DiCemuh Dan DiPulau Keluarga Kerana Anak Lelaki Jadi Surirumah
Mungkin
ada antara pembaca yang pernah menghadapi situasi seperti Fazil(bukan
nama sebenar), yang diceritakan dalam kisah dibawah. Apa pun admin
sangat kagum dengan beliau , kerana memang jarang dengar suami menjadi
surirumah dan isteri bekerja mencari nafkah keluarga. Apapun mari kita
berlapang dada dan memandangnya secara positif. Mungkin ada perkara yang
kita tak tahu mengapa mereka ambil keputusan sedemikian. Semoga Fazil
dan sekeluarga banyakkan bersabar dan dipermudahkan urusan dalam memujuk ibu dan keluarganya
untuk terima keputusan beliau.
-Admin-
Kredit : UtusanMalaysia
Dipulau Ibu Kerana Jadi Suri Rumah
Saya berusia awal 30-an, berkahwin dengan seorang pegawai di sebuah syarikat swasta yang sangat sibuk dan berjawatan tinggi. Namanya, Shira (bukan nama sebenar). Kami dikurniakan tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki berusia antara dua hingga lapan tahun. Sebelum bernikah dengan Shira, saya bekerja di sebuah syarikat penerbitan selama 10 tahun dengan gaji yang tidak seberapa dan cukup-cukup makan. Alhamdulillah, saya ditemukan jodoh dengan seorang wanita yang ada kedudukan, berpelajaran dan berjawatan tinggi.
Perkahwinan
kami merubah keadaan. Saya tidak lagi susah seperti dahulu. Makan minum
dan perbelanjaan saya mencukupi setelah hidup bersama
Shira. Dia menjaga saya dengan baik dan memberi perhatian 100 peratus
terhadap saya. Sikapnya itu menjadikan saya semakin sayang kepadanya.
Apabila Shira mengandungkan anak sulung kami, dia meminta saya
berhenti kerja dan menjaga rumah tangga kami. Dia memberi saya gaji
lebih daripada apa yang saya peroleh di tempat kerja saya. Demi rumah
tangga dan anak yang bakal lahir, saya setuju dan yakin
keputusan saya berhenti kerja dan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa
adalah paling tepat. Lagipun gaji saya tidak seberapa berbanding dengan
gaji Shira. Saya yakin dengan ganjaran yang dia janji akan berikan kepada saya
sudah cukup untuk saya berbelanja. Saya juga yakin yang kami akan
bahagia dengan cara kami.
Perancangan
kami berjalan lancar. Shira mengotakan janjinya walaupun
saya terpaksa buat semua kerja dalam rumah, memasak dan menjaga anak
dan ke pasar membeli keperluan dapur. Saya bangun awal setiap hari untuk
menyediakan sarapan Shira.
Setelah dia ke pejabat, saya meneruskan tugas saya di rumah seperti
isteri-isteri lain. Bezanya saya seorang suami. Tapi saya gembira dengan
kehidupan ini. Shira tidak pernah membebankan saya dengan kerja rumah.
Jika dia
tidak bekerja dan tidak ada urusan di luar, pasti dia akan membantu saya
di dapur, melakukan apa yang patut sambil melayan anak-anak kami. Dia
seorang isteri yang sangat memahami walaupun di pejabat, dia ada
ramai kakitangan. Di rumah, dia tetap menghormati saya sebagai suami.
Tidak pernah dia menjerit atau memarahi saya. Sikapnya itu menyebabkan
saya semakin sayang dan reda dengan jodoh kami.
Di sebalik kebahagiaan yang saya nikmati bersama Shira, saya dipulau
keluarga yang menyifatkan saya menjadi hamba isteri. Ibu bapa dan
keluarga saya sangat marah apabila mendapat tahu saya berhenti kerja dan
menjadi suri rumah tangga. Malah ibu saya kecewa dengan tindakan saya walaupun saya tidak
pernah lupa mengirim wang kepadanya setiap bulan seperti mana sebelum
ini. Wang yang saya hantar itu adalah duit gaji yang saya terima
daripada Shira setiap bulan. Kata ibu, saya tidak ada maruah kerana membiarkan isteri mengatur
hidup saya. Malah ibu tidak pernah datang ke rumah saya sejak saya
berhenti kerja. Dia tidak sanggup melihat saya membuat semua kerja
rumah. Membasuh berak kencing anak-anak kami ketika mereka masih kecil,
memasak dan melipat kain.
Pernah ibu menangis bila melihat saya buat semua kerja rumah tetapi
saya jelaskan kepadanya yang saya dengan ikhlas buat semua itu demi
kebahagiaan rumah tangga saya, sedangkan kata ibu...,itu semua
tanggungjawab isteri saya, Shira. Ibu sedih sebab Shira yang keluar mencari rezeki, sedangkan saya
duduk di rumah mengambil alih tanggungjawabnya sebagai isteri. Biarpun
saya telah jelaskan dengan baik kepada ibu, tetapi saya gagal
menyakinkan ibu tentang niat baik saya. Akhirnya ibu merajuk dan tidak lagi mahu berkunjung ke rumah saya
dan saya tidak lagi dapat bermanja dengan ibu. Jika saya sekeluarga
balik ke rumah ibu, satu keluarga tidak melayan kami. Shira dan
anak-anak tersinggung. Akhirnya, saya buat keputusan tidak balik ke
rumah lagi.
Tapi saya tidak kesal dengan apa yang saya lalui sebab saya tahu,
satu hari nanti ibu dan keluarga saya akan faham dan menerima kami
semula. Setiap hari, saya berdoa dan tidak pernah putus asa.
Shira juga sama seperti saya. Dia tidak kecil hati dengan apa yang
berlaku dan menyifatkan ini sebagai ujian Allah untuk kami. Pernah juga
dia mencadangkan saya berniaga tetapi saya menolak kerana saya tahu saya
tidak dapat melakukannya sebab tidak ada pengalaman bisnes. Saya selesa
dengan apa yang saya buat sekarang. Tambahan pula Shira
ada membeli kebun berhampiran bandar tempat tinggal kami. Hujung minggu,
kami sekeluarga ke sana untuk berehat. Saya bercucuk tanam di situ
untuk memenuhi masa lapang. Saya gembira kerana selain buat kerja rumah,
saya ada tugas lain
yang boleh menambah rezeki kami sekeluarga. Saya juga berharap satu hari
nanti, keluarga saya akan membuka mata dengan kehidupan saya ini.
Walaupun
sedih kerana keluarga tidak dapat menerima cara hidup saya
yang luar biasa ini, saya yakin satu hari nanti, mereka akan menerima
saya, Shira dan anak-anak kami. Saya akan tunggu saat itu tiba. Biarlah
buat sementara ini, saya ikut keadaan. Lambat laun masanya
akan tiba. Saya yakin dengan perancangan Allah. Saya harap saya boleh
terus bersabar dengan apa yang berlaku. Di sebalik jiwa saya yang kacau
ini, saya tidak pernah putus asa
untuk memujuk ibu. Saya berdoa agar sekeras mana pun hati seorang ibu,
satu hari dia akan lembut juga. Biarlah apa orang nak kata tentang rumah
tangga saya, saya reda
dengan segalanya. Saya bahagia dengan cara saya. Saya tahu pada masa
ini, ramai suami yang tidak bekerja dan tinggal di rumah menjaga
aak-anak dan mengurus rumah tangga.
Bukan
jadi satu kesalahan pun dengan keadaan itu tetapi biasalah
masyarakat kita, kepoh dan semua tidak manis di mata. Kalau kita sudah
reda, orang lain peduli apa? Apa yang saya kongsi dengan anda adalah
pengalaman saya. Tidak semua
apa yang kita inginkan dapat kita peroleh. Ada yang dapat, ada yang
tidak. Ada juga ketikanya Allah uji dengan ujian untuk melihat kesabaran
kita seperti mana yang saya lalui. Saya harap saya akan mendapat
kebahagiaan itu dalam masa terdekat. Itulah doa dan harapan saya
No comments
Post a Comment