Pengalaman Seram Rumah Berpuaka Di Muar Johor
Kisah ini adalah kisah benar yang pernah kami alami.
Pada tahun 1995, kami sekeluarga berpindah dari Johor Bahru ke Muar kerana ayah
mohon kepada jabatannya untuk bertukar tempat bertugas ke Muar atas alasan
masalah urusan keluarga. Ayah bekerja sebagai pegawai kerajaan bahagian
pencegahan penyeludupan dan kebetulan, post di Muar memerlukan beberapa orang
pegawai untuk menjalankan aktiviti pencegahan.
Setelah permohonan ayah lulus, ayah meminta
pertolongan kawannya yang kebetulan berada di Muar untuk mencarikan kami rumah
sewa. Akhirnya, kawannya menemukan sebuah rumah sewa yang terletak di Jalan
Daud, Muar. Ayah mengambil keputusan untuk ushar rumah tu sebelum kami
berpindah. Saya ketika itu baru berumur 5 tahun dan kami sekeluarga pergi
bersama melihat rumah tersebut. Rumahnya sederhana dengan halamannya yang luas
dan berjenis Semi-D.
Setelah kami mempersiap segalanya, akhirnya kami
sekeluarga berangkat untuk berpindah ke sana. Ayah menjemput sepupunya untuk
membantu dan emak juga turut menjemput adik perempuannya untuk turut bersama
menyediakan jamuan kecil-kecilan dan apa yang patut. Kisah misteri dan seram
berlaku sebaik sahaja kami menjejakkan kaki ke rumah tersebut. Meskipun ketika
itu usia saya baru 5 tahun, tapi memori tersebut masih segar dalam ingatan
saya. Bagi memudahkan pembaca untuk mengikuti kisah ini, saya ringkaskan kepada
beberapa pecahan kisah.
KISAH 1
Sebaik saja kami tiba di rumah tersebut, kami semua memunggah
barang, dan saya bersama adik lelaki saya yang ketika itu berusia 4 tahun pergi
berjalan ushar sekitar rumah tersebut. Perkara pertama yang terpacul dari mulut
adik saya yang sudah pandai berkata-kata adalah “Rumah ni tak best lah kan!”.
Balas saya “A’ah lah, tak best!”. Saya juga turut merasakan aura negatif
tersebut, walaupun ketika itu saya masih berumur 5 tahun. Saya dan adik pergi
mendapatkan emak dan mengadu “Mak! Rumah ni tak best lah...” tapi aduan kami
tidak diendahkan. Kata-kata kami didengari oleh kak long dan dia masih ingat
lagi kata-kata tersebut sehingga ke hari ini.
KISAH 2
Apa yang nampak menarik adalah senibina rumah tersebut seakan-akan
rumah kolonial British dan saya yakin rumah ini mungkin dibina pada waktu
Perang Dunia II [WW II] berdasarkan jalan sambungan untuk ke dapur yang hanya
berdinding tetapi tidak berbumbung. Selepas penat berkemas, sepupu ayah pergi
ke halaman rumah untuk memetik buah mangga yang rendah pokoknya. Pada usia saya
5 tahun tu, saya dapat pegang pokok tersebut. Emak sedang sibuk menyediakan
makanan untuk jamuan kecil. Makcik pula [adik perempuan emak] duduk berehat
kepenatan dan terbaring di atas kerusi. Katanya dia pening kepada, dan apa yang
memeranjatkan, ketika itu adik saya dapat lihat ada seorang budak sedang duduk
di atas kepada makcik, tapi waktu tu dia tergamam dan tak tau nak ‘describe’ tu
benda apa?
KISAH 3
Setelah selesai kemas. Kami berehat pada malam itu sebab
kepenatan. Esoknya kami berkenalan dengan jiran sebelah rumah yang merupakan
sepasang suami isteri berbangsa Cina. Dorang berdua adalah cikgu sekolah dan
dorang sangat mesra dan baik hati. Usia dorang juga sudah hampir untuk bersara,
namun masih sihat dan bertenaga. Dorang hanya tinggal berdua sahaja.
Kisah seram dan berpuaka bermula pada suatu malam. Saya tidak
ingat bilakah waktu tersebut. Ketika itu, kami sekeluarga asyik menonton TV.
Secara tiba-tiba, pintu yang memisahkan bahagian ruang tamu dengan dapur
digoncang kuat. Kami terperanjat. Ayah pula segera mendapatkan pistolnya kerana
dia risau sekiranya ada perompak yang memasuki rumah memandangkan jalan untuk
ke dapur tidak berbumbung dan mudah dimasuki orang. Ayah menunggu pintu
digoncang untuk kali kedua, kali ini ayah terus merentap laju daun pintu dan mengacukan
pistolnya. Namun tiada sesiapa. Ayah fikir mungkin angin bertiup kencang.
KISAH 4
Malam berikutnya, kejadian yang sama berlaku. Ketika kami sedang
asyik menonton TV, sekali lagi pintu digoncang kuat. Kali ini ayah tidak sempat
ambil pistol, sebaliknya dia capai parang yang sudah tersedia di tepi pintu.
Takut juga kalau-kalau kali ini betul-betul perompak. Sekali lagi pintu
direntap, namun tiada sesiapa pun, bahkan tak ada angin. Semenjak daripada
kejadian itu, emak mula rasa sesuatu tak kena. Emak mengadu kepada ayah tentang
rasa hatinya, kata emak, mungkin itu bukan orang atau angin. Ayah antara
percaya dengan tidak.
KISAH 5
Sehingga malam berikutnya, ketika itu ayah tak ada dirumah kerana
pergi ke Johor Bahru untuk menghadiri kes mahkamah. Seperti biasa, bila ayah
dapat kes pencegahan, kes tersebut akan di bawa ke mahkamah dan ayah akan
tinggalkan kami untuk beberapa hari bagi menghadiri perbicaraan. Pada malam itu
pintu digoncang lagi. Kali ini hanya kami berenam. Emak, saya, adik lelaki saya
dan tiga orang kakak saya. Kami bertambah risau kerana ayah tak ada dirumah.
Kami menasihatkan emak supaya tidak membuka pintu.
Tetapi dengan keberanian yang ada, emak yakin itu bukan angin atau
perompak sebaliknya “benda” lain. Emak ambil penyapu lidi yang tersedia di
pintu tersebut. Kali ini emak merentap pintu tersebut kemudian
mengibas-ngibaskan penyapu lidi. Serentak itu juga bulu tengkuk emak meremang
dan emak kemudian cepat-cepat menutup pintu.
KISAH 6
Emak mengadu kepada ayah tentang kejadian yang kami hadapi ketika
ketiadaan ayah di rumah. Ayah setuju dengan emak dan dia mula percaya yang
goncang pintu tu bukan angin atau perompak, tapi ‘benda’ tu. Emak dan ayah
berbincang untuk mencari rumah sewa yang lain. Kami juga minta supaya ayah
pindahkan peti sejuk dari dapur ke ruang tamu kerana takut untuk ke dapur jika
nak minum pada waktu malam. Kejadian pintu digoncang kuat tu terus berlarutan,
tapi kali ini kalau pintu digoncang, ayah akan suruh kami tutup TV dan tidur.
Pintu digoncang biasanya pada pukul 8 malam atau 10 malam.
KISAH 7
Itu kisah pada waktu malam. Pada waktu pagi pula, pintu depan pula
akan digoncang. Saya sendiri melihat kejadian tersebut, dan berlari mendapat
ayah dan emak yang sedang berehat di bilik. Emak dan ayah pesan supaya saya
abaikan kejadian tersebut. Dah masuk, konon buat-buat tak reti keluar!
Pada suatu pagi, satu lagi kejadian aneh berlaku.
Waktu tu emak nak jemur pakaian di luar rumah. Nak jemur pakaian sebenarnya
boleh dari dalam rumah sebab bahagian jalan ke dapur tidak berbumbung. Namun
mak lebih memilih ampaian di luar kerana kawasan tidak berbumbung itu adalah
tempat kami mandi. Kenapa? Nanti saya kisahkan.
Berbalik kepada cerita emak yang nak jemur pakaian.
Emak cakap, ketika dia nak jemur pakaian, dia akan melalui longkang yang
ditutup dengan penutup yang diperbuat daripada simen. Macam biasa, penutup
longkang jenis ni akan berbunyi bila dipijak. Jadi, ketika emak menjemur
pakaian, emak terdengar penutup tersebut berbunyi kuat “bedebuk!”. Dia menoleh,
tapi tiada siapa pun yang memijaknya.
KISAH 8
Ketika saya dan adik bermain-main di halaman rumah, isteri jiran
sebelah rumah mengajak kami datang kerumahnya. Saya mesra memanggilnya auntie.
Seperti saya cerita, dorang hanya duduk berdua, dan tidak ada anak cucu
bersama. Mungkin kehadiran kami dapat menghiburkan hati auntie. Suaminya tiada
di rumah ketika itu. Waktu itu emak berada di luar sedang menyapu, mak
mebenarkan kami untuk ke rumah auntie.
Di rumahnya, auntie mengeluarkan set permainan untuk kami main.
Ketika sedang kami asyik bermain, tiba-tiba adik saya berkata “Siapa budak
hitam tu? Dia buat apa kat sana?”. Adik menunjuk ke salah satu arah di rumah
auntie tersebut. Selepas kejadian tu, auntie tu dah tak panggil lagi kami untuk
bermain di rumahnya.
KISAH 9
Seingat saya, rumah tersebut mempunyai 3 batang pokok iaitu pokok
sukun, pokok mangga, dan pokok. Suatu hari, emak pergi memetik buah mangga
untuk dimakan. Buahnya molek-molek dari luaran, tetapi sebaik sahaja emak
membelahnya, dalaman buah tersebut sudah busuk berulat. Emak pelik, kenapa masa
hari tu sepupu ayah petik bukan main elok isinya? Emak mencuba pokok lain,
Alhamdulillah, pokok sukun dan cermai buahnya molek dan boleh dimakan. Setiap
petang emak akan buat sukun goreng untuk kami minum petang.
KISAH 10
Pada suatu hari minggu, kami sekeluarga balik ke Johor Bahru untuk
melawat rumah kami di sana dan bercuti serta bersihkan apa yang patut. Sebaik
saja kami pulang dari Johor Bahru, auntie sebelah rumah jumpa emak dan cakap
“Kamu hari tu pergi mana? Rumah kosong, senyap, gelap, lampu semua tutup. Saya
ada dengar macam ada orang mandi dalam rumah kamu.” Emak terkejut, dan emak
beritahu auntie yang kami semua tiada dirumah pada hari minggu tu sebab balik
Johor Bahru.
KISAH 11
Mengapa kita jadikan kawasan tak berbumbung tu sebagai tempat
mandi? Inilah kisahnya. Rumah tersebut mempunyai 2 bilik air. Bilik air pertama
dilengkapi dengan kolah mandi dan mangkuk tandas jenis cangkung manakala bilik
air kedua pula adalah tandas sahaja, tetapi tidak digunakan sebaliknya
dijadikan stor. Semenjak kami pindah, bilik air kedua tu memang sudah dijadikan
stor menyimpan barang-barang lama. Suatu hari ketika emak sedang kemas rumah,
emak membersihkan bilik air kedua tersebut untuk menyapu segala sawang dan
habuk serta membuang segala barangan yang tak boleh dipakai.
Pada malam tu, mak bermimpi didatangi makhluk yang
ada dua muka, sebelah muka manusia dan sebelah lagi muka anjing. Makhluk
tersebut memarahi emak kerana membersihkan bilik air tersebut. Semenjak
daripada peristiwa itu, kami tidak berani untuk menggunakan kedua-dua bilik
air, kecuali untuk buang air besar di bilik air pertama. Kami mengambil
keputusan untuk mandi di kawasan tak berbumbung tu. Kecuali ayah, sebab ayah
dah biasa dengan kes-kes macam ni ketika dia pergi mencegah, so setakat hantu
bilik air tu apa lah sangat...
KISAH 12
Suatu hari, saya pun tak ingat bila, seperti biasa ayah akan
tinggalkan kami untuk court case di Johor Bahru. Jadi emak panggil emaknya
[iaitu atuk perempuan kami sebelah emak] untuk teman kami. Tak tau kenapa mak
panggil atuk? Mungkin sebab emak nak atuk tengok-tengokkan rumah tu kot? Ye
lah, orang tua biasa faham “benda-benda” ni. Atuk tinggal di Segamat, jadi tak
jauh untuk ke Muar.
Atuk cerita, hari pertama dia datang rumah yang kami
sewa tu, dia dah rasa tak sedap hati. Jadi pada suatu malam, waktu atuk nak
buang hajat, dia bawa sebilah parang untuk ke tandas. Masa dia cangkung nak
melepas hajat, dia pacakkan parang atas lantai. Tapi tak tembuslah lantai tu,
atuk pegang parang tu. Itu petua orang Melayu dahulu kala, kalau nak pergi ke
sungai ke, laut ke, biasa dorang akan pacak parang dulu sebelum turun ke laut
atau sungai. Sebaik saja habis buang hajat, atuk terus sambung tidur. Malam tu
atuk meracau.
Esoknya atuk balik kampung. Kisah atuk diganggu ni
pun merupakan salah satu punca kami mandi di kawasan tak berbumbung tu. Kalau
korang nak tau, setiap kali kami nak pergi bilik air untuk buang air, kami akan
pergi berteman, meskipun waktu pagi.
KISAH 13
Jalan yang kami ambil untuk mandi di kawasan tak berbumbung tu
bukan suatu penyelesaian yang bijak, kerana pada suatu pagi kak long diganggu.
Biasanya kak long akan mandi sebelum Subuh untuk ke sekolah. Suatu pagi masa
dia mandi, kak long dengar ada orang berlari dibelakangnya dan terdengar bunyi
kocakan air dipijak atas lantai simen yang basah. Semenjak daripada kes tu, kak
long selalu lambat ke sekolah sebab dia akan tunggu hari terang untuk mandi.
KISAH 14
Kisah ni lagi bahana! Suatu pagi kami dikejutkan dengan keadaan
kereta kami terbuka keempat-empat pintunya. Ayah dan emak bukan main cemas.
Ayah terus pergi pintu pagar dan tengok kalau-kalau pagar kena pecah. Yang
memeranjatkan, pagar masih bermangga dan tiada kesan orang cuba nak pecah
mangga dan rantai mangga tersebut.
Pada mulanya ayah fikir mat gian yang pecah masuk
rumah. Ayah cepat-cepat masuk kereta dan buka laci kecil dalam kereta yang
biasa kita simpan duit syiling dan resit. Duit dalam tu tidak terusik. Kalau
mat gian, mestilah dorang akan pecahkan cermin kereta dan ‘aim’ benda berharga
dalam kereta tu. Yang lagi pelik, pintu kereta tu berkunci. Kali ni ayah mula
yakin bahawa yang ganggu kami tu bukan biasa-biasa.
KISAH 15
Emak dan ayah mula berikhtiar. Sedari solat wajib, hinggalah ke
solat sunat tahajjud & hajat. Emak juga selalu memainkan kaset bacaan
surah Yasin. Zaman tu MP3 Imam Masjidil Haram belum ada, apatah lagi YouTube.
CD pun belum terkenal sangat. Segala jenis nama qari & qariah mak beli
kasetnya. Kesannya? Ya, sangat berkesan dalam menghalau benda-benda puaka
pukake zuzake tu, namun sekejap saja. Pintu tu pulak tak henti-henti digoncang.
Ibarat kata pepatah, halau-halau ayam, nanti esok datang balik. Harapan kami
adalah terus berdoa.
KISAH 16
Kemuncak kepada peristiwa ini adalah ketika adik saya diserang
sakit perut. Mungkin usaha serta ikhtiar emak dan ayah membuatkan benda sundake
pukake tu jadi ganas dan mula buat ‘plan’ dorang sendiri untuk balas dendam.
Lepas adik sakit perut, emak dan ayah bawa pergi klinik. Bila tiba di klinik,
macam biasa, doktor kata adik saya sihat, tak ada penyakit. Habis yang budak tu
sakit perut sampai cirit-birit tu apa hal? Kami jadi bertambah buntu.
Rupanya, sebelum adik diserang sakit perut, adik
cerita yang dia ada bermimpi didatangi sepasang burung merpati. Burung tu cakap
kat adik “Dia ni anak kita!”. Adik menceritakan mimpi tu pada emak dan ayah,
namun emak dan ayah fikir itu cuma mimpi budak-budak, sehinggalah adik diserang
sakit perut tu.
KISAH 17
Suatu hari adik minta kak long untuk teman dia pergi tandas untuk
buang air besar. Suatu perkara pelik dan seram yang kak long alami. Kak long
cakap, adik suruh teman dia depan pintu sebab dia takut, tapi bila kak long
berdiri depan pintu, adik halau kak long dan cakap “Kau buat apa diri kat situ?
pergilah!”. Bila kak long pergi, tiba-tiba adik menangis “Long nak pergi mana
tu? Temanlah adik, adik takut”... Kak long bingung, tapi kak long tetap
temankan adik sampai dia habis mencirit.
Disinilah bermula kemuncaknya apabila salah seorang
daripada kita kena rasuk atau diganggu dengan penyakit misteri. Masa tu barulah
kita hampir sedar yang kita bukan berada di alam nyata lagi, tetapi sudah masuk
separuh diri ke alam yang satu lagi.
KISAH 18
Sakit perut adik yang belum lagi ditemui ubat membuatkan kami
buntu dan akhirnya kami mengalah, emak dan ayah sudah mula abaikan solat. Ayah
sudah tidak mengaji lagi. Emak tak lagi memainkan kaset bacaan surah Yasin. Kak
long masih ingat ketika dia nak solat. Dia dah siap sarung telekung dan sebaik
saja dia berdiri atas sejadah, dia tiba-tiba melucutkan telekung dan tak jadi
solat.
Kami lebih suka keluar rumah pada waktu malam untuk
ke Tanjung, suatu tempat popular di Muar untuk ambil angin dan kami kerap makan
malam di luar. Mungkin dengan cara demikian kami dapat lupakan gangguan yang
kami hadapi di rumah. Kami hampir putus asa walaupun ayah kerap kali berulang
ke klinik untuk ubati sakit adik. Adik saya juga pada waktu tu semakin susut
saiz badannya. Akhirnya kami menjalani kehidupan seperti biasa dan berserah
pada takdir.
KISAH 19
Penyelesaianya kepada masalah ini akhirnya ditemui apabila pada
suatu malam, sekitar pukul 8 malam, adik terbangun daripada tidur petangnya dan
dia menceritakan mimpinya kepada emak dan ayah. Adik kata, dia bermimpi pergi
ke sebuah gunung. Di atas gunung tersebut ada seorang tua yang adik saya
kenali, bahkan kami juga kenal dengan orang tua yang dimaksudkan adik dalam
mimpinya. Orang tua tersebut berpesan untuk jumpa dirinya jika ada masalah.
Selepas adik menceritakan mimpi tersebut kepada emak dan ayah, kami rasakan
masalah ini akan berakhir. Usaha dan doa kami akhirnya Allah Makbulkan.
Orang tua tu kami gelar Atuk Mersing dan beliau
merupakan seorang hamba Allah Azzawajal yang boleh dikatakan mempunyai karamah.
Barulah emak dan ayah sedar dan teringat kepada orang tua tersebut. Dahulu kami
sangat rapat dengan Atuk Mersing tu, emak dan ayah dah dia anggap macam anak
sendiri. Emak dan ayah kenal orang tua tu masa dorang mengikuti kawan dorang
untuk mendapatkan bantuannya bagi mengubati isteri kawan dorang yang gila.
Isterinya akhirnya sembuh dengan tawassul orang tua tersebut.
KISAH 20
Setelah adik menceritakan mimpinya dan setelah kami sedar, malam
itu juga kami sekeluarga berangkat untuk ke Mersing menemui orang tua tersebut.
Kami transit di rumah kami di Johor Bahru sebelum bergerak ke Mersing. Dalam
perjalanan kami dari Muar ke Johor Bahru, emak pangku adik atas riba dan emak
kata ketika dia pangku adik, dia dapat rasa macam ada benda yang sedang
menekan-nekan dadanya. Sepanjang perjalanan, Emak tak putus-putus gentel tasbih
dan berselawat. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan kami dari Muar – Johor
Bahru, kami sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Setibanya di Johor Bahru sekitar jam 12 malam, kami
bermalam di situ. Pada malam itu, di rumah kami, kak long terlihat satu lembaga
berambut panjang dan berbaju putih sedang memerhatikan kami yang sedang tidur.
Kak long kata dia nampak dalam keadaan sedar dan tidak atau kata mudahnya
ketika jalu. Apabila hari terang keesokannya, selepas tengahari, kami berangkat
ke Mersing.
KISAH 21
Ayah memandu perlahan serta kami rehat dan rawat sekejap di Kota
Tinggi. Alhamdulillah, kami tiba di Mersing dengan selamatnya. Waktu kami tiba
hari dah nak masuk Maghrib. Atuk Mersing tak ada di rumah, kata isterinya dia
ke pekan. Bukan main gembira lagi isterinya bila lihat kami datang, siap minta
tolong ayah sembelihkan ayam untuk dimasak buat kami sekeluarga. Tak lama lepas
tu, Atuk Mersing pulang. Ketika dia masuk, dia lihat muka kami semua dan
berkata “Berat betul masalah awak semua ni!” walaupun kami cuba sembunyikan
dengan senyuman. Selepas ayah dan Atuk Mersing selesai solat Maghrib bersama,
Atuk Mersing memulakan sesi pengubatan.
Emak bawa adik dan baringkan di sisi Atuk Mersing.
Orang tua tersebut membuka baju adik dan mencelup sedikit minyak urut lalu
disapukan ke perut adik. Serentak itu adik meraung-raung kesakitan. Padahal
orang tua tu baru sentuh. Perut adik diusap perlahan-lahan. Adik meraung dan
merayu pada emak, tapi emak tak hiraukan kerana dia tahu itu bukan adik, tetapi
puaka sundake tu yang cuba “trick” emak. Selesai berubat, adik tidur lena.
Orang tua tu siap pesan “Nasib baik awak bawak anak
awak ni cepat, kalau tak... sebab ‘benda’ tu dah makan hampir ke perut anak
awak ni”. Orang tua tu juga pesan supaya kita berpindah dari rumah tu sebab
rumah tu dah jadi tempat puaka-puaka tu duduk. Ibaratnya, kita yang menumpang
tempat dorang.
KISAH 22
Akhirnya kami berpindah. Sebelum tu kami stay dulu di Johor Bahru,
manakala emak dan ayah pergi cari rumah sewa lain di Muar. Kami akhirnya
menemui rumah sewa yang lain dan kami berpindah ke sana dengan aman damainya
untuk beberapa tahun sehinggalah ayah berjaya selesaikan masalah keluarga dan
berpindah kembali ke Johor Bahru. Alhamdulillah.
Selepas kami pindah dari rumah berpuaka pundak nayeh
laknatullahialaih tu, salah seorang kawan ayah menemuinya di pejabat dan tanya
“Abang dulu duduk rumah tu ke?”. Ayah jawab “A’ah, aku dah pun pindah dari
tempat yang penuh kenistaan tu!”. Kawan dia cakap “Saya dah lama nak cerita
dengan abang, tapi tak sampai hati sebab masa tu abang masih stay situ. Masa
suatu malam saya buat rondaan kawasan tu, saya nampak ada lembaga berjalan
masuk menuju ke rumah tu, kemudian hilang!”.
Lepas kami keluar dari azab tu, ayah ada juga ushar
tanya kawan-kawan dia kalau-kalau rumah tu masih ada penyewa. Kata ayah, lepas
kami blah, ada orang bujang sewa rumah tu, tapi tak sampai dua hari. Esoknya
dah berambus.
SEJARAH HITAM RUMAH
Selepas kami pindah, ayah pun rasa ‘curious’, nak tau juga apa
pasal rumah tu punya nista dan berpuaka pundak nayeh. Dia ushar-ushar dengan
orang-orang kampung sekitar situ. Menurut kisah, rumah puaka tu adalah milik
seorang doktor. Doktor tu ada bunuh seorang perempuan dalam rumah tu. Tapi tak
tahu sebab apa dia bunuh perempuan tu? Mayat perempuan tu sampai sekarang tak
jumpa.
Bila kisah tu berlaku tak pasti. Sama ada selepas
atau sebelum WW II atau doktor tu pemilik rumah tersebut atau penyewa...
entahlah... Yup! Mengenai tuan rumah, sebenarnya kami bayar sewa pada orang
yang ditugaskan untuk jaga rumah tu. Orang tu bukan pemilik asal rumah puaka
tu, tapi keluarga dorang ditugaskan untuk menjaganya. Pasangan cikgu sebelah
rumah kami tu pun mungkin bayar sewa dengan orang yang sama sebab kami tak
pernah tanya pasangan cikgu tu macam mana dia duduk situ... malas nak
kepochi-kepochi.
Yang penting kita semua dah selamat, Alhamdulillah. Masa
ayah pergi claim duit pendahuluan, ayah ada juga tanya-tanya pasal rumah tu dan
memang penjaga rumah tu akui yang rumah tu “keras”. Tapi, apa yang kami
terkilan, kenapa penjaga tu tak inform awal-awal secara jujur? Sanggup aniaya
orang demi mengharap duit sewa yang tak bawa ke mampus pun! Kami sewa rumah tu
sebulan lebih dan hampir ke dua bulan. Untuk pengetahuan korang, penjaga tu
kata, kami adalah penyewa yang paling lama bertahan menyewa rumah tu. Babih!
PENGAKHIRAN DAN KESIMPULAN
Adik kata, masa dia kena urut dengan orang tua tu, dia berada di
alam lain. Dia kata dia dengar ada orang sedang baca surah Yasin dan nampak 3
ekor hantu keluar dari perutnya tercampak hingga pecah atap siling rumah orang
tua tu.
Semenjak daripada pengalaman ni, kami jadi lebih
berhati-hati untuk mencari rumah sewa, sampaikan kadang-kadang sebelum kami
sewa sesuatu rumah, kami terus tembak tuan rumah tu “Rumah awak ni berhantu
tak?”, bukan apa, kami memang trauma dengan kejadian yang pernah kami alami.
Setakat kisah Villa Nabila tu kita cuma dengar
cerita jek, tapi kami sekeluarga dah alaminya secara “LIVE” di rumah puaka tu.
Adik saya juga rasa seram sejuk bila dia cuba ceritakan semula pada saya
mungkin sebab trauma, begitu juga saya yang adakala berdiri bulu tengkuk ketika
menaip kembali kisah ni.
Lokasi rumah ni di Lorong Melur, Jalan Daud, Taman
Seri Maharani, Muar. Hati-hati...
Semoga kisah saya ni dapat korang jadikan pedoman
agar korang tak tersewa rumah puaka pundak nayeh yang masih wujud di Muar dan
semoga Allah Azzawajal melindungi kita semua daripada gangguan syaitan
laknatullahialaih. InshaAllah.
** P/S: Gambar2 terkini yang aku attached merupakan street view
tahun 2016-2017. Jika min tengok, rumah tu sampai sekarang takde penyewa
meskipun nampak banyak bahagian yang dah direnovated. Terutama bahagian jalan
ke dapur yang tak berbumbung tu dan tingkap. Dulu tingkap tu pakai tingka kayu
dua kuak, sekarang dah tinted**
No comments
Post a Comment