Sudahlah Menumpang, Suami Kita Dirampasnya
-
3 Oct 2017
ZAMAN semakin
pelik. Rumah tangga jadi taruhan untuk mereka yang tidak menghargai hak
orang. Memang betul wanita juga yang merosakkan hidup wanita. Semuanya
kerana tamak.
Mungkin itulah resam dunia
sekarang, suami orang menjadi pilihan. Macam tidak ada lelaki bujang
lagi di dunia ini. Bodohnya kita kerana terlalu percayakan orang,
sudahnya hidup jadi merana.
Hendak tahu apa kisah saya minggu ini. Jom kita baca catatan minggu ini.
“Saya
berusia awal 30-an. Biar saya namakan diri saya sebagai Amy (bukan nama
sebenar). Saya bekerja dan berkahwin dengan seorang lelaki bernama Azli
(bukan nama sebenar) yang sangat saya sayangi sejak lapan tahun lalu.
Kami dikurniakan sepasang anak, berusia antara tujuh dan empat tahun.
“Memang
saya akui hidup kami sangat bahagia sejak tujuh tahun lalu tetapi
semuanya hancur kerana orang ketiga. Yang sedihnya orang ketiga itu ada
kaitan darah dengan saya. Setahun saya dimainkan oleh Azli dan sepupu
saya. Mereka berlakon di hadapan saya macam tidak ada apa-apa hubungan
sedangkan mereka sedang bercinta.
“Semuanya
bermula apabila sepupu sebelah ibu saya bernama Sherry (bukan nama
sebenar) tinggal bersama kami setelah mendapat kerja di ibu kota.
Sebelum ini, dia selalu ke rumah kami kerana menuntut di universiti di
sini.
“Saya tidak syak apa-apa kerana
sangat percaya dan sayangkan Sherry macam adik sendiri. Memandangkan dia
masih muda, saya menjaganya seperti adik sendiri, sakit demam dan
kebajikannya semasa di universiti saya ambil berat, begitu juga dengan
Azli.
“Tdak sangka pula dalam masa itu,
mereka menjalin hubungan di belakang saya. Sepanjang tinggal bersama
kami,saya tidak nampak perubahan pada diri Sherry. Kadangkala saya tidak
keluar, suami bawa anak-anak dan Sherry berjalan. Silap saya juga
mungkin terlalu percayakan mereka. Anak-anak ada beritahu, suami selalu
pegang tangan makcik Sherry. Tapi saya buat tak kisah.
“Namun
bangkai gajah masakan dapat ditudung dengan sehelai daun. Awal tahun
lalu, semuanya terbongkar apabila saya terjumpa pasport suami yang
bercop di negara seberang. Berderau juga darah. Siap ada resit hotel dan
makan di restoran lagi.
“Lalu Saya
teringat, tahun lalu, suami ada ke selatan Thailand untuk menghadiri
kursus, katanya. Bila saya periksa catatan keluar masuk di sempadan,
sama pula tarikhnya dengan masa dia pergi kursus tersebut. Pada masa
sama, Sherry pula berpindah dari rumah kami dan menyewa di kawasan lain
dengan alasan hendak berdikari.
“Saya
tidak bertanya serta-merta kerana saya hendak tengok reaksi suami
terlebih dahulu. Patutlah selepas dia balik dari kursus ini nampak
perubahan pada dirinya. Balik kerja selalu lewat dengan alasan jumpa
klien dan banyak kerja di pejabat.
“Sehinggalah satu hari seorang kawan baik saya terserempak dengan Azli bersama Sherry di sebuah restoran.
Sahabat
saya ini terus telefon bertanya, kenapa saya tidak ikut mereka keluar
makan sama, pada hal dahulu selalu kami keluar berama. Katanya suami
saya dan sepupu saya itu sangat mesra. Macam suami isteri. Sekali lagi
darah saya berderau. Apa yang saya fikir nampaknya akan menjadi
kenyataan.
“Lalu saya ambil keputusan
mengintip mereka dengan bantuan sahabat saya tadi. Kami ikut mereka.
Bermula dari pejabat suami, kemudian ke pejabat Sherry. Dan terus ke
sebuah taman yang rumah sewa Sherry terletak di situ. Sebaik kereta
berhenti, saya nampak mereka berdua keluar. Siap berpegangan tangan lagi
masuk ke rumah.
“Setengah jam saya
menunggu di luar sebelum mengambil keputusan untuk masuk ke rumah itu
dan bersemuka dengan mereka. Saya nekad, apa hendak jadi pun jadilah,
pasport suami di tangan saya. Ia sebagai bukti.
“Dengan
langkah yang gementar saya memberi salam. Sherry yang menyambut salam
saya. Muncul sahaja di muka pintu wajahnya berubah, dia menjerit,
‘Abang.’
“Suami pula muncul. Terkejut
badak dia melihat saya tercegat di pintu rumah mereka. Saya kumpul
kekuatan. Saya hendak selesaikan perkara itu di situ juga. Saya tidak
menangis, tidak juga melatah.
“Pandai kau
orang berlakon. Sanggup memperbodohkan aku. Selama ini aku percayakan
kau Sherry. Kau memang tidak kenang budi, suami aku pun kau nak rampas.
Saudara jenis apa kamu ini?” Melontar kata-kata dari mulut saya.
“Abang,
lepaskan saya. Saya tidak mahu dengar apa-apa lagi dari abang. Saya
percayakan abang tapi abang robekkan hati saya dengan kecurangan abang.
Dengan sepupu saya pula itu.
“Saya baling
pasport suami atas meja bersama dengan resit-resit yang ada.
Terkebil-kebil mata kedua-duanya. Sherry mula menangis, tapi saya tak
hairan dengan tangisan dia, hati saya lagi sakit.
“Suami
memujuk untuk berterus terang tetapi saya katakan sudah terlambat. Sah
mereka telah berkahwin. Kahwin senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarga
Sherry. Kerja bodoh yang mereka buat. Semuanya sudah menjadi bubur. Saya
sudah tidak ada selera untuk bersama Azli.
“Selesai
melepaskan geram saya keluar. Saya balik ke rumah dan telefon semua
ahli keluarga saya dan keluarga Sherry, ceritakan apa yang berlaku.
Semuanya terkejut dan tidak sangka perkara itu akan berlaku.
“Malam
itu juga seluruh keluarga berkumpul, mesyuarat tergempar ahli keluarga
membincangkan perkara ini. Suami dan Sherry dipanggil untuk mengesahkan
pernikahan mereka di sempadan. Dan mereka mengaku telah bernikah.
“Saya
mahu tutup buku dengan kisah curang suami dengan Sherry, sepupu saya.
Mungkin itu takdir saya. Saya reda dengan ujian Allah. Saya tidak bagi
pilihan kepada suami. Tapi saya minta dia lepaskan saya. Saya hendak
bebas menjalani hidup saya sendiri dengan anak-anak tanpa suami.
“Alhamdulillah,
semuanya sudah selesai dan sekarang saya selesa dengan status saya
sebagai ibu tunggal. Anak-anak boleh jumpa babah mereka bila-bila masa
dia hendak. Tidak ada halangan. Saya bukan bekas isteri yang kejam.
“Sejak
kejadian itu, saya tidak berjumpa lagi dengan Sherry dan Azli. Saya
jarang balik ke kampung dan menghadiri majlis perhimpunan keluarga. Buat
sementara waktu, saya mengelak dari berbuat demikian. Kalau boleh,
tidak hendak jumpa mereka langsung.
“Semoga
Allah lindungi saya dan anak-anak serta kurniakan saya kehidupan yang
selesa dan bahagia di dunia dan akhirat. Amin,” kata Amy menamatkan
ceritanya. Itulah dunia dan rumah tangga.
Saya amat bersimpati dengan apa yang Amy hadapi. Tapi saya kagum dengan
kesabaran Amy menangani isu rumah tangganya.
Saya
tidak mahu komen lebih-lebih kerana ia membabitkan jodoh yang
ditentukan oleh Allah tetapi sebagai manusia kita diberi akal untuk
berfikir apa yang terbaik untuk kita. Hati-hati menumpangkan orang di
rumah kita.Semoga Amy dan anak-anak terus tabah menghadapi ujian Allah ini dan sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya.
Menamatkan
catatan pesanan saya, bahagia boleh dicari tetapi jangan sampai
menghancurkan kebahagiaan orang lain. Tidak tenang hidup kita nanti.
Salam.
No comments
Post a Comment