Kalau Mak Ada, Mak Mesti Sedih
MASALAH rumah tangga bukan sahaja berlaku
kepada pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga tetapi juga pasangan
sudah berumur terutama mereka yang baru berkahwin lain. Ada bercinta macam orang muda, bergayut di
telefon siang malam, tak jumpa sehari terasa rindu dan apabila berjumpa tidak
mahu berpisah pula. Bila sudah berkahwin lebihkan isteri baharu dan
keluarganya.Inilah kisah yang saya akan kongsi dengan
pembaca minggu ini. Kisah kiriman Anne (bukan nama sebenar) mengenai ayahnya
yang baru berkahwin lain setelah kematian ibu mereka dua tahun lalu.
Begini ceritanya.
“Saya anak sulung daripada tiga beradik dan
mempunyai seorang adik lelaki dan adik perempuan yang masih menuntut di
universiti. Ibu kami meninggal dunia dua tahun lalu kerana serangan jantung.“Ayah seorang pesara kerajaan, usianya 65
tahun tetapi seorang yang sangat menjaga penampilannya terutama di khalayak.
Pakaian memang sangat style mengalahkan orang muda.“Tidak hairanlah ayah dikejar ramai wanita.
Setelah dua tahun menduda, ayah akhirnya bertemu jodoh dengan seorang kenalan
lamanya, janda beranak tiga juga tetapi kematian suami. Orangnya cantik,
bergaya dan memang sesuai dengan ayah.
“Saya dan adik-adik tidak membantah apabila
ayah memberitahu dia mahu bernikah lagi. Saya gembira kerana sekurang-kurangnya
ayah ada orang jaga sakit demamnya, makan minumnya. “Adik-adik mengikut saya. Baik saya baiklah
mereka, lagipun kami bukan anak yang didik dengan adab sopan menghormati ayah
dan orang tua. Saya tidak nampak keburukan bakal ibu tiri kerana dia sangat
mesra setelah ayah perkenalkan kepada kami beberapa bulan sebelum mereka
bernikah.
“Seperti yang saya boleh agak, selepas
berkahwin ayah banyak menghabiskan masa dengan makcik dan keluarganya. Saya
dan adik-adik selalu tinggal bersendirian sebab ayah lebih kerap tinggal di
rumah makcik dari rumah kami. “Alasan ayah, saya sudah dewasa untuk menjaga
adik-adik semasa ketiadaan ayah. Sedangkan ayah tahu, kami perlukan dia. Ini
tidak, dalam sebulan seminggu pun ayah jarang dapat bersama kami. Sehinggakan ada kalanya saya terpaksa
menelefon dan mesej untuk beritahu ayah sesuatu yang mustahak. Nasiblah kalau
ayah baca, jika tidak, tunggulah.
“Saya sangat sedih dengan perangai ayah. Tidak
sangka ayah akan mengetepikan anak-anak kerana dapat isteri baharu. Sedangkan
masa belum kahwin ayah berjanji akan tinggal bersama kami. Makcik pun setuju dengan
syarat kami. “Tapi bila sudah berkahwin lain pula jadinya.
Ayah ikut cakap isteri baharu, lupa janjinya dengan kami. Dia seronok dengan
isteri baharunya, kami dibiar menangis kerana sedih dengan sikap ayah. “Saya banyak kali menegur ayah tetapi saya
pula kena marah sebab ayah kata saya cemburu dengan anak-anak tiri ayah. Siapa
saya hendak cemburukan mereka? Itu hak ayah. Saya tidak kisah. “Yang saya kisah tanggungjawab ayah kepada
kami tiga beradik. Itu yang ayah perlu fikirkan, bukan enjoy dengan makcik ke
sana sini. Saya tidak marah ayah layan makcik dan anak-anaknya tetapi pada masa
sama perlu ingatkan kami juga.
“Adik-adik masih perlukan ayah. Mereka masih
belajar. Saya sudah boleh berdikari sebab saya sudah berkerja dan ada
pendapatan sendiri. Saya tidak akan susahkan ayah tetapi adik-adik perlukan
wang untuk belajar dan sara hidup mereka. “Saya pernah bincang hal ini dengan opah
sebelah ayah, sayangnya mereka tidak memihak kepada saya sebab kata mereka
ayah ada keluarga baharu, dia perlu lebih bertanggungjawab terhadap mereka.
Habis saya dan adik-adik ini tanggungjawab siapa? “Enam bulan selepas itu saya ambil keputusan
bertukar kerja di utara, kerana mahu dekat dengan nenek sebelah mak yang sangat
mengambil berat hal kami tiga beradik. Saya nekad buat keputusan kerana
adik-adik juga belajar di utara.
“Saya tidak minta pendapat ayah sebab saya
sudah tahu akan jawapannya. Saya benar-benar kecewa dengan sikap ayah dan
sedih. Saya mahu berdikari dan hendak jaga adk-adik jauh dari ayah. Cara itu
saya rasa lebih selamat. “Adik-adik juga setuju. Kalau ayah sayang
kami, dia akan datang menjenguk kami di kampung. Jika tidak, saya dan
adik-adik hanya berserah kepada Yang Esa.“Sekarang saya rasa tenang. Tidak fikir lagi
akan hal ayah walaupun kadang kala saya sangat sedih. Kalau mak ada, mesti mak
sedih dengan perbuatan ayah. Saya hanya mampu berdoa dan minta Allah bagi kami
kekuatan untuk terus hidup.
“Ayah masih macam dahulu, kejap timbul, kejap
hilang, tapi banyak hilang dari ada. Tapi, kami tidak kisah sebab nenek
sentiasa ada. Nenek pengganti mak, ibu saudara dan keluarga sebelah mak
sentiasa menyokong kami, memberi layanan dan kasih sayang tidak berbelah
bahagi. “Syukur kepada Allah. Itu tidak bermakna saya
dan adik-adik tidak ingat kepada opah sebelah ayah, tetapi kami agak renggang
sebab ayah yang menjadi puncanya.“Saya berharap kepada anak-anak yang ayah
mereka kahwin lain setelah kematian ibu atau sebaliknya, kuatkan semangat dan
reda dengan apa yang akan dihadapi. Kita tidak boleh halang ayah atau ibu
kahwin lain sebab itu hak mereka. Kena banyak sabar dan berdoa agar semuanya
akan baik-baik belaka.
“Saya juga berharap ayah akan sedar
kesilapannya dan kembali kepada kenyataan dia masih ada anak yang perlukan perhatian.
Semoga Allah dengar doa kami. Aamiin..” demikian Anne menamatkan ceritanya. Saya hanya mampu meminta Anne bersabar dan
berdoa jangan putus. Saya percaya satu hari nanti ayahnya akan sedar dan
kembali memikul tanggungjawbnya semula. Syabas kepada Anne kerana menjadi anak yang
baik dan bertanggungjawab. Mudah-mudahan Anne dan adik-adiknya mendapat
keberkatan di dunia dan akhirat. Mengundur diri, pesanan ikhlas saya, Allah
selalu memberikan kelebihan di sebalik kekurangan dan Allah juga selalu
memberikan kekuatan di sebalik kelemahan. Ketika perjalanan hidup terasa
membosankan, Allah menyuruh kita untuk banyak bersyukur.
No comments
Post a Comment