Pelajar Cemerlang SPM (10A), Tersilap Langkah Yang Membawa Ke Tali Gantung
Ibu bapa acuan akhlak anak-anak. Jika baik acuannya, maka baiklah
hasilnya. Begitu jugalah sebaliknya. Mungkin ada yang setuju dengan
kenyataan di atas dan ada juga yang tidak bersetuju.
Walau apapun pandangan anda, apa kata anda baca dahulu kisah Puan
Nadiah Yusof, tentang seorang remaja yang tersalah memilih jalan dalam
kehidupan, walaupun pernah mendapat 10A dalam SPM.
Kes remaja yang membakar tahfiz mengingatkan saya kejadian lapan
tahun lepas ketika saya masih seorang pelatih. Saya terima seorang
pesakit awal 20-an yang ditetak dengan parang di kedua-dua belah
tangannya.
Kira-kira tidak lebih dari 10 deep laceration wound di sana. Dia
datang bersama-sama sepasukan anggota polis dalam keadaan separuh sedar. Ini kali pertama saya lihat luka seperti itu. Pucat muka dan berdebar jantung saya.
Hasil maklumat dari pihak polis, dia ditangkap setelah merompak dan
membunuh 3 orang penghuni rumah iaitu isteri, anak berusia 3 tahun dan
orang gaji. Tak bernasib baik, belum sempat dia melarikan diri, sang suami pulang
ke rumah dan menangkapnya. Akibat amarah, si suami menetak dan orang
kampung mencurah cuka pada lukanya. Padanlah separuh masak isinya.
Saya lihat betul-betul wajahnya. Sampai sekarang saya masih boleh
ingat wajahnya. Orangnya masih muda, wajah putih bersih tidak nampak
seakan penjenayah. Janggut sejemput seperti seorang ustaz layaknya. Benarlah kata orang, jangan menilai orang dari rupa/luarannya.
Pesakit ini rupa-rupanya penagih dadah. Malah sebelum pecah masuk dia
sempat mengambil 16 biji pil ekstasi.
Dalam keadaan tidak sedar, dia membunuh semua yang berada di rumah.
Malah anak kecil berusia 3 tahun itu ditemui di dalam bilik air dalam
keadaan perut terburai. Bila masuk ke ward, social history lebih terperinci didapati. Kisah
hidup anak muda ini tragis. Dia adalah pelajar cemerlang (10A) di dalam
SPM. Malah ditawarkan jurusan perubatan. Tetapi dia terkesan dengan
perceraian kedua ibu bapanya. Dia tidak dipedulikan, maka dia menentukan
hidupnya sendiri. Dia berhenti belajar dan terlibat dengan najis dadah.
Ketika dia dimasukkan ke hospital tak ada seorang pun ahli
keluarganya kelihatan. Malah pihak hospital mengalami masalah
mendapatkan maklumat dari ahli keluarganya. Ada no telefon yang
diberikan tetapi tidak mengaku mempunyai pertalian denngannya. Malah
tiada siapa yang melawatnya di hospital. Kisah anak muda ini selalu saya ceritakan untuk mengingatkan betapa durjana najis dadah. Begitulah dadah memusnahkan segalanya.
Walaupun pesakit ini bekerja, tetapi ianya tak mampu menanggung
desakan ketagihan dadah. Dalam 2 hari habis duit gaji sebulan untuk
membeli dadah. Habis duit gaji, terpaksa mencuri. Natijahnya terpalit
pada insan tak berdosa. Sepanjang bertugas di Jabatan Kecemasan dan mengendalikan kes OSCC,
90% (anggaran kasar dan personel) dari kes rogol, sumbang mahram, sodomy
malah dadah terhasil dari broken family.
Ketika ini lihat dimana anak-anak kita. Dengan siapa mereka berkawan.
Jika selama ini kita tak pernah peduli, mulakanlah sekarang. Periksa diri kita sebagai ibu bapa. Kita adalah acuan mereka. Jika
hasil tidak molek, acuannya yang tak kena. Berhentilah menyalahkan orang
lain sebaliknya berlapang dada memperbaiki diri kita.
Sikap kita juga mesti diperbaiki. Hentikan sikap menghukum. Sejahat
manapun seorang manusia, Allah membuka ruang untuk hambanya bertaubat.
Siapalah kita untuk menentukan syurga neraka seorang manusia. Boleh jadi
mereka yang kita cerca lebih mulia dari kita jika mereka bertaubat
nasuha. Pesakit saya itu, tiada siapa berani mendekatinya mungkin kerana
perbuatannya dan mungkin kerana terlalu ramai anggota polis
menggerumuninya. Saya masih ingat soalan yang ditanya ketika dia sudah
sedar dari ‘high’, baru sedar dia membunuh tiga nyawa.
“Kenapa awak suap makanan pada saya? Saya pembunuh.” “Sebab kamu manusia, manusia buat silap. Kalau kamu bertaubat boleh jadi kamu lebih mulia dari saya.” Ketika itu saya sebak. Mengenangkan dia seorang yang hampir punya
masa depan gemilang bakal berakhir di tali gantung kerana dadah &
masalah keluarga.
Kredit: PenHitam
3 comments
Sedihnya. Nauzubillah.
Besar ujian anak muda nie, kasihannya..
Kesian!
Post a Comment