Temuduga , Generasi Sekarang Ramai Yang Biadap , Hanya Tin Kosong
GENERASI muda hari ini perlu sentiasa meletakkan ego mereka pada tempat yang betul dan jangan sesekali bersikap kasar terutamanya ketika menghadiri temuduga pekerjaan.
Walaupun mereka digalakkan berani mencari peluang dan bersikap lantang,
ia tetap ada batasnya. Lantang dan berani tidak bertempat, hanya
menimbulkan persepsi buruk dan menyukarkan lagi mereka mencari kerja.
Pengarah Eksekutif ZY Phyto, Sharifah Ameelia Akma Mohd Ramly mengakui
berdasarkan pengalamannya, generasi baru agak biadab, tidak sopan,
manja, berkira, meminta-minta dan kurang rasa tanggungjawab.
Menurutnya, kebanyakan graduan muda yang diambil bekerja juga tidak
menunjukkan kesungguhan, semangat, minat, prestasi dan bertanggungjawab
seperti generasi terdahulu.
“Saya sering menerima permohonan kerja daripada lepasan universiti dan
latihan praktikal daripada pelajar tahun akhir, penganggur tapi daripada
banyak permohonan, biasanya hanya dua, tiga sahaja yang memuaskan hati
dan layak dipanggil temuduga. Yang lain tu boleh saya kategorikan
sebagai ‘cakap sampah’ yang layak dibakul sampahkan.
“Walaupun tidak semua, tapi ramai generasi muda sekarang tidak begitu
bersemangat dalam dunia pekerjaan mereka. Baginya kerja itu bukan suatu
kerjaya tapi sekadar kerja,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, lebih teruk, golongan ini hanya berfikir melakukan kerja
mereka tanpa mempedulikan aktiviti pejabat, objektif syarikat dan
petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan.
“Asal cukup bulan dapat gaji cukup. Kalau rasa bosan, lompat cari kerja
lain. Kalau tiada kerja pun masih boleh bergantung duduk dengan mak
bapak,” katanya.
Kata Sharifah Ameelia lagi, apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka
tidak bersedia terutamanya penyediaan resume dan tidak melambangkan
sebagai lepasan universiti.
“Dari segi penulisan pula, ada yang agak memalukan dan tiada mukadimah
atau permohonan selayaknya. Surat permohonan rasmi kebanyakan tidak
mengikut format yang betul, banyak kesalahan ejaan, penggunaan
tatabahasa yang carca-marba.
“Ayat yang digunakan pun sangat pasar dan kebudak-budakan macam tulis
surat kepada kawan, tidak serius malah resume pun ada yang satu muka
surat, maklumat tidak lengkap, tiada gambar dan pelbagai lagi kelemahan,
dalam erti kata lain, memohon sambil lewa.
“Ada yang dengan muka kurang sopan terus bertanya berapa gaji boleh
bagi dan ‘demand’ melalui talian, WhatsApp atau email walaupun belum
lagi ditemuduga!,” katanya.
Katanya lagi, majoriti majikan mengutamakan sikap, berbanding akademik kerana ia mempengaruhi gaya individu itu bekerja.
“Zaman teknologi memungkinkan sebahagian pemegang ijazah memiliki sifat
dinamik dan berkebolehan secara holistik. Boleh jadi juga ada pemegang
ijazah yang hanya boleh berkata-kata apabila ada buku atau manual
pekerja di tangan mereka.
“Majikan lebih mementingkan karakter pekerja seperti kebolehan
kecerdasan minda, keupayaan memimpin, membuat keputusan, bekerja dalam
kumpulan, kemahiran komunikasi, membuat perancangan, tahap integriti
yang tinggi dan komited,” katanya.
Ditanya kenapa generasi muda sekarang terlalu lantang, Sharifah Ameelia
berkata ia mungkin disebabkan perubahan teknologi, pembelajaran yang
lebih kepada maya dan peranti, maka interaksi sesama manusia semakin
seperti robot tanpa dilapik dengan perasaan, jiwa dan rasa hormat..
“Generasi muda sekarang kurang budi bahasa, nilai murni sama ada dari
segi sikap pemikiran dan tanggungjawab serta pembangunan akhlak. Mungkin
kerana perubahan teknologi, pembelajaran yang lebih kepada maya, maka
interaksi sesama manusia semakin kurang perasaan, jiwa dan rasa hormat,"
katanya.
Enam punca gagal temu duga kerja
1. Penampilan kurang menarik
- Perkara pertama yang dilihat oleh penemu duga terhadap calon adalah
penampilan awal. Di sini ia memainkan peranan yang penting untuk menarik
minat penemu duga.
2. Resume tidak menepati kehendak
- Calon gagal menyediakan resume yang mantap dan lengkap.
3. Tidak dapat meyakinkan penemu duga
- Calon gagal meyakinkan penemu duga mengenai kelebihan atau kebolehan dimiliki.
4. Tidak mampu berhujah dengan baik
- Calon tidak bijak berbicara dan melontarkan hujah terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan oleh penemu duga
5. Tidak berpengetahuan dan menipu
- Calon memberi jawapan sesuka hati sedangkan lebih baik jika calon mengakui bahawa tidak tahu untuk memberi jawapan.
6. Komunikasi
- Cara berkomunikasi kurang berkesan iaitu tidak menggunakan bahasa yang lebih formal.
No comments
Post a Comment