Kerana Harta, Adik-Beradik Berbalah
SAYA cukup tertarik dengan kisah 'Mencari Keberkatan hidup' yang dipaparkan di ruangan ini beberapa minggu lalu. Tentang permaufakatan adik beradik atas harta tinggalan arwah ibu ayah mereka. Dan mereka lakukan yang terbaik untuk menambah pahala ibu ayah mereka. Malangnya adik beradik saya berbalah berebut harta hingga menyusahkan arwah ibu dan ayah di alam sana.
Saya bayangkan ditakdirkan kami berenam beradik boleh berpakat
seperti itu tentu hidup kami lebih bahagia dan tentu arwah ibu bapa kami
lebih tenteram di sana. Kami tidak ramai tetapi malangnya kami masih
tidak dapat membuat keputusan tentang harta peninggalan arwah." Demikian
cerita Siti Sara dalam emelnya.
Emak saya meninggal dulu daripada ayah. Walaupun sudah lapan tahun
berlalu, tetapi baik ayah mahupun kami adik-beradik tidak dapat buat
keputusan tentang harta peninggalan emak. Emak juga ada harta peninggalan arwah nenek atas nama emak tetapi
dikongsi bersama adik-beradik emak yang lain. Pendek kata harta ada,
tetapi pemiliknya bukan seorang, ada sangkut paut dengan orang lain.
Kata kakak apa yang berlaku kerana emak tak mahu putuskan semasa
hayatnya dulu, maka susahlah nak buat keputusan sekarang, sementara itu
ada pula adik-beradik emak yang sudah meninggal dunia. Pendek kata
memang sulit nak diputuskan.
Oleh kerana ayah masih ada maka perkara tersebut didiamkan begitu
sahaja hinggalah ayah meninggal dunia setahun lalu. Barulah
masing-masing bersuara tambahan pula tanah emak itu hendak dibeli oleh
sebuah syarikat pemaju untuk dirikan projek mereka. Barulah
masing-masing terbuka mata, barulah mahu 'ambil kuasa'.
Bab nak ambil surat kuasa atas tanah tersebut bukan mudah. Mesti
ada persetujuan adik-beradik dan mestilah orangnya amanah dan mahu
menguruskannya serta ada masa. Kami minta abang sulung usahakan ambil
kuasa. Tapi abang sulung buat tak kisah. Sebab katanya, dia perlukan
duit untuk urusan pindah milik dan turun lain ke pejabat tanah.
Malangnya dalam diam abang tetap teruskan usahanya, kerana dia
telah dijanjikan jumlah wang yang banyak jika dia jual tanah emak kepada
syarikat tersebut. Bila berita itu bocor, maka berlakulah bertengkaran
antara adik dengan abang. Tuduh menuduh berlaku. Dan sudah pasti tidak
ada kepercayaan antara mereka lagi. Keadaan menjadi lebih kacau bila
isteri abang masuk campur, kerana beliau mahu tanah tersebut segera
dijual.
Walaupun saya dan kakak cuba bawa mereka berunding, tetapi gagal
kerana setiap kali berbincang kakak ipar masuk campur. Katanya bila
minta duit untuk upah abang mengurusan 'ambil surat kuasa' untuk belanja
turun naik pejabat tanah, tidak ada siapa nak bagi duit, semua abang
belanja sendiri. Tetapi bila nak dapat duit semua nak minta duit. Perkataan kakak ipar kami itu sudah tentu menyakitkan hati dua
orang adik lelaki saya. Maka tuduh menuduh berlaku, mereka pula mendakwa
abang nak jual harta, nak makan sendiri tanpa memberitahu kami adik
beradik.
''Bila kes terbongkar abang cuba jual untuk dirinya sendiri, abang
pula mengamuk maka turuh-menuduh berlaku. Tetapi peliknya kami dapat
tahu abang dah dapat duit pendahuluan untuk proses penjualan tanah
tersebut. Namun abang dan isterinya menafikan. Saya tak tahu siapa yang
betul. Sudah beberapa kami saya dan kakak berjumpa abang supaya selesaikan
kes ini dengan segera, bukan kerana kami hendakkan hartanya, tetapi
kami tak mahu adik beradik bergaduh kerana harta. Kata kakak jika sudah
diuruskan surat ambil kuasa, abang boleh jualkan tanah tersebut dan bawa
berbincang dengan adik beradik jumlah tawarannya.
Sedihnya hingga kini kes pembahagian harta pusaka emak dan ayah
masih tak selesai peliknya tanah tersebut telah dipagar oleh pemaju
untuk membangunkan projek mereka. Kami diam bukan kerana takut, tetapi tak mahu mereka bergaduh pasal
tanah dan harta. Namun kami yakin memang ada kebenarnnya proses
pembelian tanah tersebut telah berlaku, jika tidak takkan ada orang lain
berani ceroboh tanah arwah emak kami.
Beberapa bulan lalu adik-adik lelaki kami telah jumpa peguam untuk
membincangkan masalah tanah arwah emak yang diambilalih oleh pemaju.
Kami pasti akan berlaku lagi pertengkaran adik-beradik tentang harta
tersebut. Inilah masalahnya jika emak tinggalkan harta untuk anak-anak
pun susah, tak ditinggalkan harta pun susah. Semuanya kerana tidak ada
kepercayaan antara adik-beradik, dan ditokok tambah pula dengan campur
tangan ipar duai yang mempunyai kepentingan peribadi.
Peliknya mereka berebutkan tanah tinggalan emak, hingga mereka
terlupa keadaan rumah emak yang ditinggalkan selepas kematian ayah.
Keadaan rumah semakin teruk, bocor sana sini, rumput tak dipotong dan
tak berjaga. Dulu saya bersihkan dan sewakan, duitnya saya kumpul dan diberi
sama rata setiap enam bulan sekali. Tetapi adik-beradik lelaki bantah,
katanya, sebagai anak lelaki mereka patut dapat dua bahagian. Jika gitu
saya minta mereka saja uruskan, tetapi mereka tolak. Akhirnya saya minta
adik bongsu tinggal di sana sementara beli rumah sendiri. Malangnya
yang lelaki minta bayaran sewa. Kerana merajuk adik tinggalkan rumah
tersebut selepas tiga bulan tinggal di sana. Kini keadaan rumah jadi
teruk semula.
Pada pandangan saya ini semua terjadi kerana adanya sikap tamak
antara adik beradik saya mereka rela rumah itu jadi lebih teruk dan
bocor daripada disewakan atau dibenarkan adik sendiri tinggal di situ. Masalahnya hingga kini tentu pembaca dapat bayangkan harta
peninggalan arwah emak dan ayah langsung tidak memberi faedah kepada
kami anak-anaknya, kerana ada antara kami yang bersikap tamak dan
mencurigai antara satu sama lain. Malah ada yang sanggup biarkan harta
itu hancur daripada diberikan kepada adik untuk menjaganya.
Ada juga sanggup menjual tanah secara sembunyi untuk kepentingan
diri. Sementara harta pemberian nenek kepada emak langsung tidak
dipedulikan kerana mereka malas berusaha untuk mengambil kuasa. Sebab
takut keluar duit sendiri.
Demikian cerita Siti Sarah panjang lebar tentang harta peninggalan
arwah emak ayahnya yang langsung tidak digunakan sebaik mungkin oleh
anak-anaknya. Jadi kepada pembaca semua ambillah iktibar daripada cerita
Siti Sarah ini supaya harta pusaka anda bawa berkat setelah anda
meninggal dunia.
No comments
Post a Comment