Istikharah? Petunjuk Yang Bagaimana Anda Cari?
Tajuk Istikharah sangat popular di kalangan anak muda yang mahu
memeluk cinta. Apabila tiba saat hati rasa diusik-usik, maka pilihan
mahu segera dibuat. Lantas Istikharah menjadi jawapannya.
Sebenarnya, istikharah ini bukanlah tertentu dalam bab memilih jodoh
semata-mata. Di dalam hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam
Bukhari , ia disebut secara umum ; iaitu mana-mana orang yang diberatkan
akan beberapa pilihan , maka hendaklah dia solat dua rakaat iaitu solat
sunat Istikharah, dan kemudian membaca doa ini :
Meskipun pelbagai artikel dan tulisan tentang solat Istikharah serta
persoalan-persoalan berkaitannya bertebaran di sana sini, namun soal
jawab tentangnya tetap berterusan. Kali ini cuba kita lihat secara
ringkas perihal solat sunat Istikharah itu sendiri.
Pertama : Kenapa Perlu
Jawabnya, kerana sebagai manusia, kita tidak lepas daripada berdoa.
Meminta kepada Allah yang Maha Tahu adalah jalan terbaik bagi kita
selaku manusia yang tidak tahu. Pengetahuan kita sangat terbatas,
sedangkan pengetahuan Allah Maha Luas. Dia Tahu tentang apa yang sebelum
kita, serta apa yang bakal berlaku selepas kita. Termasuklah dalam hal
ehwal jodoh serta pasangan kita nanti. Justeru, kita yang tidak tahu ini
perlulah meminta pertolongan Allah untuk menunjukkan kepada kita mana
yang terbaik, supaya dengan keputusan yang kita buat itu kita tidak akan
menyesal di kemudian hari.
Kedua : Kaitan dengan HATI
Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat dengan
hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat petunjuk yang baik.
Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya nanti juga baik. Ada orang,
bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat tetap tak tinggal,
solat wajib tunggang langgang, maka bagaimana hendak mengharap kepada
petunjuk yang baik dan molek ? Justeru, satu proses yang paling penting
dalam bab Istikharah ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika
anda sudah benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh
mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika tidak,
berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada Syaitan.
Ketiga : Perkara yang boleh Istikharah
Perkara yang boleh kita Istikharah hanyalah dalam perkara yang harus
di sisi Syarak sahaja. Tidak ada istilah Istikharah untuk hal yang telah
jelas akan wajib atau haramnya. Umpamanya, nak bayar zakat atau tidak,
tidak perlu Istikharah kerana telah jelas wajibnya. Begitu juga dengan
bercouple, tidak payah Istikharah kerana telah jelas haramnya.
Tetapi dalam hal yang harus, umpamanya untuk memilih antara dua
pekerjaan yang sama-sama halal, maka Istikharahlah memohon petunjuk dari
Allah.
Keempat : Istikharah 50-50
Benda yang telah kita yakin sebenarnya tidak lagi berhajat kepada
Istikharah. Ada orang, berdepan dengan dua pilihan iaitu Nora dan Siti.
Tetapi dalam hatinya, dia memang telah sukakan Siti dan dia tidak
sukakan Nora. Dalam keadaan ini, kalau dia Istikharah sekalipun – dalam
keadaan hatinya sudah meletakkan jawapan – Istikharah itu tiada
maknanya. Istikharah hanya dalam perkara yang kita benar-benar buntu
untuk memilih, antara A dan B keduanya sama berat. Dalam masa yang sama,
kita tidak kisah pun kalau mendapat A ataupun B kerana keduanya tidak
memberi mudharat kepada hidup kita. Jadi, Istikharah dalam hal itu
adalah digalakkan.
Kelima : Satu pilihan, Dua pilihan atau Tiga pilihan
Ini menjawab persoalan seorang sahabat pengunjung blog saya.
Sebenarnya, tidak kisahlah berapa pilihan sekalipun yang ada di hadapan
kita, apa yang kita ingin minta adalah pilihan yang terbaik daripada
kesemua yang ada.Kata kuncinya di sini adalah PILIHAN.
Jika wujud elemen pilihan, wujudlah Isikharah. Jika tidak, bagaimana
untuk wujud Istikharah? Mungkin kita perlu memilih antara A, B atau C.
Mungkin juga kita perlu memilih antara menerima A atau menolak. Mungkin
juga perlu memilih antara membuka ruang untuk lamaran A atau menutup
pintu hati untuk kesemua urusan tersebut. Yang penting, kita benar-benar
berada dalam persimpangan untuk membuat pilihan antara semua yang ada.
Keenam : Istisyarah atau Mesyuarat
Manusia dianugerahkan akal untuk membuat pertimbangan. Justeru ia
perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir, menganalisa dan
mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat atau meminta pendapat
orang berpengalaman – sebagai kembar kepada proses Istikharah itu
sendiri. Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada
proses Istikharah semata-mata- hinggakan ada yang menunggu-nunggu mimpi
dan sebagainya – sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat
kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang matang
akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan belajarlah untuk
menjadi berani membuat keputusan. Itu kan sunnatullah dalam kehidupan.
Ketujuh : Mimpi
Dalam banyak keadaan, ini boleh dikatakan mitos. Dari mulut ke mulut,
petunjuk tentang mimpi adalah benda wajib yang akan dikembarkan dengan
saranan Istikharah. Sedangkan kita tahu, mimpi juga boleh berlaku ke
atas seseorang yang sedang angau. Maka jika si angau ini bermimpi ,
adakah boleh dengan senangnya dia menganggap mimpi itu petunjuk
Istikharah? Tentunya tidak semudah itu. Bagaimana pula jika Istikharah
dan bermimpi calon A lalu mahu membuat keputusan, tiba-tiba esoknya
termimpi pula calon B? Atau, bagaimana jika dalam satu masa yang sama
bermimpi calon A dan B serentak? Maka sebaiknya, jangan gantungkan
Istikharah anda itu dengan sebarang mimpi!
Begitu juga, Istikharah tidak memerlukan sehingga anda dan calon anda
bermimpi perkara yang serupa, barulah dianggap Istikharah anda itu
berjaya. Tidak sama sekali.
Kelapan : Petunjuk yang bagaimana?
Seorang guru saya di Pondok pernah berpesan kepada saya tentang
Istikharah. Katanya, ketika fikiran dan hati kita terbeban mahu memilih
antara A dan B ( atau lain-lain ) maka hendaklah kita melazimi solat
Istikharah. Dalam masa yang sama kita jangan tinggalkan Istisyarah.
Antara petanda yang mungkin hadir adalah, ketika kita bangun daripada
tidur dan teringatkan tentang perkara yang membebani kita itu ( membuat
pilihan ) maka salah satu pilihan tersebut menjadi tenang di hati kita
berbanding pilihan yang lagi satu. Ini salah satu petunjuk bahawa
pilihan itu adalah yang terbaik untuk kita ikut. Mudahnya, petunjuk itu datang ke dalam hati kita sendiri.
Kita sendiri akan merasai perkara tersebut jika kita benar-benar
konsisten dengan Istikharah dan Istisyarah. Ia seterusnya akan mencetus
keyakinan kepada kita dalam membuat langkah seterusnya tanpa ada lagi
perasaan ragu-ragu.
Firman Allah ta’ala : ” Dan apabila kamu telah berazam untuk melakukan sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal “
Kesembilan : Was-was itu daripada Syaitan
Dalam Fiqh, kalau kita yakin kita masih ada wudhuk dan mahu solat,
tetapi tiba-tiba ada semacam bisikan bahawa wudhuk kita sudah batal,
maka bisikan tersebut tidak dikira membatalkan keyakinan kita. Kaedah
menyebut : Yakin tidak akan gugur kerana Syak. Begitu juga dalam bab
Istikharah. Jika sudah yakin dengan pilihan yang kita buat – berdasarkan
doa Istikharah kita kepada Allah serta pertimbangan-pertimbangan yang
kita buat dengan Istisyarah – maka jangan dilayan lagi bisikan-bisikan
umpamanya mungkin akan menyesal, atau nanti begitu atau begini, kerana
kesemua itu sebenarnya adalah helah daripada Syaitan. Seorang ulama’
menyebut : Tidak akan menyesal orang yang melakukan solat Istikharah.
Kesimpulan
Optimislah dengan keputusan sendiri. Belajarlah membuat keputusan
dengan yakin. Jangan harapkan anasir lain membuat keputusan untuk anda.
Istikharah tidak harus sama sekali diletakkan di tahap itu, kerana ia
adalah hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Tetapi meletakkan anasir
lain untuk membuat keputusan, umpamanya mengharapkan mimpi tertentu,
melihat kepada objek-objek tertentu ataupun nombor-nombor tertentu,
kesemua ini akan menjadikan anda seorang manusia yang tiada fungsi. Ia
jauh sekali daripada ajaran Islam, apatah lagi hendak dikaitkan dengan
solat sunat Istikharah.
No comments
Post a Comment