namun menurut Linda, bukan semua yang bersikap begitu, ada yang juga masih mesra dan saling bertegur sapa dan bertanyakan khabar apabila bersua di rumah nenek pada pagi Syawal. Linda yang kehairanan cuba mencari punca dan masalah sebenar apa yang menyebabkan sepupu-sepupu yang kebanyakannya perempuan enggan bercakap dengan dirinya, sedangkan sepatutnya, pada pagi raya seperti itu orang akan saling bersalaman bagi memohon ampun atas kekhilafan yang dilakukan.

Masih teringat di fikiran Linda bagaimana meriahnya dia dan sepupu-sepupu saling berlumba-lumba mencantikkan diri dengan memakai pakaian baru yang paling cantik di mata mereka. Selalunya, dia yang akan mendapat pujian daripada nenek dan datuknya kerana Linda memang dilahirkan dalam keluarga yang memiliki personaliti menawan. “Namun semua itu tidak pernah menjadi penghalang dan bagi saya kelebihan itu tidak pernah dijadikan ukuran kepada persahabatan saya dengan sepupu-sepupu lain,” katanya. Akhirnya, menurut Linda, tiga hari selepas balik ke kampung, apabila dia beraya ke rumah sepupunya yang paling muda, iaitu anak kepada ibu saudaranya paling bongsu, segalanya terbongkar. Itupun selepas Linda cuba mengorek kebenaran yang menjadikan dirinya seolah-olah tidak diendahkan oleh sepupu-sepupu lain.

Setelah dikorek rahsia, barulah Linda mengetahui yang selama ini dia menjadi bahan cerita, kutukan dan sindiran beberapa sepupunya yang lain di dalam laman sosial seperti facebook, we chat dan whats app. “Aplikasi laman sosial seperti whats app menyediakan satu laman bagi perkumpulan atau group yang membolehkan mereka yang berada di dalam perkumpulan berkenaan boleh berbincang sesama mereka tanpa diketahui oleh insan luar yang tidak tersenarai dalam perkumpulan berkenaan. “Sepatutnya laman sosial seperti ini memberi banyak kebaikan kepada mereka yang berada di dalamnya seperti pengetahuan, mengeratkan perhubungan, memberi bantuan dan sebagainya, namun selalunya laman sosial seperti ini akan menjadi satu tempat untuk melepaskan geram, dendam, kutukan dan malahan fitnah kepada orang lain.

“Inilah yang terjadi kepada saya kerana saya sering menjadi fitnah kepada sepupu-sepupu lain dan saya sendiri tidak mengetahuinya kerana mereka mempunyai group whats app sendiri,” jelas Linda. Apa yang Linda tidak tahu sepanjang tahun lepas, Linda sentiasa menjadi bahan fitnah daripada tiga orang sepupu yang amat mencemburuinya selama ini. Bukan sahaja atas dasar kecantikan Linda, malah dia juga merupakan pegawai tertinggi di jabatan kerajaan, lulusan luar negara dan keluarganya kaya serta disenangi oleh datuk dan neneknya. Daripada risikan yang Linda lakukan, sepupunya yang muda itu telah menunjukkan laman sosial berkenaan dan pelbagai perbincangan yang telah mereka lakukan yang kebanyakannya memburuk-burukkan dirinya, yang semuanya berunsurkan fitnah.

Sepupunya yang paling muda dan yang paling baik dengannya itu mengakui hanya melihat sahaja lontaran perbincangan yang dimuat naik oleh sepupu-sepupu lain tetapi dia sendiri tidak masuk campur kerana mengetahui kebanyakannya adalah fitnah terhadap Linda. “Rasa marah, lucu, sedih dan sebagainya bercampur baur dalam perasaan apabila membaca perbincangan yang dilakukan dalam laman sosial berkenaan. Tetapi saya beranggapan, semua itu hanya satu perkara biasa yang dilontarkan oleh mereka yang tidak mengenali saya sepenuhnya. “Dari sekecil hingga sebesar ayat saya baca, satu perkara yang menyentuh hati ialah apabila mereka mengaitkan saya cantik tetapi dalam usia seperti itu masih belum mempunyai teman lelaki. Mereka bukannya tidak tahu jodoh dan ajal maut itu di tangan Tuhan. Siapalah kita yang menentukannya.

“Dari situ saya berasakan amatlah teruknya laman sosial ini sekiranya digunakan tanpa perkara yang jelas dan digunakan untuk memfitnah. Apa yang penting mereka berbincang di laman sosial mengenai diri mereka tetapi orang yang diperbincangkan itu tidak mengetahui apa-apa pun malah tidak mempunyai kuasa untuk membela diri. Apa-apa pun dalam hati, saya memaafkan mereka atas perbuatan yang dilakukan. “Mereka tidak tahu saya telah tahu apa yang mereka bincangkan mengenai diri saya, tetapi mulai dari hari itu saya mesti berhati-hati. Apa yang saya dapati, bukan hanya perihal saya yang mereka bincangkan, malah mereka juga akan turut membincangkan orang lain yang tidak disukai mereka di laman berkenaan,” katanya.

Kredit : UtusanMalaysia
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peritnya Seorang Penganggur

29 Apr 2017


Salam admin,

Terima kasih kerana menyediakan ruangan luahan sebegini. Saya seorang pemuda kini berusia 25 tahun. Anak nombor tiga dari 4 beradik. Satu-satunya anak lelaki harapan keluarga. Saya tamat pengajian dengan segulung ijazah dari universiti tempatan 3 tahun yang lepas. Jurusan yang saya ambil adalah jurusan yang sangat terpencil, mungkin disebabkan result spm saya tak berapa bagus, maka saya dimasukkan ke dalam jurusan ini, bukan jurusan yang saya minat. Tapi saya tak kisahlah, saya ambik juga jurusan ini memandangkan ibu saya sangat teringin melihat saya masuk ke universiti. Ibu saya seorang surirumah sejak kami kecil lagi. Ibulah yang banyak menguruskan kami adik-beradik sementara ayah sibuk bekerja sebagai askar. Kakak-kakak saya ada yang dah berkahwin jadi surirumah, sorang dah bekerja dan adik yang bongsu masih belajar di kolej. Ayah saya seorang pencen askar, namun ibu dan ayah berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam untuk menampung kehidupan mereka kerana wang pencen tak cukup. Kakak surirumah tak mampu bagi wang bulanan, kakak yang bekerja setakat RM300 sebulan dia hulurkan kerana gaji dia tak besar. Adik bongsu pula sedikit sebanyak perlukan wang tambahan selain duit pinjamam ptptn yang tak cukup tu.

Ayah pula, saya tak tahulah macam mana boleh berlaku hutang keliling pinggang. Masa ayah masih bekerja, ayah ada buat pinjaman peribadi dan juga pinjaman rumah. Belum lagi pinjaman kereta. Jadi ketiga-tiga loan ni perlu dibayar walaupun ayah dah pencen. Jadi wang pencen nak campur dengan duit yang kakak bagi tu, memang tak cukuplah nak menampung perbelanjaan rumah dan juga tambahan wang pengajian adik bongsu. Jujur hati saya sangat kesian dengan ibu ayah, patutnya bila dah masuk usia senja ni, mereka hanya berehat di rumah dan tumpukan kepada amal ibadat sahaja. Namun disebabkan tuntutan hutang yang banyak, mereka terpaksa bekerja walaupun dah tak ada daya dan kudrat.

Jadi dalam situasi begini, saya lah satu-satunya harapan diorang untuk meringankan bebanan mereka. Saya sendiri pun tak sabar nak tamatkan pengajian, sebab nak bekerja untuk tolong ibu ayah saya. Namun, saya tak tahulah kenapa saya selalu tak bernasib baik, dalam hal-hal pekerjaan ni. Sehingga sekarang, saya masih tidak mendapat sebarang pekerjaan dengan menggunakan segulung ijazah saya tu. Yang mana, saya begitu mengharapkan gaji bulanan yang sama level dengan ijazah. Harapan saya dengan gaji ijazah tu, dapatlah sedikit sebanyak tolong kedua ibu bapa saya. Saya memang berniat , sekiranya saya mendapat pekerjaan yang hebat gajinya, saya nak tolong bayar semua hutang-hutang ayah saya. Tapi sehingga kini pekerjaan yang saya angan-angankan tu tak sangkut satu pun. Dah berpuluh – puluh jawatan saya mohon dan temuduga yang saya hadir, namun tak ada yang berjaya pun. Saya tak tahulah mungkin saya tiada aura atau daya penarik kot. Saya sangat sedih dan juga terkilan.

Walaubagaimanapun, saya bukannya “penganggur terhormat”, seperti yang orang cakap – “duduk rumah goyang kaki je” . Atas rasa tanggungjawab, sambil-sambil saya memohon jawatan yang sesuai dengan ijazah saya tu, saya tak duduk berdiam diri. Saya mencuba pelbagai pekerjaan yang umum, walaupun gajinya lebih rendah. Tak apa, saya tak kisah pun, sekurang-kurangnya saya dapat sedikit wang untuk digunakan dan bagi sikit pada ibu ayah. Sepanjang 3 tahun menganggur, saya pernah bekerja di stesen minyak, pembantu restoran sebagai pembuat air, operator kilang, berniaga jual goreng pisang di tepi jalan, store keeper di shop mart, pembantu jualan di Aeon, driver lori dan banyak lagi. Semuanya kerja umum yang mana sedia maklum gajinya sebulan tak adalah banyak mana. Setakat RM1300 sebulan. Dan saya pun hanya mampu hulur kat ibu ayah dalam RM400 sahaja, lebih kurang sama jumlah macam kakak saya beri , itu pun lepas dah tolak keperluan-keperluan lain. Semua kerja-kerja di atas tu saya terpaksa bertukar-tukar untuk dapatkan gaji yang lebih tinggi. Walaupun ada perbezaan RM100 pun saya sanggup berhenti dan ambil kerja tu.

Apa pun saya bersyukur, Ibu dan ayah tak pernah beri tekanan dan memaksa saya. Mereka sangat faham situasi saya yang dah berusaha untuk dapatkan pekerjaan yang sesuai dengan ijazah saya. Mungkin belum rezeki saya . Mungkin ada hikmah di sebalik semua kesulitan. Saya bersyukur walaupun sukar untuk mendapat perkerjaan yang saya idamkan, tapi mudah mendapat pekerjaan lain walaupun lebih kecil gajinya. Cuma yang menjadi tekanan buat saya ialah mendengar segala tohmahan dan perlian orang sekeliling. Saudara-mara, jiran-jiran rumah selalu berborak dengan ibu ayah berkaitan dengan diri saya. Segala jenis umpatan saya dah dengar. Antara yang saya sangat sedih ialah bila mereka cakap pada ibu , sia-sia semua duit dan masa yang ibu ayah bagi untuk saya belajar sampai univesiti, tapi sampai sekarang tak dapat balas budi ibu bapa. Ada yang cakap, saya anak lelaki yang tak bertuah kerana susah mendapat bekerja. Ada yang cakap saya tak berusaha sungguh-sungguh cari kerja, nak enjoy je. Ada yang cakap saya cuba ambil kesempatan sebagai anak lelaki kesayangan untuk tak mahu bekerja, nak duduk rumah rileks je. Semua umpatan ni memang pedih nak dengar, tapi ibu ayah tetap tenang dan tak ambil pusing pun, sebab mereka je yang faham dan tahu susah payah saya.  Mereka sentiasa beri sokongan kepada saya tanpa berbelah-bahagi.

Saya berterima kasih pada ibu ayah kerana sentiasa memberi sokongan. Dan kalau ada pembaca –pembaca diluar sana sudi beri peluang kepada saya dengan tawaran pekerjaan yang sesuai , saya sangat-sangat berterima kasih di atas bantuan. Sebenarnya saya juga berasa malu, dan saya tak mahu dilabel sebagai anak lelaki yang gagal. Sebab tu sampai sekarang pun, saya tak ada terfikir dan tak mahu fikir pun pasal teman wanita dan berkahwin. Sedangkan keluarga sendiri saya tak mampu beri nafkah, inikan lagi nak menanggung urusan-urusan perkahwinan. Doakan saya dipermudahkan segala urusan ya!. Terima kasih.

-Peganggur budiman-


Nasib Si Ibu Tiri Moden

28 Apr 2017



Hmmm...dah nasib saya jadi ibu tiri. Apalah salah dan dosa saya, sehingga saya dilayan sebegini. Saya Rin, saya berkahwin dengan duda kematian isteri. Masa tu saya berumur 38 tahun, suami 45 tahun. Saya kahwin lewat. Kiranya masa berjumpa suami saya berstatus duda, saya terima dengan redha. Umur pun dah lanjut. Suami saya ada sorang anak perempuan yang sedang meningkat remaja . Kiranya saya ni jadi ibu tirilah kan. Selalunya kita dengar kat berita media, anak-anak didera ibu tiri. Status ibu tiri tu sendiri pun dah dianggap kejam dan jahat, macam dalam drama-drama tv. 

Tapi kes saya ni terbalik pulak. Saya yang didera oleh anak tiri saya adalah. Tapi bukan dera melibatkan fizikal. Cuma melibatkan penderaan emosi dan perasaan. Pada awal perkahwinan kami pun, anak tiri saya dah tak bersetuju dengan ayahnya untuk menjadikan saya isteri. Saya cuba mendekatkan diri saya dengan anak tiri, cuba mengambil hati dan cuba berkawan, namun usaha saya sia-sia, malah dibalas dengan muka yang masam mencuka dan mengeluh. Kalau bercakap dengan saya pun, dengan suara yang menengking dan meninggi, langsung tidak menghormati saya. Saya bersabar dan memujuk hati mungkin dia perlukan lebih masa untuk terima saya sebagai mak dia. 

Ada satu hari , saya dan suami sedang makan. Jadi saya jemputlah anak makan join sekali. Tapi dia hanya menjeling dan buat muka menyampah dengan saya. Saya biarkan aje. Biarkan hatinya cool dan tenang dahulu. Suami perasan anak kesayangannya memperlakukan saya sedemikian. Jadi sebagai ayah, die menegur sikap anak die supaya lebih menghormati saya sebagai ibu tiri. Namun dia buat-buat merajuk dan merungut dengan ayahnya. Bukan setakat merajuk, malah membaling sudu yang dipegangnya ke dalam pinggan. Bagi saya itu dah dikira biadab dan tak menghormati orang tua. Saya pujuk suami supaya biarkan hati anaknya sejuk dulu. Mungkin marahnya tengah meluap-luap selepas kena tegur di hadapan saya.

Hampir 2 tahun kami berkahwin, kami dikurniakan anak lelaki. Memandangkan suami tak ada anak lelaki, dan dah lama tak ada anak kecil, jadi suami sangat teruja dengan kehadiran anak kami. Setiap hari suami sentiasa melayan anak lelaki kami. Namun sejak kami ada anak ni, anak tiri saya semakin memberontak . Dia mula keluar malam dan kalau balik rumah pun terus masuk bilik tak mahu join kami berbual atau makan. Suami pernah ajak berbincang dengan anaknya. Saya ada terdengar di luar bilik, anak tiri menangis-nangis dan menjerit-jerit di depan ayahnya mengatakan bahawa dia tidak suka kehadiran saya di sisi ayahnya. Anak tiri beritahu ayahnya, sejak saya kahwin dengan suami, perhatian ayahnya semakin kurang terhadap die. Kalau dulu 24 jam ayahnya sentiasa berdamping dengan dia. 

Tak macam sekarang, sejak kami  berkahwin. Lagi-lagi bila dah ada adik baru. Perhatian suami terhadap dia dah terbahagi. Semakin kecewalah dia dengan ayahnya. Setiap kali kami bertembung, kalau masa tu saya bersama suami, kelihatan hati dia sangat membenci saya. Kami sentiasa memujuk dia, walau dengan apa cara sekalipun. Saya sendiri cuba membaca di internet, buku malah berjumpa kawan-kawan consultant untuk belajar cara bagaimana nak ambil perhatian anak remaja. Bagaimana nak memujuk hati dia. Namun sehingga sekarang kehadiran saya tetap tidak diterima. Malah, anak tiri ada beritahu suami kalau ayahnya sayangkan dia, anak tiri minta suami menceraikan saya dan tak mahu saya dan anak lelaki saya tinggal di rumah tu lagi. Dia tak nak berkongsi kasih sayang dengan kami.

Malangkah nasib saya ? Dia tak pernah fikir pun hati dan perasaan saya. Walaupun saya turut berkecil hati, terluka dan tersinggung dengan sikapnya, namun saya tak kisah sebab saya percaya hati dan perasaan seorang remaja mungkin lebih sensitif. Jadi saya hanya ada pilihan untuk terus bersabar dan bersabar dan juga terus berusaha memujuk hati anak tiri saya supaya menerima kami. 

Saya mahukan keluarga yang bahagia tanpa ada rasa kurang kasih sayang, Saya sendiri dah menganggap dia dah macam anak saya sendiri. Tolonglah pembaca , kalau ada cara-cara bagaimana lagi yang perlu saya usahakan untuk mengambil hati anak tiri saya.

-Ibu tiri moden-


Tips Dan Cara Atasi Kemurungan/Depression

27 Apr 2017


KEMURUNGAN –KENALI KEMURUNGAN DAN TIPS MENGATASI

Kemurungan (depression) adalah salah satu penyakit psikologi yang melibatkan tekanan perasaan yang serius kepada individu baik lelaki atau wanita, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas. Ia melibatkan rasa kesedihan, kepiluan, kecewa, putus atau  putus harapan, hilang semangat untuk meneruskan kehidupan  yang bermakna dan gembira. Kehidupan dirasakan sunyi dan kosong. Kemurungan yang berlarutan boleh memberi implikasi yang buruk kepada individu. Selain dari terganggu  emosi, individu berkaitan juga akan terganggu fungsi fizikal dan interaksi sosialnya. Rawatan perubatan dan bantuan psikoterapi  dan kaunseling perlu diberi seawal mungkin kepada  mereka yang terlibat

Punca Kemurungan

- Mengalami  peristiwa trauma yang tidak dapat diterima oleh pesakit  Antaranya
  • kehilangan orang yang penting dalam kehidupan secara mendadak (meninggal dunia atau berpisah) dan pesakit tidak bersedia untuk menghadapi keadaan tersebut. Kebiasaannya mereka adalah orang yang amat dikasihi, disayangi atau dicintai
  • kehilangan maruah diri  tanpa kerelaan hati (mangsa perkosaan / sumbang mahram)

- Mengalami penyakit berat dan berpanjangan yang menyebabkan pesakit hilang keupayaan diri. Fungsi diri terbatas dan tidak boleh menjalankan peranan kehidupan yang sewajarnya (peranan sebagai isteri/suami/ahli keluarga)

- Mengalami masalah berat yang tidak mampu diatasi dan ia menjadi bebanan kehidupan (contoh : kegagalan dalam kerjaya/ kegagalan dalam rumahtangga)

- Bagi sebilangan wanita,  kedatangan haid, awal kehamilan, selepas melahirkan, dan  pre-monopous juga boleh menyebabkan kemurungan berlaku. Walaupun tidak serius tetapi jika berlaku sesuatu yang mengganggu emosi berlarutan,  individu ini lebih terdedah  kepada kemurungan.

Tanda-tanda Kemurungan
  • Kesedihan, kepiluan, kesepian (loneliness), jiwa kosong (emptiness) yang berpanjangan
  • Gangguan tidur, sukar tidur (imsonia) atau . berlebihan tidur
  • Cepat letih. lesu dan tidak bermaya /bertenaga
  • Gangguan selera makan, hilang selera atau makan berlebihan ( tanpa kenikmatan)
  • Amat sensitif , pendiam  dan suka mengasingkan diri
  • Perasaan pesimistik  Hilang semangat, putus asa/putus harapan
  • Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokkan
  • Rasa bersalah atau menyalahkan diri atas peristiwa buruk yang belaku.
  • "Rasa hidup tidak bermakna / lebih baik mati" (ini tidak semestinya bermaksud keinginan untuk bunuh diri, tetapi suka jika kematian berlaku pada diri. Ini menyebabkan pesakit tidak cenderung untuk mengurus diri dan dan membiarkan kesihatan dan keselamatan diri terganggu.   Pemikiran dan tindakan percubaan bunuh diri  boleh juga berlaku pada pesakit jika kemurungan berlarutan tanpa bantuan atau rawatan.
  • Rasa tidak tenteram dan mudah marah
  • Kurang daya tumpuan, sukar membuat keputusan
  • Terlalu bergantung kepada ubat-ubatan, alcohol atau dadah.
  • Simptom-simtom fizikal seperti sakit kepala, sakit belakang, sakit sendi dan gangguan penghazaman, loya serta semput) 

Tips Untuk Mengatasi
  • Dapatkan bantuan segera apabila sedar berlaku  salah satu simpton di atas. Jangan tunggu sehingga semua  simpton tersebut berlaku.  Keadaan mungkin akan lebih sukar untuk dipulihkan. Bertemu dengan pakar perubatan, psikoterapis , kaunselor atau orang-orang yang berkebolehan membantu
  • Sentiasa hargai, sayangi, dan jaga diri sendiri. Bantulah diri sebaik mungkin dengan  mendekatkan diri  kepada Allah, pasrahkan diri dan redha  dengan ketentuanNya.  Keredhaan dan keikhlasan itu adalah penawar. Allah akan memberi yang terbaik, selagi kita memohon kepadaNya. Akan ada hikmah disebalik sesuatu yang berlaku. Yakinkan diri kita.
  • Elakkan bersendirian. Berhubunglah dengan rakan taulan dan saudara-mara yang boleh kita harapkan.Jika harus bersendiri banyakkan ibadat dan mengingati Allah dengan berzikir
  • Jika terasa ingin menagis, menangislah untuk menghilangkan  sebak di dada. Menangis adalah fitrah manusia.  Apa yang perlu dielakkan adalah menangis dengan ratapan. Ratapan akan didengar  oleh perasaan kita. Ia boleh melemahkan perasaan.
  • Kuatkan semangat dengan mengingatkan diri terhadap tanggungjawab kita kepada orang lain. Pada keluarga, rakan taulan, rakan sekerja, dan orang –orang lain yang memerlukan kita. Jika kita  terperangkap dengan kemurungan, ia akan memberi kesan kepada mereka.
  • Membaca buku-buku yang boleh membina semangat dan motivasi diri.
  • Jangan menyalahkan diri dan menghukum diri kerana kelemahan yang berlaku.
  • Libatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membuatkan anda rasa selesa dan tenang.
  • Tingkatkan kesihatan diri dengan mengambil makanan yang sihat dan teratur.
  • BELAJAR  SEDIKIT DEMI SEDIKIT UNTUK MENERIMA KEHILANGAN YANG BERLAKU DAN MULAKAN PENGHIDUPAN BARU.  YANG PERGI HANYALAH JASAD, TETAPI , CINTA DAN KASIH SAYANGNYA TETAP ADA DIHATI KITA, TEGUHKAN SEMANGAT DENGAN TERSEBUT. 
  • JIKA HILANG SESUATU YANG BERHARGA PADA DIRI, BINALAH YANG BARU, KERANA SEMUA ITU TERLETAK PADA DIRI SENDIRI.  ORANG YANG PALING PENTING UNTUK BERUSAHA MENGEMBALIKAN KEBAHAGIAN DAN KEHARMONIAN HIDUP KITA ADALAH KITA SENDIRI.

Kredit : WanitaHariIni
Oleh : HAJAH KAMALIAH ABU : Ketua Pegawai Psikologi , UiTM  ; 28 September 2011

Apa Itu Penyakit Jiwa "Social Climber"?

26 Apr 2017


Trend sekarang, ramai yang berpura-pura menjadi orang kaya, tayang barang-barang yang nampak gah dan mewah di media sosial. Namun disebalik semuanya, kehidupan mereka dari kalangan ini biasa-biasa sahaja. Tujuan utama adalah untuk meraih perhatian semua yang berada di media sosial agar statusnya nampak glamour dan hebat. Ini adalah salah satu penyakit 'kejiwaaan' di alaf baru. Sekiranya tidak ditangani dengan bijak, perkara ini akan terus melarat dan mereka ini akan terus hanyut dibuai khayalan dan imaginasi mereka sendiri, tanpa mereka sedar , mereka berpijak di alam realiti. Semuanya semata-mata ingin mendapatkan kepuasan apabila perkara yang ditayangkan mendapat pujian dan perhatian orang ramai. Artikel yang sangat bagus dikongsikan dari Mingguan Wanita. Mari kita cuba audit diri kita, adakah kita termasuk dalam golongan ini. Renung-renungkan.

-Admin-

Kredit : MingguanWanita

Oleh:Nadia Mohamad

Anda ada kawan yang sukanya hobi pamer barang-barang berharganya di media sosial? Saat beli handbag baru dia tunjuk, Hp baru terus tunjuk, sepatu baru tunjuk lagi, atau saat berada di suatu tempat mewah dia tunjuk juga. Makan di restoran mahal tunjuk, tengok wayang terbaru tunjuk, malah sampai ke toilet Mall pun dia tunjuk dengan memasukkan foto di depan cermin.

Lebih parahnya lagi, keadaan yang realitinya tidaklah sehebat dengan apa yang dia tunjuk di media sosial. Jika di media sosial ia mempamerkan barang mewah dan kehidupan glamour, namun kenyataannya dia bukanlah seorang yang kaya. Bahkan cenderung dari golongan menengah ke bawah.

Apa itu penyakit jiwa social climber?

Untuk golongan ini biasanya disebut dengan istilah Social Climber. Social climber pada dasarnya merupakan perilaku seseorang yang dilakukan untung 'menaikkan' status sosialnya. Ia sanggup buat macam-macam agar dapat tarik perhatian status sosial lebih tinggi dari status yang sebenarnya.

Biasanya orang yang mengidap perilaku social climber gaya hidupnya cenderung glamour dan selalu ingin terlihat mewah. Sebab dengan gaya hidup seperti itu, ia ingin menyatakan jika dia termasuk orang kaya, meskipun kondisi yang sebenarnya tidak seperti yang ia pamerkan di media sosial.

Sebenarnya tak ada yang salah jika ingin dianggap golongan seorang kaya, namun bagi para social climber, dia sanggup buat macam-macam demi tarik perhatian. Para social climber ingin nampak kaya dengan tidak melalui sebuah proses terlebih dahulu untuk benar-benar menjadi orang kaya. Malah boleh melakukan apa saja agar mendapatkan kelas sosial.

Biasanya golongan social climber akan merasa tidak senang duduk, tidak percaya diri, dan jadi takut tidak diterima di kalangannya apabila tidak tampil glamour. Akibatnya seboleh mungkin dengan berbagai cara ia lakukan agar tampil mewah.

Bahaya ke penyakit social climber?

Tentu! Social climber merupakan benih penyakit kejiwaan yang sangat berbahaya. Sekali lagi nak tegaskan, para social climber boleh melakukan apa saja agar hidupnya nampak memiliki status sosial yang tinggi dengan hal yang praktis dan tidak melalui proses.

Dari point tersebutlah para penderita social climber boleh melakukan hal-hal negatif sekalipun agar ia boleh tampil mewah. Misalnya, pegawai negeri golongan I mengimpikan hidup dengan rumah megah, keretamewah, barang-barang keseharian yang berharga puluhan sampai ratusan juta, tentu gaji dari menjadi PNS tidak boleh mencukupi, dan jalan pintasnya kemungkinan membuat pinjaman melampau dan mengambil hak orang!

Akibat para social climber yang nak nampak kaya namun tidak mahu melalui proses, mereka sanggup buat menipu untuk hidup mewah. Haa... ini yang jadi kes sanggup mencuri, berhutang dan akhirnya JERAT diri sendiri!

Nak jadi orang kaya memang tidak ada salahnya, namun harus melalui proses dan perjuangan (BERUSAHA) terlebih dahulu. Lagi pun andai kata wang berlimpah, bukankah dengan hidup sederhana akan lebih tenang?

Tampillah apa adanya, tidak perlu membohongi diri sendiri. Syukuri apa yang kamu miliki saat ini, sebab dengan bersyukur kita akan merasa cukup dan puas dengan apa yang ada di hidupmu selama ini.

Pakcik Dan Makcik Buang Nenek Yang Uzur

25 Apr 2017

Terima kasih admin kerana memaparkan kisah saya. Dan saya berharap kisah saya akan menjadi tauladan kepada pembaca di luar sana juga.

Ibu saya seorang ibu tunggal, selepas kematian ayah. Ibu merupakan anak bongsu daripada 3 beradik. Ibu ada sorang abang dan sorang kakak. Kiranya mereka ini adalah pakcik dan makcik sayalah. Masing – masing dah berkahwin, ada anak dan kehidupan sendiri. Saya adalah satu-satunya anak ibu berusia 20 tahun. Sepupu-sepupu saya lebih kurang sebaya umur saya juga. Kami masih ada sorang nenek (sebelah ibu). Namun keadaan nenek tersangat uzur, yang mana memerlukan penjagaan rapi dan perhatian daripada penjaga atau anak-anak. Yang menjadi masalah besar sekarang ialah, pakcik dan makcik saya enggan untuk menjaga nenek saya yang uzur tu. Mereka bulat-bulat menyerahkan nenek kepada ibu saya untuk dijaga, tanpa ada sebarang persetujuan.

Sebelum ini mereka ada membuat perbincangan, namun diakhirnya mereka mahu ibu saya yang menjaga nenek. Alasannya sebab ibu adalah ibu tunggal dan tiada komitmen terhadap keluarga. Sedangkan mereka katanya terlalu banyak komitmen kerjaya, rumahtangga dan tidak ada masa yang cukup untuk menjaga nenek. Saya sangat kesal, bila mereka memberi alasan mcm tu sedangkan, mereka juga tahu ibu saya juga bekerja untuk mencari nafkah untuk menyara kehidupan kami berdua. Ibu berniaga sendiri, menjual nasi lemak untuk menampung perbelanjaan rumah dan juga pengajian saya yang akan tamat lagi 2 tahun. Tambahan pula , ibu juga sudah tiada kudrat akibat penyakit jantung yang dihidapinya.

Ibu tidak kisah untuk menjaga nenek, yang tidak disukainya ialah apabila makcik dan pakcik saya langsung taknak ambil tahu akan hal nenek. Hanya menjenguk setahun sekali. Pakai, makan , kesihatan nenek langsung tak tanya khabar. Nak hulurkan duit untuk ringankan beban ibu , memang jauh sekalilah. Itu yang membuatkan saya rasa sangat geram. Seolah-olah mereka dah buang terus nenek dari kehidupan mereka. Mudah sangat mereka nak melepaskan tangan, sedangkan itulah emak yang melahirkan dan menjaga mereka sejak kecil. Saya rasa sangat malu dan kecewa atas perbuatan mereka.

Saya pun bukannya mengharapkan sangat pakcik dan makcik menjaga nenek sampai bila-bila pun, cukuplah dengan bergilir-gilir menjaganya. Sekurang-kurangnya ibu saya ada juga ruang masa untuk berehat memandangkan sakit jantungnya menyebabkan ibu tak boleh terlalu terbeban membuat kerja. Kadangkala saya tak sanggup tengok ibu kepenatan, saya ponteng kelas untuk membantu ibu menjual nasi lemak dan menjaga nenek di rumah. Saya pernah usulkan pada ibu, untuk berhenti belajar supaya saya dapat bekerja dan menjaga mereka berdua, tapi ibu tak setuju. Ibu minta saya tamatkan pengajian yang masih berbaki lagi 2 tahun.

Apabila saya cuba bangkitkan perkara ini, saya dikatakan tidak menghormati orang tua dan cuba nak menuduh mereka culas akan tanggungjawab mereka, padahal itu yang sebenarnya yang sedang terjadi. Mereka seperti alpa dan lupa akan tanggungjawab sebagai anak. Mereka dah buang jauh emak mereka sendiri. Mereka seperti anak tidak mengenang budi. Mereka menuduh ibu saya yang mengajar saya untuk bersikap sedemikian, sedangkan itu adalah perasaan hati saya yang memang saya nak luahkan selama ini. Saya berterus-terang kepada mereka akan situasi ibu sekarang. Tapi apa yang saya jelaskan dipandang sebelah mata je. Kata mereka, kalau dah tak mampu nak menjaga nenek, hantar je ke rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua. Bila mereka dah cakap macam tu, nampak sangatlah mereka memang tak nak jaga nenek.

Macam mana lagi saya nak buat, untuk sedarkan mereka di atas perbuatan mereka yang sangat memalukan dan tidak bertanggungjawab, pada masa yang sama saya masih menghormati mereka sebagai pakcik dan makcik saya. Pembaca di luar sana , mungkin ada pendapat yang boleh dikongsikan.


Dua Kali Bercerai, Haruskah Ada Kemaafan

24 Apr 2017


Saya razak, telah berkahwin dengan isteri atas pilihan keluarga bukan bercinta seperti pasangan lain diluar sana. Anak 2 orang.  Sebelum kami berkahwin, kami pernah berjumpa sekali untuk berkenalan, jadi saya tahulah yang isteri sudah mempunyai kekasih, tetapi terpaksa berkahwin dengan saya atas permintaan ibunya yang sakit. Saya beri semangat pada isteri, yang kami akan cuba memulakan alam perkahwinan dengan memberi peluang kpd masing-masing untuk memahami perasaan dan memupuk perasaan bercinta.

Namun, langit tak selalu cerah, rupanya tanpa pengetahuan saya , isteri kerap berhubung dgn bekas kekasih untuk melepaskan rasa rindu. Masa kami anak pertama,masih kecil, mereka kerap berjumpa. Naluri saya sebagai seorang lelaki berat merasakan yang isteri dah sampai ke tahap terlanjur. Namun saya tidak terus menuduhnya, saya memberi peluang untuk isteri berterus –terang. Isteri menafikan semuanya. Sampai pada satu tahap, saya nampak dengan mata saya sendiri, mereka di PD sedang bercuti bersama-sama seperti pasangan kekasih lain. Kata isteri ada kursus offis, saya ragu-ragu dan ikut isteri dari belakang. Hanya Allah sahaja yang tahu hancurnya perasaan saya . Saya sudah mula sayang pada isteri, tetapi itulah kali pertama saya ceraikan isteri bersaksikan bekas kekasihnya sendiri.

Selepas beberapa bulan, isteri datang berjumpa saya merayu memohon maaf atas perbuatannya. Isteri merayu untuk merujuk kembali. Saya dapat tahu bekas kekasihnya juga akan berkahwin pada tahun itu dengan orang lain. Jadi memikirkan nasib anak saya yang masih perlukan seorang ibu, saya cuba beri peluang pada isteri untuk memperbaiki kesilapannya, wpun hati saya masih sakit apabila mengenangkan kemesraan diorang di depan mata saya. Kami rujuk semula.

Selepas setahun kami rujuk, kami dikurniakan anak kedua. Cukup sepasang  anak kami. Masa tu juga rezeki kami bertambah. Saya telah ditawarkan kenaikan pangkat. Adalah dapat rezeki lebih, cukup untuk menampung keluarga kami yang semakin bertambah. Namun, saya perlu bekerja di luar kawasan. Rumah kami di utara, dan tawaran kerja saya nun jauh di pusat ibu kota. Saya mencadangkan supaya isteri berhenti kerja dan mengikut saya berpindah ke sana, namun isteri tidak bersetuju, sayang dengan kariernya. Jadi kami hidup berasingan, namun saya akan pulang setiap hujung minggu untuk berjumpa isteri dan anak-anak.

Sekali lagi, tanpa saya sangka, selepas beberapa bulan hidup berjauhan, saya dapat tahu isteri dan bekas kekasihnya berhubung semula walaupun bekas kekasihnya pun sudah berkahwin lain. Janji setia dan kepercayaan yang saya berikan pada isteri dibalas dengan kecurangan isteri. Betapa sedihnya saya dan kecewa yang teramat di atas perbuatan isteri yang saya sayangi. 

Pada ketika ini, kami betul-betul bergaduh besar. Isteri sering mengungkit, mengatakan saya tidak memberi perhatian dan tidak mengambil berat akan hal dia dan anak-anak sejak bekerja berjauhan. Walhal saya sedikit pun tidak pernah missed bertanya khabar setiap hari. Setiap minggu pula , saya akan pulang untuk bersama-sama mereka. Betapa sanggupnya isteri mempermain-mainkan perasaan saya , sedangkan saya dah cintakan dia sepenuh hati, dan kami pun sudah ada 2 anak.

Setiap hari saya memikirkan hal ini sehingga kemurungan. Gambar-gambar mesra mereka keluar bersama, dengan ayat-ayat cinta yang manis, dah cukup membuktikan kecurangan mereka. Tanpa rela saya menceraikan isteri buat kali kedua. Sangat perit untuk saya terima. Sebagai seorang lelaki, siapa yang sanggup terbayang-bayangkan isteri sendiri bercumbu-cumbuan dengan lelaki lain. 

Saya berkata kepada isteri ,pergilah kpd bekas kekasihnya yang dia cintakan sgt tu. Saya jelaskan pada isteri bahawa bekas kekasihnya tu sebenarnya hanya nak belaian cinta dari die je apb bersama iaitu apb die ada ruang kosong. Tak mungkin akan berkahwin dgn dia, sedangkan bekas kekasihnya sudah mempunyai isteri yang jauh lebih muda dan masih anak dara  ketika berkahwin.

Kini perasaan saya terhadap isteri benar-benar tertutup. Hati saya sudah terluka. Kedua-dua belah keluarga kami dah tahu akan kes kami. Teruk juga isteri dimarahi oleh kedua ibubapa dan keluarganya. Setelah beberapa ketika, isteri benar-benar menyesal akan perbuatannya dan baru dia sedar apa yang sebenarnya bekas kekasih dia inginkan selama ini. Die cuba memenangi hati saya semula, demi anak-anak. Dan baru dia sedar yang saya benar-benar cintakan dia sepenuh hati selama ini.

Namun hati saya benar-benar kosong. Untuk apa lagi setelah dua kali dia curang pada saya. Saya terfikir mungkin jodoh saya tidak berpanjangan. Pihak keluarga isteri juga ada datang memohon maaf di atas perbuatan anak mereka, dan merayu supaya dapat menerima kembali anaknya. Saya meminta tempoh bertenang dan diberi ruang masa untuk memulihkan kelukaan dan mengembalikan kepercayaan saya semula yang lama dah terpadam.

Perlu kah saya memberi peluang lagi kepada isteri, sedangkan ini adalah peluang terakhir selepas kami dah dua kali bercerai. Saya diselubungi rasa takut akan perkara ini akan berulang lagi dan peluang terakhir ini akan hancur begitu sahaja. Untuk fikir lebih jauh lagi membuatkan saya trauma akan apa yang sudah berlaku. Hati lelaki saya benar-benar hancur dan tersakiti. Hampir 2 tahun saya berseorangan dgn anak-anak, hati saya masih belum terbuka. Bekas isteri juga masih berseorangan dan menyesali dengan semua perbuatannya.

Haruskah saya memberi peluang dan ruang kemaafan , disaat pintu hati saya masih tertutup?

Cemburu Dengan Adik "Kembar Tahun"

23 Apr 2017


Kami dilahirkan dalam keluarga campur. Ibu berbangsa Melayu , bapa pula berbangsa Cina. Kami hanya dua beradik lelaki. Kami digelar “Kembar Tahun” kerana saya dilahirkan bulan 1, dan adik saya dilahirkan bulan 12. Pada tahun yang sama. Kiranya dalam surat lahir kami dikira umur sama. Dari tadika sehinggalah masuk ke kolej kami akan didaftarkan bersama-sama oleh ibu dan bapa. Kehidupan keluarga kami sangat bahagia, tiada masalah dan penuh kasih sayang . Ibu dan bapa memberi secukupnya kasih sayang , pelajaran dan sebagainya dengan tidak berbelah bahagi tanpa ada favouritism .

Yang menjadi masalah saya ialah tanggapan, pandangan , perlian dan usikan dari orang luar yang membuatkan saya cemburu dan sentiasa merendah diri. Saya dan adik sering bersama kemana-mana. Walaupun kami sebaya, dilahirkan agak rapat, wajah kami ada sedikit perbezaan. Saya lebih kemelayuan dan adik saya lebih kearah wajah campuran.  Jadi , kemana kami pergi, dimana kami berada, kami sentiasa menjadi topik perbualan dan perkara yang diperbandingkan dari semua aspek. Dari segi rupa , karektar, ketampanan, kepandaian , pembawakan diri dan sebagainya. Dan semua aspek yang dibualkan ini sentiasa dimenangi oleh adik saya. Saya betul betul rasa rendah diri.

Ketika di waktu sekolah dulu, kami satu kelas. Saya kerap dibandingkan dengan adik. Rakan-rakan sentiasa menyukai adik saya , kerana dia lebih pandai. Guru-guru pun lebih cenderung fokus dan lebih perhatiannya kepada adik saya. Kata mereka , adik adalah harapan sekolah untuk mendapat result yang bagus dalam SPM. Kami juga sering dibandingkan dari segi sifat dan sikap. Adik dikatakan jauh lebih peramah dan disenangi ketika didekati, sedangkan saya juga mudah untuk membantu orang dalam kesusahan. Paling saya tidak suka apabila mereka sering ulang dan mengulangi mempertikaikan sikap saya yang berbeza dengan adik.

Walaupun ibu dan bapa tak pernah membezakan kami,  bila kami pulang ke kampung sebelah ayah. Nenek, datuk, makcik, dan saudara-mara disebelah ayah sangat menyenangi adik saya. Kata mereka, adik banyak mewarisi keturunan mereka, dan adik membawa tuah dalam keturunan mereka. Saya dilayan seperti orang asing. Saya juga nampak ibu dilayan seperti tidak wujud. Namun ibu banyak bertenang dan bersabar je dengan karenah mereka, mungkin pada ibu yang penting asalkan ayah menyayangi ibu, itu pun dah cukup. Cuma , jiwa remaja saya yang sangat beremosi dan sering bergolak.

Kini kami berada di  kolej, juga perkara yang sama berlaku. Saya pernah bagitahu ibu, yang saya tak mahu lagi berada di kolej yang sama bersama adik. Selepas Spm, saya berhasrat untuk belajar berasingan. Di kolej lain. Tapi ibu tak membenarkan. Katanya kami adik-beradik harus sentiasa bersama dan membantu di antara satu sama lain. Tapi ibu tak pernah faham emosi dan perasaan yang saya hadapi. Bila saya sentiasa berdekatan dengan adik, saya akan sentiasa diketepikan dari segenap hal. Ini membuatkan saya cemburu dan sedih. Saya tidak suka tetapi tiada kuasa menghentikan orang terus membandingkan kami.

Di kolej juga , rakan-rakan wanita lebih menyukai ketampanan yang dimiliki oleh adik saya. Adik juga sering mendapat surat-surat cinta dari mereka yang ingin kenal lebih rapat. Ada yang ingin jadi teman wanita, ada yang ingin jadi adik angkat, kakak angkat. Bila kami berada dalam kumpulan perbincangan, respons mereka hanya pada adik, seolah –olah saya tidak wujud dalam kumpulan perbincangan tersebut. Seolah-olah ketampanan adik saya tu, jadi sumber inspirasi buat mereka apabila  ada kumpulan perbincangan. Saya sangat-sangat merasa rendah diri. Saya fikir kalau saya berterusan begini, ia mungkin akan memberi kesan kepada prestasi pembelajaran saya. Saya ingin sekali berada jauh daripada adik saya. Saya ingin ada kehidupan saya sendiri tanpa dipengaruhi kelibat adik saya. Cukuplah saya mengenalinya dan rapat apabila dirumah.

Bantulah saya kawan, untuk menaikkan semangat dan menghentikan perasaan cemburu dan rendah diri.

-Hafiz Liu-



IbuBapa Tidak Setuju Bakal Menantu Bangsa Asing

22 Apr 2017


Saya lelaki berusia 30 tahun dan masih belajar di luar negara dalam jurusan engineering. Saya berkenalan dengan seorang classmate saya yang sebaya, tapi dia warga negara luar(berbangsa asing). Saya menjalinkan hubungan dengan dia dah 3 tahun, dan saya memang benar-benar jatuh cinta kepada wanita ini.Saya jatuh cinta terhadap sikapnya yang sangat lemah lembut, prihatin dan tidak terlalu bersosial seperti rakan-rakannya yang lain. Saya sangat selesa bila bersama dengan dia.
Untuk mengelakkan dia salah faham, saya berterus terang dan meluahkan perasaan saya kepada die, namun kami memegang ajaran agama yang berbeza. Bermakna kami tidak boleh bersama sekiranya dia bukan beragama Islam. Sedikit sebanyak saya bercerita kepada dia tentang ajaran agama Islam. Dia memahami maksud yang saya cuba sampaikan dengan tenang, cuma tidak pasti dia sudi menerima saya atau tidak jika saya ingin serius dengannya. Kiranya kami masih di peringkat mengenal hati budi masing-masing. Namun sikap dia yang suka mengambil berat, menyenangkan hati saya, apatah lagi bila berada di luar negara.
Naluri hati saya, ingin serius dengan hubungan ini, sesuai dengan umur kami sekarang. Jadi saya berhubung dengan kedua ibu bapa saya dan menyatakan hasrat hati saya. Tapi malangnya ibubapa saya tidak bersetuju dengan pilihan hati saya. Kata mereka, ramai lagi calon-calon lain yang senegara dan seagama, kenapa saya perlu memilih wanita berbangsa asing. Saya jadi serba salah. Bukan saya tak pernah cuba mencari calon senegara tapi hati dan perasaan saya dah jatuh hati kepada rakan wanita saya ini. Saya tidak memandang rupa paras atau harta, tetapi melihat keserasian dan kesuaian  sikap dan sifat apabila bersama. 
Kata ibu, berat cabarannya berkahwin dengan pasangan berbeza negara dan yang baru memeluk Islam. Semuanya perlu dibimbing dari bawah. Dan kalau berlaku sedikit kesilapan yang tak boleh ditoleransi, berat nak menanggungnya. Saya cuba menjelaskan, yang saya bersedia dengan semua jangkaan tersebut , namun ibu berkeras tidak bersetuju dengan keputusan saya.
Bantahan mereka menyebabkan saya patah semangat dan berat untuk meneruskan hubungan dengan si dia. Saya terlalu menyayanginya dan mencintai die sepenuh hati saya. Sesiapa boleh bantu saya , bagi idea bagaimana untuk saya meyakinkan kedua ibu bapa saya tentang pilihan hati saya . Saya pasti, mesti ada pembaca yang pernah menghadapi situasi begini

-Razi-

Realiti Seorang Isteri Perokok

5 Apr 2017


Dalam kehidupan berkeluarga, pasangan suami isteri sememangnya perlu menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing demi kerukunan dan keharmonian rumahtangga dan untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Justeru itu, sikap bertolak ansur dan hormat-menghormati sangat penting bagi memastikan perasaan, kesihatan dan kesejahteraan pasangan masing-masing sentiasa terpelihara, baik dari aspek fizikal, mental, moral dan material.

Statistik menunjukkan bahawa bilangan perokok lebih ramai terdiri daripada kalangan golongan lelaki, ada baiknya jika kaum lelaki, sama ada yang merokok mahu pun tidak, sesekali diajak memberikan perhatian kepada sikap atau tabiat mereka yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada pasangan, keluarga serta anak-anak, (dalam konteks ini, khususnya tabiat merokok). Ini diharap dapat menimbulkan kesedaran atau mencetuskan hasrat sama ada ingin berhenti atau tidak akan sama sekali mengamalkan tabiat merokok di hati suami demi cinta dan kasih sayang terhadap isteri serta zuriat mereka.

Seseorang perokok biasanya mula mengamalkan tabiat merokok pada usia muda, malahan ketika di bangku sekolah lagi. Apabila meningkat remaja, dewasa sehinggalah berkahwin, kebanyakan mereka sudah pun menjadi perokok tegar apatah lagi masing-masing sudah bekerja, mempunyai wang sendiri dan mampu memperuntukkan sejumlah perbelanjaan untuk tabiat tersebut atas dasar kelaziman walaupun sedar dan mengetahui kesan buruk tabiat tersebut terhadap kesihatan sendiri.

Ke’taksub’an (sebenarnya ketagihan) terhadap tabiat merokok, menyebabkan seorang perokok, merangkap seorang suami (dan dalam banyak keadaan, juga seorang bapa), lazimnya hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan orang di sekelilingnya sehinggakan rokok dianggap, lebih penting dan utama daripada isteri serta anak-anak.

Perokok Pasif

Ramai suami/ bapa yang tidak sedar (atau sedar tetapi tidak peduli) bahawa apabila mereka menyalakan sebatang rokok di depan isteri dan anak-anak, mereka hanya menyedut 25% daripada asap tembakau yang dihisap (kerana puntung rokok mempunyai penapis), tetapi ahli keluarga yang berada berdekatan dengan mereka (perokok pasif) menyedut sebanyak 75% kandungan racun daripada asap tersebut.

Bahaya yang dihadapi oleh perokok pasif lebih tinggi kerana asap yang disedut oleh perokok pasif mengandungi:

  • 2 kali ganda kandungan nikotin
  • 3 kali ganda kandungan tar
  • 5 kali ganda kandungan karbon monoksida
  • 50 kali ganda kandungan bahan kimia merbahaya

Isteri selalunya adalah orang yang paling rapat dengan seorang suami yang merokok. Isteri yang tidak merokok selalunya memang tidak suka dengan tabiat suami yang merokok tetapi dalam banyak keadaan, tiada apa yang mampu dilakukan selain daripada hanya memberi nasihat. Tabiat merokok suami ini menyebabkan isteri perokok berada dalam dilema dan terpaksa menghadapi pelbagai senario yang tidak menyenangkan.

Risiko Penyakit

Antara masalah yang berkemungkinan dihadapi oleh isteri perokok ialah:

  • Melahirkan bayi yang kurang berat badan atau kandungan tidak cukup bulan, sekiranya hamil.
  • Lebih terdedah kepada ancaman menghidap pelbagai jenis kanser.
  • Menghadapi masalah kesuburan dan putus haid lebih awal.


Kesan yang lebih buruk boleh berlaku, sekiranya isteri itu sendiri juga merupakan seorang perokok. Ini kerana wanita mengandung yang merokok berisiko mengalami kesan pembalikan yang berbahaya terhadap kehamilan dan bayi yang dikandung. Selain boleh mendatangkan masalah kepada uri dan keguguran spontan, bayi juga boleh dilahirkan tidak cukup bulan atau meninggal dunia sebaik dilahirkan.

Isteri seorang perokok juga berkemungkinan perlu menjaga anak yang menghidapi pelbagai masalah kesihatan kesan suami/ bapa yang merokok, antaranya:

  • Anak lebih mudah mendapat lelah
  • Anak lebih berisiko mendapat jangkitan paru-paru
  • Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak khususnya bayi yang masih kecil mudah terganggu.

Kesan Terhadap Perbelanjaan Keluarga
Suami/ bapa yang merokok semestinya mampu menyedari dan mengalami sendiri bagaimana terjejasnya kemampuan kewangan mereka akibat jumlah perbelanjaan yang besar yang diperuntukkan untuk meneruskan ketagihan terhadap tabiat ini. Ada kalanya, perbelanjaan keluarga untuk sara hidup seharian, membeli makanan, pakaian, peralatan persekolahan, malahan susu dan lampin untuk anak-anak pun turut terjejas dan harus dikorbankan untuk menampung ‘tabiat’ yang sama sekali tidak bermanfaat ini.

Akibatnya, sumber kewangan keluarga yang sememangnya terhad berterusan menjadi masalah. Hendak berbelanja untuk keperluan asas pun tidak mencukupi, apatah lagi untuk menabung untuk masa kecemasan, pendidikan anak-anak dan untuk kehidupan hari tua.

Isteri yang turut sama berjimat dan menyumbang terhadap sumber kewangan keluarga ada kalanya turut makan hati apabila wang yang sepatutnya boleh dilaburkan untuk keperluan yang lebih mendesak, dileburkan untuk kepuasan merokok yang tidak akan pernah padam.

Situasi pastinya menjadi lebih buruk sekiranya ada anak/ ahli keluarga mengalami pelbagai masalah kesihatan akibat tabiat merokok suami. Perbelanjaan keluarga juga sedikit sebanyak pasti akan terjejas apabila sejumlah wang perlu dibelanjakan untuk kos rawatan anak/ahli keluarga yang sakit. Selain wang ringgit, kos masa, tenaga, fikiran dan perasaan ahli keluarga lain yang terpaksa berulang alik ke hospital, menemani, merawat dan lain-lain juga harus diambil kira. Bagi keluarga yang mempunyai taraf ekonomi yang rendah atau sederhana, ini boleh menimbulkan masalah lain dalam keluarga yang boleh menjejaskan keharmonian rumahtangga terutamanya apabila berlaku perselisihan faham antara suami isteri.

Anak-anak adalah harta yang tidak ternilai kepada setiap pasangan suami isteri. Kehadiran anak-anak dalam keluarga membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada ibu bapa. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan anak-anak permulaan yang baik dalam kehidupan mereka. Maka, suami isteri sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab wajib berusaha untuk melindungi dan berhenti meracuni mereka dengan asap rokok.

Risiko Terhadap Hubungan Kelamin

Harus diingat, tabiat merokok juga berkemungkinan boleh menjejaskan hubungan kelamin pasangan suami isteri. Contohnya, isteri seseorang perokok mungkin akan berhadapan dengan dilema gangguan hubungan kelamin kesan suami yang mengalami masalah kegagalan alat kelamin suami untuk berfungsi (mati pucuk) akibat tabiat merokok.

Kebiasaan merokok menyebabkan pegantungan dan ketagihan terhadap nikotin. Nikotin menyebabkan saluran darah ke zakar menjadi sempit dan tersumbat seterusnya mengakibatkan kegagalan alat kelamin suami untuk mencapai ereksi serta melaksanakan fungsi seksual. Kualiti sperma suami akan terjejas, kemampuan mencapai ereksi akan berkurangan dan kemampuan tenaga batin akan menjadi lemah. Maka, seorang suami yang merokok bukan sahaja mesti mengambil berat tentang kepuasan dan kesejahteraan isteri mereka, malahan kesihatan, kesejahteraan dan kemampuan fizikal mereka sendiri. Masalah tenaga batin akan menyumbang kepada ketidakpuasan hubungan suami isteri dan ada kalanya, boleh mengakibatkan keretakan rumah tangga.

Warisan Sikap Dan Tabiat Kepada Anak-Anak

Peribahasa Melayu ‘bapa borek, anak rintik’ ataupun ‘like father, like son’ adalah antara bidalan yang memberikan gambaran bagaimana sikap dan amalan suami/ bapa bakal menjadi contoh dan ikutan anak-anak. Jika sikap baik yang diamal dan ditonjolkan, baiklah pula sikap yang dicontohi oleh anak-anak dan jika sebaliknya, buruklah sikap yang akan diwarisi oleh anak-anak.

Tidak dapat dinafikan bahawa selain desakan rakan (peer pressure), ramai dalam kalangan golongan muda yang mengamalkan tabiat merokok ini mengambil contoh atau meniru sikap atau amalan tersebut daripada suami, isteri atau khususnya, ibu bapa yang merokok. Walaupun ada juga golongan muda yang merokok sedangkan ibu bapa mereka tidak merokok, jumlahnya sangat rendah berbanding mereka yang bapa atau ibunya adalah perokok.

Perokok mengetahui bahawa tabiat merokok adalah tabiat yang tidak sihat, memudaratkan dan tidak berfaedah sama sekali tetapi apabila mereka sendiri tidak mampu meninggalkan atau mengelakkan dari mengamalkan tabiat berkenaan, mereka tidak mempunyai alasan untuk melarang, menjauhkan atau memarahi anak-anak yang mula merokok. Bagaimana bapa yang merokok ingin memarahi anaknya merokok sedangkan dia sendiri merokok di hadapan anak tersebut sejak anak itu kecil? Bukankah itu ibarat ‘kuali mengata belanga hitam’?
Tentunya ramai isteri/ ibu yang kecewa sekiranya mendapat panggilan telefon daripada guru di sekolah memaklumkan bahawa anaknya, tidak kira lelaki ataupun perempuan, ditangkap menghisap rokok di tandas sekolah. Puas sudah si ibu menasihati dan berusaha mendidik anak tersebut supaya jangan sampai terikut dengan tabiat merokok suami/ bapa, tetapi apakan daya. Mungkin nikotin yang dihembus berdekatan anak tersebut sejak zaman kecilnya sudah meresap ke dalam darahnya mengakibatkan si anak ketagihan sejak sekian lama dan sejurus meningkat alam remaja, kecenderungan untuk mula cuba merokok pun tidak tertahan lagi.

Mudah-mudahan ramai suami/ bapa yang mengambil iktibar tentang hal ini dan memberi perhatian kepada bebelan yang selama ini dileterkan oleh isteri. Sayangilah isteri dan anak-anak anda. Jadikan rumah dan ruang persekitaran anda BEBAS ASAP ROKOK.

Rujukan

  1. www.infosihat.gov.my
  2. www.tekno.kompas.com
  3. www.quitsmoking@about.com

Semakan Akhir : 7 Februari 2015
Penulis : Noorlaile binti Jasman
Akreditor : Norddin bin Daud

Kredit : myhealth.gov
Responsive Advertisement

RECENT COMMENTS

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

Online

Artikel Lain

© LAMAN QASEH • Theme by Maira G.