Kalau Tak Mahu Menyesal, Hayati Cerpen Ini Dulu Sebelum Anda Menyertai Reunion Universiti
Berpeluh-peluh Farid. Kakinya berat nak melangkah masuk ke dewan, sedangkan acara sambutan 10 tahun Alumni Universiti 2017 sudah pun bermula.
"Abang kenapa ni bang?" tanya Marina.
"Abang rasa tak sihat la Na," kata Farid.
"Awak jugak yang beria nak ajak saya datang," kata Marina.
Farid
tak tahu apa lagi alasan hendak diberikan. Dia berjalan laju sampaikan
Marina tertinggal, lalu terus melangkah masuk ke dewan. Peluh merecik
mengalir membuatkan wajahnya berkilat-kilat dalam udara sejuk.
Terus Farid berdiri di tepi pintu dewan, tiba Marina terus berdiri di sebelahnya.
Dari
kejauhan, Farid nampak Nadia, gadis pertama mengajar dia erti cinta,
duduk bertepuk tangan sambil suaminya di sebelah. Tangan itulah yang
dipimpin Farid ketika berjalan-jalan keluar dulu.
Farid berpusing
mencari tempat duduk kosong supaya dia dapat duduk cepat. Ada meja
kosong tetapi Juliana, gadis yang dia kecewakan selepas bergaduh pada
satu malam Rabu bulan Jun tahun 2004, sedang merenung pentas di
kelilingi dua orang anak dan suami yang bermisai lebat.
"Ah, ada
pun tempat kosong," kata Farid lalu menarik tangan Marina ke arah meja
tersebut. Mereka berdua pun cepat-cepat berjalan ke meja itu supaya
tidak mengganggu majlis yang sedang dihiburkan kugiran.
"Ada kosong?" tanya Farid.
"Ada,
ada. Dua orang kan? Yang tu kosong, yang dua ni ada orang," kata lelaki
itu yang tak dikenali. Farid dan Marina cepat-cepat duduk. Lega dia
dapat mengelak bertemu mata dengan kekasih-kekasih lama dengan suami dan
anak-anak.
"Seronokla batch you buat annivessary, nak harap
kitorang punya alumni universiti, susah la," kata Marina pada Farid.
Farid hanya mengangguk-ngangguk.
"Eh, Farid?" tegur seseorang.
Farid
mengangkat kepala. Rashidah berdiri sambil memegang dua pinggan di
tangan, lalu dia meletakkan kedua-dua pinggan berisi makanan di atas
meja
Farid hanya mampu diam. Apa yang ditakuti telah berlaku.
Marina yang memerhati telatah suaminya yang aneh cepat-cepat
menghulurkan salam.
"Abang Farid tak berapa sihat," kata Marina. Farid masih lagi kaku sambil memandang ke lantai yang berkarpet tebal biru.
Rashidah
diam. Farid pun diam. Rashidah terbungkam mendengar Marina menggunakan
gelaran yang dulu dia gunakan untuk memanggil bekas teman lelakinya itu.
Melihat suasana seolah beku, Marina cuba menjernihkan suasana. "Sama fakulti ke dulu korang?" tanya Marina pada Rashidah.
Rashidah mengangguk lemah.
"Sayang,
you dapat kambing tadi? I malas nak queue la, panjang sangat," kata
seseorang yang baru tiba, dia berdiri di belakang Rashidah.
Marina terkejut.
"Sani?" tanya Marina, tergamam sampai berdiri.
"Marina?" Sani terpegun."Macam mana you boleh ada sini?"
"Abang?" tanya Rashidah.
"Ina?" tanya Farid.
Sepanjang makan malam itu, mereka berempat hanya diam dan makan. Lagu yang dimainkan, langsung tak dipedulikan.
Dalam
perjalanan pulang, Farid dan Marina langsung tak bercakap sepatah pun.
Akhirnya, semakin dekat dengan rumah, Farid membuka mulut.
"Ina, boleh kita lupakan yang malam ni berlaku?"
Marina mengangguk.
"Janji
dengan saya, kita tak akan benarkan anak kita bercinta sebelum kahwin,"
Farid memandang jalan tanpa langsung menoleh melihat isterinya.
Marina diam sahaja.
Kemudian dia mengangguk lagi.
No comments
Post a Comment