SLIDER

Derita Ibu Dan Anak Apabila Ayah Kahwin Empat !!


“Bukan niat untuk memburuk-burukkan ayah kandung tetapi saya mahu masyarakat juga tahu bagaimana penderitaan yang ditanggung anak-anak yang menjadi mangsa tidak bertanggungjawab lelaki bernama ayah.
“Walaupun saya belum mendirikan rumahtangga, namun perasaan sedih dan simpati terhadap apa yang berlaku kepada ibu memberi satu kesan yang mendalam kepada saya.
“Saya selalu menangis apabila membaca kisah yang berkaitan pengorbanan isteri dan ibu kerana ia sama dengan apa yang dilalui ibu saya. Hati mana yang tidak tersiksa apabila pengorbanan selama bergelar isteri musnah dalam sekelip mata bak kata pepatah, `kerana hujan sehari, hilang kemarau setahun.’
“Saya tidak minta simpati tetapi mahu berkongsi masalah ini dengan orang lain untuk dijadikan iktibar dan pedoman. Saya yakin cara ini akan menjadikan saya lebih tenang dan tabah menghadapi hari depan.
“Saya merupakan seorang anak kepada seorang ibu yang selalu ditinggalkan suami. Diringkaskan cerita, ayah saya berkahwin lebih dari satu, lebih suka saya katakan bahawa ayah saya berkahwin empat.
“Ibu saya adalah isteri yang paling tua, namun tidak sekali pun saya melihat ibu bertindak menghalang ayah berkahwin lagi.
“Dari kecil kami adik beradik tidak dibesarkan dari pandangan seorang ayah. Kami hidup sendiri bersama ibu. Ayah ada atau tidak bukan masalah besar pada kami. Malah sehinggakan apabila ayah berada di rumah lebih dari sehari, kami akan merasa tidak selesa, serba salah dan rimas.
“Rutin hidup ayah juga kami tidak pernah ambil tahu. Kami hanya berjumpa ayah tiga bulan sekali, itu pun jika dia balik. Hari-hari lain dia menghabiskan masa di rumah isteri-isteri mudanya yang mana kami juga tidak pernah mahu ambil tahu.
“Ibu sudah lali dengan perangai ayah. Seperti kami, ibu juga malas hendak ambil tahu apa yang dibuat oleh ayah, sakit pening, makan minumnya termasuk di mana dia berada. Yang ibu pentingkan bekerja mencari duit untuk membesar dan memberi pendidikan kepada kami anak-anaknya.
“Ibu berkorban hati, perasaan, masa dan kudrat untuk menjadikan kami anak-anaknya `manusia’ kerana dia tidak punya sesiapa di dunia ini melainkan kami.
“Sebagai anak yang paling hampir dengannya, saya tahu hati dan perasaan ibu. Sekiranya ayah saya balik ataupun tidak, kami tidak ambil pusing. Kata ibu lagi, dia tidak mahu kesenangan dunia semata-mata, tetapi mahu kesenangan di akhirat juga. Biarlah ayah dengan dunianya, jika itu yang dia pilih.
“Sebagai anak, saya, abang dan adik-adik kecewa dengan sikap ayah dan sedih dengan nasib ibu, tapi kami tidak boleh berbuat apa-apa. Saya hanya mampu berdoa agar ibu sentiasa tabah dan sihat serta bahagia dalam kehidupannya di dunia dan akhirat. Yang penting kami anak-anak sentiasa ada di sisinya sepanjang masa.
“Kepada abang dan adik-adik, saya katakan kita kena terima semua ujian Tuhan ini dengan tabah dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Yang penting dengan cara kita.
“Telah hampir 28 tahun ibu berkahwin dengan ayah. Namun saya tidak pernah nampak ayah berubah walaupun usianya telah menjangkau 60 tahun. Hanya Allah sahaja yang tahu apa perasaan saya. Juga perasaan dan derita yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh itu.
“Pun begitu saya bangga mempunyai seorang ibu yang tabah, cekal dan punya rasa kasih sayang yang cukup tinggi terhadap anak-anaknya. Apa yang ingin saya katakan kepada ibu, terima kasih atas segala-galanya.
“Derita ibu, derita kami juga! Bahagia ibu, bahagialah kami! Semoga kebahagiaan yang tidak seberapa ini kekal menjadi milik kita bersama,’’ tambah Lina menutup cerita dengan suara tersekat-sekat.
Jauh di hujung talian saya mendengar esakan Lina yang semakin meninggi. Sebelum kami terputus terus, saya sempat tinggalkan pesan, jaga ibu, jaga diri dan kuatkan kasih sayang antara adik beradik. Insya-Allah Tuhan akan melindungi anda semua sehingga ke penghujung nyawa.
Selepas berkata-kata, saya termenung panjang sebelum meletak gagang di tempatnya. Sayu, hiba dan sebak menerpa dengan tiba-tiba.
Di mata saya terbayang macam-macam perkara yang menyayat hati antaranya kisah sedih yang menimpa isteri dan anak-anak yang ditinggalkan lelaki yang hanya tahu memuaskan nafsu tetapi kemudian membiarkan zuriat terkapai-kapai mencari kehidupan sendiri.
Kepada semua kaum Adam terutama yang telah menambah `cawangan,’ fikir-fikirkanlah.., berlaku adil terhadap semua perkara apabila mengambil keputusan untuk berpoligami. Tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak hendaklah diutamakan. Ingatlah, di dunia anda mungkin selamat tetapi di akhirat ada ‘mahkamah’ agung yang menanti.
Apa pun saya bangga dan kagum dengan kecekalan hati Lina mengatasi masalah keluarganya. Pada saya, Lina anak yang baik dan bertanggungjawab. Semoga baktinya kepada ibunya akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t
Kepada para remaja sekelian contohilah sikap murni Lina. Jadilah anak solehah untuk terus menikmati kebahagiaan. Ingat dan insaflah bahawa, syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
Mengundur diri, salam kasih dan pesanan telus saya buat Lina dan ibunya, juga pembaca budiman. Jangan biar kesedihan menguasai diri. Keluarlah daripada kesedihan untuk bergembira dan menghargai hidup yang dipinjamkan oleh Allah Taala ini.
Menutup kata, jadilah seperti kupu-kupu, terbang bebas ke mana sahaja. Ringan perawakan, indah dipandang, terbang dari satu bunga ke satu bunga, dari satu tangkai ke satu tangkai, dari satu taman ke satu taman. Dalam kepayahan ada madu yang disentuh. Begitu juga manusia! Di sebalik sengsara masih ada bahagia - realitinya bukan hidup namanya jika tidak ada bahagia dan derita.



Kredit : Utusan Malaysia

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

No comments

Responsive Advertisement

RECENT COMMENTS

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

Online

Artikel Lain

© LAMAN QASEH • Theme by Maira G.