Lepaskan Jawatan Tinggi Gara-gara Difitnah Dan Di Goda Isteri Orang
DI kala nilai kasih sayang dipinggirkan dan sifat benci serta dendam
lebih mekar, maka dengan sendirinya akan terhakis nilai-nilai murni
yang selama ini menjadi kekuatan seorang manusia. Pengalaman membuktikan bagaimana akan hancur sebuah hubungan lantaran
sikap manusia yang membelakangkan nilai kasih sayang sesama manusia. Hakikat yang sukar untuk dinafikan iaitu budaya dendam dan membenci
yang kian membarah dalam diri, sekali gus menghakis tanggungjawab
sebagai khalifah di muka bumi ini. Keghairahan merebut kuasa sering kali
menjadikan masyarakat semakin hilang pertimbangan rasional dan nilai
kasih sayang sehingga ada yang tergamak memasukkan pasir ke dalam periuk
nasi orang lain.
Ini cerita yang saya pilih untuk dikongsi dengan pembaca minggu ini.
Kisah kiriman Zabidi (bukan nama sebenar) yang telah hampir 10 tahun
berlalu tetapi masih segar dalam ingatan. Kata Zabidi, ia sekadar pengalaman hidup yang ingin dikongsi dengan
pembaca di luar sana. Jika anda pernah teraniaya, jangan gundah atau
kesal, sebaliknya berusahalah untuk memajukan diri dan bertawakal kepada
Ilahi kerana segala yang tersurat akan ada hikmahnya.
Begini kisah Zabidi.
"Ketika menuntut di universiti, saya berkenalan dengan seorang gadis
bernama Suri (bukan nama sebenar). Kami kerap bertemu di perpustakaan
untuk mencari maklumat dan juga menghabiskan masa membaca dan mengulang
kaji pelajaran. "Di luar bilik kuliah, kami keluar secara berkumpulan dan begitulah
hari-hari yang saya lalui sehingga terbit bibit-bibit kasih, namun kami
masing-masing memendam perasaan.
"Mujur seorang sahabat sanggup menjadi orang tengah dan kami
disatukan sebagai pasangan kekasih. Syukur kerana cinta kami mendapat
restu daripada keluarga. Akhirnya setelah hampir setahun bertunang, kami
disatukan sebagai suami isteri. "Kami dikurniakan dua orang anak, yang sulung berusia 11 tahun dan
yang kedua lapan tahun. Melihat mereka membesar, satu kepuasan dan
keluarga adalah segalanya dalam hidup kami.
"Anak-anak umpama permata yang menyinari dan membahagiakan sesebuah
keluarga. Oleh itu, setiap ibu bapa wajib menyempurnakan amanah
tersebut. Jika betul didikan maka terhasil sebuah kehidupan yang
harmoni. Itulah yang kami lakukan untuk mendapatkan anak soleh dan
solehah serta keluarga bahagia mengikut syariat. "Isteri saya mohon untuk bersara awal kerana mahu menumpukan
perhatian kepada keluarga dan saya amat gembira dengan keputusan Suri.
"Hari bertukar tahun akhirnya saya dinaikkan pangkat. Ini rezeki
untuk keluarga dan saya bersyukur kerana mendapat perhatian daripada
pihak atasan serta berjanji untuk meningkatkan lagi prestasi tugasan
yang telah diamanahkan. "Suasana di pejabat tidak sama seperti di rumah yang mana setiap
kerja boleh ditangguhkan. Di pejabat, segalanya memerlukan kepantasan
untuk menyiapkan tugasan jika diminta berbuat demikian.
"Rakan sekerja saya, Siti (bukan nama sebenar) menjadi teman setia
saya dalam melakukan kerja-kerja di pejabat, sebab kami berada di unit
yang sama. "Dalam diam, Siti menyimpan perasaan terhadap saya walaupun dia
berstatus isteri orang. Saya pura-pura tidak memahami perasaannya,
sebaliknya terus menumpukan pada perkara yang melibatkan tugasan rasmi
kami seperti yang diarahkan. "Saya selalu berpegang kepada pesanan ibu saya, kita perlu rasional
dalam tindakan jika terbabas sukar untuk berpatah balik atau membuat
pusingan U.
"Setiap kali bila kelapangan saya akan menghubungi isteri di rumah,
bertanyakan khabar dan menu apa yang disediakan untuk kami sekeluarga. "Walaupun disindir oleh rakan-rakan tetapi bagi saya itu satu cara
untuk mengelak daripada terjebak dengan hubungan terlarang yang amat
dahsyat kesannya. "Siti sesekali menyindir saya kerana menolak pelawaannya untuk makan
bersama. "Hai takutkan orang rumah ke?" tetapi saya tidak memberi
apa-apa respons kerana sudah masak dengan kerenahnya yang suka
mengambil kesempatan.
"Kerana terlalu marah dengan saya yang tidak melayannya, Siti telah
menyebarkan cerita yang kononnya rumah tangga kami sedang dilanda badai.
Berita yang kurang menyenangkan ini sampai ke pengetahuan isteri saya. "Suri amat memahami situasi di pejabat kerana dia juga pernah
bekerja, jadi dia abaikan sahaja hal tersebut bila saya menceritakan hal
yang sebenar. Untuk apa mengundang dosa jika kebahagiaan telah berada
dalam genggaman.
"Pelbagai idea Siti lakukan untuk menjerat saya tetapi saya tidak
sebodoh yang dia fikirkan. Setelah berbincang dengan isteri di rumah,
saya akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan yang tinggi
dan lumayan gajinya demi menyelamatkan rumah tangga saya.
"Tindakan saya telah mencetuskan pelbagai tanggapan dalam kalangan
rakan-rakan tetapi saya diamkan sahaja kerana tidak mahu mendedahkan aib
seorang wanita yang bergelar isteri orang. "Jika dilayan akan menjadi-jadi perangainya, mengalahkan orang
bujang. Malah dia langsung tidak rasa bersalah dan malu dengan
perangainya itu. "Kini, saya merasa tenteram dan aman dengan tugasan baru yang saya
pikul. Sekurang-kurangnya saya tidak diganggu oleh isteri orang yang
menggoda saya di pejabat.
"Kehidupan saya kini lebih membahagiakan dan kerja baru saya juga
memberi rezeki yang lebih lumayan untuk kami sekeluarga. Saya amat
bersyukur kerana diberi kesedaran lebih awal oleh Allah untuk
menyelamatkan rumah tangga saya. Alhamdulillah, terima kasih kepada Suri
yang sangat memahami masalah saya dan tidak melatah dengan apa yang
saya hadapi. "Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan isteri terutama apabila
membabitkan orang ketiga tetapi saya dikurniakan seorang isteri yang
baik dan penyabar orangnya.
"Sebagai lelaki, saya amat pelik dengan sikap wanita sekarang yang
terlebih berani. Mereka tidak ada perasaan malu dan segan hingga sanggup
menggoda lelaki lain sedangkan mereka juga ada suami. "Apa hendak jadi dengan dunia sekarang, saya pun tidak tahu. Saya
berdoa supaya Siti sedar akan perangainya yang salah itu dan
mudah-mudahan dia akan insaf dan bertaubat. Hidup ini hanya sementara,
jadi sebelum terlambat elok kembali ke pangkal jalan. "Sepatutnya dia malu dengan sikap buruknya itu setelah saya tidak
melayannya tetapi ini tidak, dia semakin menjadi-jadi hingga saya
terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja.
"Selepas ini, saya tidak tahu siapa pula yang akan menjadi mangsanya.
Harapan saya, semoga dia menghentikan perangai buruknya itu dan kembali
mentaati suami yang sangat mencintainya. "Saya kesal kerana suaminya tidak tahu isterinya berperangai begitu
dan mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hatinya untuk kembali menjadi
isteri yang solehah. Kepada para suami di luar sana yang mungkin
menghadapi situasi sama seperti saya, jangan melatah dan mengikut arus.
Kalau boleh elak, elok mengelak.
"Fikirkan masa depan anak-anak, fikirkan pengorbanan isteri. Tumpukan
perhatian terhadap keluarga kerana mereka adalah amanah Allah. Masalah
boleh selesai jika kena caranya. Semoga Allah merahmati keluarga saya di
dunia dan akhirat. Amin, Zabidi menamatkan ceritanya. Terkedu saya dengan cerita Zabidi. Memang Zabidi terbukti seorang
suami yang baik, prihatin dan sayangkan isteri dan anak-anaknya. Sebagai ketua keluarga, Zabidi telah menjalankan tanggungjawabnya
dengan baik. Pengorbanannya meletak jawatan kerana menjaga maruahnya
amat dipandang tinggi. Alangkah bahagianya rumah tangga jika ada ramai
lagi lelaki seperti Zabidi dalam masyarakat kita.
Doa saya agar Allah makbulkan doa Zabidi untuk kebahagiaan keluarganya di dunia dan akhirat. Menamatkan catatan, pesanan saya, wanita insan yang dikurniakan
dengan keajaiban, dia boleh menjadikan sesebuah rumah itu seperti syurga
dan bisa menukarnya menjadi sebuah neraka.
Salam
No comments
Post a Comment