SLIDER

Hari Jumaat, Apakah Kemuliaannya

31 Dec 2021


Setiap hari dalam Islam mempunyai kelebihan masing-masing. Di antara 7 hari yang ada dalam setiap minggu itu juga, kaum Yahudi berbangga dengan hari Sabtunya dan penganut Kristian pula meraikan hari Ahadnya, maka Umat Islam sudah tentu memiliki hari kebesarannya tersendiri dan amat menghargai dengan Kemuliaan Hari Jumaat sebagai ‘Penghulu Segala Hari’.

.

Dalam riwayat lain dari Hudzaifah Radhiyallahu ‘anhu dengan lafaz;

أَضَلَّ اللهُ عَنِ الْجُمُعَةِ مَنْ كَانَ قَبْلَنَا، فَكَانَ لِلْيَهُوْدِ يَوْمُ السَّبْتِ وَكَانَ لِلنَّصَارَى يَوْمُ اْلأَحَدِ، فَجَاءَ اللهُ بِنَا فَهَدَانَا اللهُ لِيَوْمِ الْجُمُعَةِ فَجَعَلَ الْجُمُعَةَ وَالسَّبْتَ وَاْلأَحَدَ، وَكَذَلِكَ هُمْ تَبَعٌ لَنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، نَحْنُ اْلآخِرُوْنَ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا وَاْلأَوَّلُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمَقْضِيَّ لَهُمْ قَبْلَ الْخَلاَئِقِ.

 

“Allah telah menyesatkan orang-orang sebelum kita dari hari Jumaat, maka umat Yahudi memperoleh hari Sabtu, umat Nasrani memperoleh hari Ahad. Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi kita hidayah untuk memperoleh hari Jumaat. Maka Allah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan mereka (umat sebelum kita) berada di belakang kita pada hari kiamat. Kita datang paling akhir di dunia, tetapi paling awal datang di hari kiamat yang telah ditetapkan untuk mereka sebelum diciptakan seluruh makhluk.” (Hadis Riwayat  Muslim r.a.)

Sebagaimana Allah SWT telah menjadikan kota Makkah dan Madinah sebagai kota Suci; menjadikan Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa sebagai masjid yang paling utama; menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan paling mulia di antara bulan-bulan lainnya, menjadikan malam Lailatul Qadar sebagai malam Seribu bulan; menjadikan sepertiga malam sebagai waktu paling berkesan untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Khaliq; begitu juga hari Jumaat, Allah SWT telah menjadikan Hari Jumaat sebagai ‘Sayyidul Ayyam’ atau penghulu segala hari (hari paling utama). Terdapat banyak kebaikan dan kelebihan pada hari ini termasuklah Solat Jumaat.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat, pada hari itu Adam Alaihissallam diciptakan, dan pada hari itu pula Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga, pada hari itu juga kiamat akan terjadi pada hari tersebut terdapat suatu waktu di mana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintaannya.”  (HR. Muslim)

.

KEUTAMAAN HARI JUMAAT

Hari Jumaat merupakan hari yang amat istimewa bagi kaum Muslimin. Hari Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.


Berikut adalah keistimewaan dan keutamaan hari Jumaat:

 .

1.  Hari Paling Mulia

Hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala hari. Terdapat beberapa peristiwa yang terjadi pada hari Jumaat ini, di antaranya:

.

·         Allah SWT ciptakan Adam Alaihissallam

·         Nabi Adam alaihissallam dimasukkan ke dalam syurga.

·         Nabi Adam alaihissallam diturunkan dari syurga menuju bumi.

·         Allah mewafatkannya Nabi Adam Alaihissallam.

·         Hari Jumaat juga merupakan hari akan berlakunya Qiamat.

.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu juga Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga. Pada hari itu juga kiamat akan terjadi dan pada hari tersebut terdapat suatu waktu dimana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintannya.” (HR. Muslim)

.

Abu Hurairah Radhiyalahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيْهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيْهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ، وَفِيْهِ أُخْرِجَ مِنْهَا، وَلاَ تَقَوْمُ السَّاعَةُ إِلاَّ فِي يَوْمِ الْجُمُعَة

 

“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini (Adam Alaihissalam) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga Baginda dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” (HR Muslim r.a.)

.

Dalam riwayat Aus bin Aus Radhiyallahu ‘anhu pula menyatakan:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيْهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيْهِ قُبِضَ، وَفِيْهِ النَّفْخَةُ، وَفِيْهِ الصَّعِقَةُ …….

 

“Sesungguhnya seutama-utama hari kamu adalah hari Jumaat; pada hari ini Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini juga ia dimatikan, pada hari ini ditiupkan sangkakala (tanda kiamat), dan pada hari ini juga hari kebangkitan.”


2.  Hari Bagi Kaum Muslimin.

Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya Umat Muhammad صلى الله عليه وسلم dalam masjid-masjid mereka yang besar untuk mengikuti solat dan sebelumnya mendengarkan dua khutbah jumaat yang mengandungi wasiat bertaqwa dan nasihat-nasihat, serta doa.

Dari Kuzhaifah dan Rabii bin Harrasy Radhiyallahu Anhuma bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata, “Allah menyesatkan orang-orang sebelum kami pada hari Jumaat, Yahudi pada hari Sabtu, dan Nasrani pada hari Ahad, kemudian Allah mendatangkan kami dan ember petunjuk pada hari Jumaat, mereka umat sebelum kami akan menjadi pengikut pada hari kiamat, kami adalah yang terakhir dari penghuni dunia ini dan yang pertama pada hari kiamat yang akan dihakimi sebelum umat yang lain.” (HR. Muslim dan Ibnu Majah)

Al-Hafidz Ibnu Katsir berkata: “Hari ini dinamakan Jumaat, kerana merupakan ambilan dari kata ‘al-jamu’ yang ertinya berhimpun, kerana Umat Islam berkumpul pada hari itu setiap minggu di masjid-masjid. Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang mukmin berkumpul untuk menunaikan ibadah kepada-Nya.”

.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ‌ اللَّـهِ وَذَرُ‌وا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ‌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٩

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Al-Jumaah 62: Ayat 9)


3.  Penghulu Segala Hari

Hari Jumaat adalah hari yang teramat istimewa kerana Islam meletakkan Jumaat sebagai ketua dan ganjarannya lebih berbanding hari-hari yang lain.

Dalam suatu hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari).”

Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir Radhiyallahu Anhu berkata, Rasulullahصلى الله عليه وسلمberkata“Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah. Pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa; Diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” (HR. Ahmad)


4.  Hari Kebesaran Mingguan

Dalam 7 hari yang ada, hari Jumaat adalah ‘Hari Besar’ yang berulang setiap minggu.

Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi Umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri soalat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu.” (HR. Ibnu Majah)

..

5.  Hari Perhimpunan Bagi Solat Jumaat

Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah  صلى الله عليه وسلمbersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

..

6.  Hari Ramai Malaikat Turun ke Bumi .

Pada hari Jumaat juga, Allah SWT mengutus para malaikat turun ke muka bumi. Di tangan terdapat mereka tinta kalam emas dan kertas-kertas daripada perak, mereka juga berdiri dan menunggu di pintu-pintu masjid bagi mencatat nama-nama mereka yang hadir ke masjid dan mendirikan Solat Jumaat.

Apabila telah sempurna dan selesai Solat Jumaat, mereka kembali ke araysh untuk menyembahkan hasil catatannya kepada Allah SWT dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”

Allah SWT berfirman: “Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”

..

7.  Hari Mustajab Berdoa.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).

.

Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:

a.     Imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai Jumaat.

b.     Pada akhir waktu Asar.

 

Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan“Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis  yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.”  (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390). .

.

8.  Hari Dihapuskan Dosa

Diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم : “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)

Dari Salman Al-Farisi Radhiyallahu Anhu mengatakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak, atau memakaikan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju masjid), dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan), kemudian dia hendak mendirikan solat yang sesuai dengan tuntutannya, lalu diam mendengarkan (dengan seksama) ketika imam berkhutbah melainkan akan diampuni (Dosa dosanya yang terjadi) antara Jumaat tersebut dan Jumaat berikutnya.” (HR. Bukhari)

Salman Al Farisi berkata lagi, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersuci sesuai kemampuan, merapikan rambutnya, memakai minyak wangi, lalu berangkat ke masjid, dan masuk masjid tanpa melangkahi sesiapa, kemudian solat sesuai tuntunan dan diam tatkala imam berkhutbah, nescaya diampuni dosa-dosanya di antara dua Jumaat.” (HR. Bukhari).

.

9.  Hari Lebih Utama Bersedekah

Sedekah pada hari itu lebih utama dibanding sedekah pada hari-hari lainnya.

Ibnu Qayyim berkata: “Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama di sedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya.” .

Hadis  dari Ka’ab menjelaskan: “Dan Sedekah pada hari itu lebih mulia dibanding hari-hari selainnya. (Mauquf Shahih)

.

10.  Hari Meraih Pahala

Orang yang hadir dan menunaikan kewajibannya untuk solat Jumaat akan mendapat pahala untuk setiap langkahnya ke Masjid, setara dengan pahala ibadah satu tahun solat dan puasa.

Aus bin Aus berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan menempati shaf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi Allah.” (HR. Ahmad dan Ashabus Sunan, Didakwa sahih oleh Ibnu Huzaimah).

.

11.  Hari Hidayah Daripada Allah SWT

Hari Jumaat merupakan keistimewaan dan hidayah yang Allah SWT berikan kepada umat Islam yang tidak diberikan kepada umat-umat lain sebelumnya.

 

Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;

نَحْنُ اْلآخِرُوْنَ اْلأَوَّلُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَنَحْنُ أَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوْتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا وَأُوْتِيْنَاهُ مِنْ بَعْدِهِمْ فَاخْتَلَفُوْا فَهَدَانَا اللهُ لِمَا اخْتَلَفُوْا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ، فَهَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِيْ اخْتَلَفُوْا فِيْهِ هَدَانَا اللهُ لَهُ –قَالَ: يَوْمُ الْجُمْعَةِ-، فَالْيَوْمُ لَنَا وَغَداً لِلْيَهُوْدِ وَبَعْدَ غَدٍ لِلنَّصَارَى.

 

“Kita adalah umat yang terakhir muncul tapi paling awal tiba pada hari kiamat, dan kita yang pertama kali masuk syurga, cuma mereka diberi Kitab sebelum kita sedangkan kita diberi Kitab setelah mereka. Kemudian mereka berselisih, lalu Allah memberi kita hidayah terhadap apa yang mereka perselisihkan. Inilah hari yang mereka perselisihkan, dan Allah berikan hidayah berupa hari ini kepada kita (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebut hari Jumaat). Maka hari (Jumaat) ini untuk kita (umat Islam), besok (Sabtu) untuk umat Yahudi dan lusa (Ahad) untuk umat Nasrani.” (HR Muslim r.a.)

.

Dalam riwayat lain dari Hudzaifah Radhiyallahu ‘anhu dengan lafaz;

أَضَلَّ اللهُ عَنِ الْجُمُعَةِ مَنْ كَانَ قَبْلَنَا، فَكَانَ لِلْيَهُوْدِ يَوْمُ السَّبْتِ وَكَانَ لِلنَّصَارَى يَوْمُ اْلأَحَدِ، فَجَاءَ اللهُ بِنَا فَهَدَانَا اللهُ لِيَوْمِ الْجُمُعَةِ فَجَعَلَ الْجُمُعَةَ وَالسَّبْتَ وَاْلأَحَدَ، وَكَذَلِكَ هُمْ تَبَعٌ لَنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، نَحْنُ اْلآخِرُوْنَ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا وَاْلأَوَّلُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمَقْضِيَّ لَهُمْ قَبْلَ الْخَلاَئِقِ.

 

“Allah telah menyesatkan orang-orang sebelum kita dari hari Jumaat, maka umat Yahudi memperoleh hari Sabtu, umat Nasrani memperoleh hari Ahad. Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi kita hidayah untuk memperoleh hari Jumaat. Maka Allah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan mereka (umat sebelum kita) berada di belakang kita pada hari kiamat. Kita datang paling akhir di dunia, tetapi paling awal datang di hari kiamat yang telah ditetapkan untuk mereka sebelum diciptakan seluruh makhluk.” (Hadis Riwayat  Muslim r.a.)

.

12.  Meninggal Pada Hari Jumaat Sebagai Tanda ‘Husnul Khatimah’

Meninggal dunia pada malam hari Jumaat atau siangnya adalah penanda ‘Husnul Khatimah’, iaitu dibebaskan dari fitnah (azab) kubur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.” (HR. Ahmad dan Tirmizi, undian sahih oleh Al-Bani).

.

13.  Hari Terselamat Dari Seksa Kubur

Orang yang meninggal pada Hari Jumaat, InsyaAllah akan selamat dari fitnah (bencana/seksa) kubur.

Daripada Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah  SWT daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

.

14.  Hari Berlakunya Qiamat

Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya ‘Qiamat’ (hari pembalasan). Dalam suatu hadis, Rasulullah صلى الله عليه وسلم ada menyebut bahawa“Pada hari Jumaat juga Qiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)

Dalam hadis lain, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : “Hari Yang Dijanjikan ialah Hari Qiamat. Hari Yang Disaksikan ialah Hari Arafah, dan Hari Yang Menyaksikan ialah Hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”.

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم.: “Pada hari itu Qiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat  Ibnu Majah dan  Al-Baihaqi)

.

15.  Hari Dapat Melihat Allah SWT Di Syurga

Hari tatkala Allah SWT menampakkan diri kepada hamba-Nya yang beriman di syurga.

Firman Allah SWT;

وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ

“Dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).”

(Surah Al-Jumuaah 50; Ayat 35)

 

Seorang sahabat, Anas bin Malik dalam mengulas ayat 35 di atas : “‘Dan Kami memiliki pertambahannya’; Beliau mengatakan; “Allah SWT menampakkan diri kepada mereka setiap Hari Jumaat.”

#*

Semoga Hari Jumaat ini menjadikan kita insan yang lebih Bertaqwa, lebih Berhikmah, lebih Berjaya Dan Lebih Cemerlang di dunia & akhirat. Jadi, marilah sama-sama kita berdoa agar Allah SWT memilih kita di kalangan golongan yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

 

Kredit : Shafiqolbu

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Berpuasa Dibuktikan Dapat Mencegah Barah Oleh Saintis Jepun Yoshinori Ohsumi

30 Dec 2021

 
Oktober 2016 yang lalu, seorang saintis daripada Jepun, Yoshinori Ohsumi telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Nobel Perubatan yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM3.9 juta. Anugerah tersohor itu dianugerahkan kepada beliau atas penemuan beliau mengenai bagaimana proses pemecahan oleh sel-sel badan berlaku dan mengitar semula komponen-komponennya yang dikenali sebagai "autophagy".


Penemuan itu yang dinamakan "mechanism for autophagy", adalah mengenai proses asas dalam sel-sel yang mana para saintis mempercayai bahawa boleh dimanfaatkan untuk melawan barah dan dementia

Autophagy berasal dari perkataan Greek iaitu auto (sendiri) dan juga phagein (memakan), yang membawa maksud memakan diri sendiri. Ia adalah satu proses pengitaran semula sel dalam badan. Sel-sel di dalam badan kita sememangnya telah diprogramkan mempunyai jangka hayat tertentu. Setelah sel-sel ini rosak dan menjadi tua di mana tiada lagi tenaga untuk mengekalkan fungsinya, ia perlu dibuang dari badan.

Bagaimana barah boleh berlaku?


Barah boleh terjadi sekiranya sel-sel lama tidak mati. Bagaimana? Jika sel-sel yang telah lama dan tua tidak mati dan tidak digantikan dengan sel-sel baru, sel-sel lama ini akan terus berkembang dan bertambah. Ia akan menghasilkan sel-sel yang tidak normal yang tidak melakukan fungsi asal mereka. Lebih buruk lagi, sel-sel ini akan berkembang tanpa henti seterusnya mengganggu fungsi sel-sel lain di sekitar mereka. Perkara ini akan merangsang mutasi sel dan akan memberikan kesan buruk kepada sistem organ. 


Apabila sel-sel ini termutasi dan berkembang diluar kawalan, ia akan membentuk satu tisu yang besar yang dikenali sebagai tumor atau ketumbuhan (sebagai contoh leukemia). Ini lah merupakan titik permulaan terjadinya barah, yang dibahagikan kepada lima kategori utama, iaitu karsinoma, sarkoma, leukemia, limfoma dan CNS, bergantung kepada di kawasan di mana terjadinya pertumbuhan sel-sel tidak normal ini.

Autophagy vs Apoptosis


Terdapat satu lagi proses yang sama seperti autophagy iaitu "apoptosis" yang juga dikenali sebagai proses sel mati. Bunyi macam tidak enak, namun untuk mengekalkan kesihatan yang baik, proses ini amat penting bagi badan kita. Setelah beberapa kali melalui proses pembahagian, sel-sel badan diprogramkan untuk mati. Jika proses apoptosis ini tidak berlaku, ia juga akan menyebabkan kemungkinan berlakunya barah. 


Sebagai contoh mudah, jika anda mempunyai sebuah kereta, dan anda menggunakannya untuk beberapa ketika. Setelah berlalunya masa, kereta anda pasti akan mengalami kerosakan. Setelah berkali-kali diperbaiki, akhirnya anda perlu menukar kepada kereta baru kerana kos-kos membaiki akan menjadi semakin mahal jika kereta anda sudah berumur dan melalui pelbagai kerosakan. Jika anda tidak membeli kereta baharu, pasti wang anda akan melayang kerana dihabiskan untuk membaiki kereta.

Apa kaintan proses autophagy dan berpuasa?

Namun, jika kereta anda rosak, anda tidak lah perlu membeli kereta baharu serta-merta sebaliknya hanya menukarkan bahagian yang rosak, sebagai contoh bateri. Ia juga sama kepada sel-sel ini. Daripada membunuh kesemua sel (proses apoptosis), badan kita hanya perlu membunuh sel-sel yang lama dan rosak sahaja. Inilah yang dinamakan proses autophagy, di mana organel sub-selular dimusnahkan dan yang baru dibina semula untuk menggantikannya.

Pada tahun 1962, proses autophagy ini dinyatakan apabila saintis menyedari pertambahan jumlah lysosomes iaitu bahagian sel yang menghancurkan sel lain) di dalam hati tikus setelah disebatikan dengan glucagon.


Kekurangan nutrisi dan zat adalah pengaktif utama proses autophagy. Apabila kita makan, insulin dalam badan akan meningkat, dan ini menyebabkan penurunan glucagon, dan apabila kita tidak makan (berpuasa) maka insulin akan menurun dan glucagon akan meningkat. Peningkatan glucagon inilah yang merangsang proses autophagy ini. Jadi, untuk mengaktifkan proses autophagy, kita perlu berpuasa!


Berpuasa bukan sahaja memberikan badan kita peluang untuk membuang "barang lama", ia malah merangsang pertumbuhan hormon, yang memberitahu badan kita supaya mula untuk menghasilkan "barang baru". Jadi dengan berpuasa dapat membenarkan badan kita untuk menjalani pengubahsuaian yang lengkap.

Islam mewajibkan puasa

Sebagai ringkasan, jika kita berpuasa, badan kita akan kekurangan nutrisi dan zat, ini akan merangsang proses autophagy. Apabila proses autophagy berlaku, ia akan menggantikan sel-sel yang lama dan jahat, kepada sel-sel yang baru dan baik. Ini sekaligus menjadikan badan kita dapat berfungsi dengan lebih baik serta tidak terdedah kepada penyakit berbahaya.

Kerana itulah Islam mewajibkan umatnya untuk berpuasa sebulan di dalam setahun iaitu ketika tibanya bulan Ramadan. Bukan di bulan Ramadan sahaja, malah ia adalah sunnah Rasulullah S.A.W untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis serta hari-hari tertentu. Dengan berpuasa, badan kita akan menjadi lebih sihat dan lebih terjaga daripada dijangkiti penyakit berbahaya seperti barah. Ini amatlah penting untuk menjalani kehidupan yang berkualiti dan yang masih panjang. Jadi, berpuasa bukanlah untuk orang Islam sahaja, ia diperlukan oleh semua manusia di muka bumi ini.

Contoh mudah, setiap 3 bulan atau 5000 kilometer (mengikut jenis kenderaan), kereta kita perlu diservis bagi mengekalkan prestasinya. Sama seperti badan kita, ia juga memerlukan "servis", iaitu dengan berpuasa.

Jika bagi anda yang belum pernah mencuba berpuasa, dan baru mengetahui manfaat berpuasa, cuba lah melatih diri anda untuk berpuasa. Lihat apa kesannya pada diri anda.

Semoga bermanfaat.

Sumber : 

Kredit : Iluminasi 

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Baik Atau Buruk Pensyarah Bercinta Dengan Pelajar

28 Dec 2021


MENARA gading, satu-satunya lokasi pelbagai fungsi. Tempat menuntut ilmu, percambahan idea, perubahan kematangan diri, karakter dan ada juga yang bertemu jodoh.

Tidak menjadi isu serius jika ia melibatkan kalangan penuntut sesama mereka, namun agak luar biasa apabila ada yang mula menyimpan angan-angan untuk menjadi teman setia kepada pensyarah, tidak kira pensyarah wanita mahupun lelaki.

Jika meletakkan ia adalah ketentuan ALLAH, maka kita akur, tetapi bukankah bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi?

Elok juga memandang positif hal ini sebagai panduan pada masa hadapan. Beberapa pandangan bernas daripada pensyarah kanan berpengalaman kami tampilkan untuk mengisi kupasan Isu Kampus minggu ini. Pandangan berbeza juga dilahirkan daripada kaca mata siswa-siswi melalui pengalaman rakan-rakan yang menaruh minat kepada pensyarah mereka.

Ikuti kupasan lanjut daripada Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Mohd Faisol Ibrahim, Pensyarah Kanan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Areej Torla, Pegawai Psikologi Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perak, Che Manisah Che  Mohd Yusof, penuntut Fakulti Kejuruteraan Kimia, Bukit Besi, Terengganu, Nor Aqilah Muhamad Nasir dan Muhammad Iman Firdaus Rosly, serta penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Mohamad Yusri A.Rahman.

Perlu sedar tanggungjawab masing-masing

Senario ini memang wujud di persekitaran kampus sejak dahulu lagi tetapi dalam jumlah amat sedikit. Pengalaman saya bekerja dengan majikan lama dahulu hampir 10 tahun, memang ada penuntut yang masih belajar dan baru habis belajar berkahwin dengan pensyarah.

Ada juga baru tamat pengajian berkahwin dengan kakitangan selain pensyarah. Dalam erti kata lain, perkara ini memang wujud cuma dalam jumlah amat sedikit dan terpencil.

Jika diperhalusi faktor terdekat perkara ini berlaku adalah kerana kekerapan bertemu antara penuntut dan pensyarah, sama ada dalam dewan kuliah, bilik tutorial, perbincangan dalam kumpulan atau kerja individu.

Kekerapan bertemu ini akan mendedahkan mereka kepada bibit-bibit kasih sayang kerana masa yang panjang akan menyebabkan masing-masing mula rasa serasi, rapat, dan mesra.

Ini kerana setiap manusia yang diciptakan ALLAH SWT mempunyai nafsu untuk berpasang-pasangan dan berkahwin. Maka, ruang dan peluang yang wujud di kampus ini akan digunakan oleh mereka yang meletakkan kampus sebagai satu alternatif mencari pasangan hidup.

Semaian kasih sayang antara pensyarah dengan penuntut boleh berlaku dalam situasi penuntut itu mengikuti mata pelajaran yang diajar pensyarah terbabit dan juga boleh berlaku dalam situasi penuntut tersebut tidak pernah mengikuti mata pelajaran yang diajar pensyarah terbabit.

Kebiasaannya pihak universiti tidak menggalakkan pensyarah mengahwini penuntut semasa masih dalam pengajian. Ini kerana tugas penuntut ialah menimba ilmu sehingga berjaya, manakala pensyarah adalah pembimbing agar apa yang disampaikan mampu memberi manfaat dan nilai tambah kepada penuntut.

Selain itu perkara yang paling dibimbangi pihak universiti ialah berlaku kebocoran soalan, skema jawapan, pilih kasih memberi markah, tidak telus menilai markah dan sebagainya kepada pasangan. Jika ini berlaku, ia adalah kesalahan serius dalam dunia akademik.

Selain itu pihak universiti juga bimbang tentang keupayaan seseorang penuntut yang berkahwin dan mempunyai banyak komitmen, di samping belajar dalam keadaan berhutang, mampukah mereka habiskan pengajian? Jika mampu menghabiskan pengajian sekali pun, berapakah nilai PNGK yang diperoleh dan apakah kelas ijazah yang bakal diperoleh nanti sama ada kelas satu kepujian, kelas dua tinggi, kelas dua bawah atau kelas tiga?

Sekiranya wujud situasi pensyarah bertemu jodoh dengan penuntut yang mengambil subjek yang diajar oleh beliau, maka ketelusan sebagai seorang ahli akademik dalam menilai markah perlu diperjuangkan dan diberi keutamaan tanpa  prejudis dan memilih kasih, sekali pun pasangan pensyarah itu memperoleh markah yang kurang baik.

Sebaliknya jika wujud situasi pensyarah bertemu jodoh dengan penuntut yang bukan mengambil subjek yang diajar, tatasusila sebagai seorang ahli akademik masih perlu dijaga, di samping adab-adab sebagai seorang Islam.

Malah, jika jodoh perkahwinan semasa di kampus tidak dibajai dengan nilai-nilai Islam, dikhuatiri mewujudkan dosa, fitnah dan sebagainya. Penuntut pula berkemungkinan tidak menjaga adab dan tatasusila, timbul masalah bebas ponteng kelas, mendapat markah yang tinggi walaupun kerja tidak disiapkan, berbangga dan riak dengan rakan kuliah kerana pasangan seorang pensyarah.

Pensyarah pula berkemungkinan lebih memberi tumpuan kepada pasangannya dalam kelas sehingga mengabaikan penuntut lain, pembahagian markah tinggi kepada pasangannya tanpa justifikasi yang logik dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun kita harus membuang mentaliti bahawa perkahwinan merupakan satu halangan dalam pelajaran, sebaliknya jadikan ia sebagai satu proses mematangkan seseorang penuntut terhadap tanggungjawab, di samping menganggap jodoh di kampus merupakan pemangkin mencipta pahala berganda untuk ke syurga.
- Dr. Mohd Faisol Ibrahim - Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia


Jika boleh elakkan

Saya tidak pernah menyimpan perasaan dengan mana-mana pensyarah mahupun mereka yang bergelar guru. Bagi saya golongan ini sangat dihormati dan tidak layak untuk menyimpan perasaan apatah lagi berkeinginan untuk mengahwini individu yang bergelar sifu.

Cuma suka saya kongsikan pengalaman rakan satu kampus yang begitu menaruh minat pada pensyarah kami. Tidak dinafikan personaliti pensyarah itu begitu cantik, cukup sempurna untuk kami anggap sebagai ratu di kampus.

Boleh dikatakan setiap hari, ada sahaja kata-kata pujian yang diberikan, malah apa sahaja topik tentang kecantikan pasti nama pensyarah terbabit dikait bersama.

Pada mulanya, kelakuan dia yang suka memuji itu tidak disedari, tetapi agak keterlaluan bila dia menghantar surat sebagai secret admire dan memuji pensyarah terbabit sehingga menimbulkan rasa kurang senang oleh pensyarah tersebut.

Sebagai kawan, saya cuba nasihat agar dia lebih realistik, sedar akan kedudukan, jarak umur, dan fokus utama adalah menuntut ilmu. Tindakan sebegitu juga akan menjatuhkan maruah sendiri, juga nama baik keluarga kerana pensyarah berkenaan sudah berkahwin.

Bagi saya, bercinta dengan pensyarah jika boleh elakkanlah. Kita harus sedar minat dengan ilmu yang mereka ajar lebih bermanfaat daripada menaruh hati kepadanya.

Namun jika kedua-duanya masih solo dan keadaan mengizinkan, tidak menjadi masalah, tetapi perlu mendapat restu keluarga dan disenangi ramai.

- YUSRI ABD RAHMAN - Penuntut Polimas

Kawal diri pujuk emosi

Keakraban antara penuntut dan pensyarah mesti ada batasnya. Mereka perlu jaga tingkah laku agar mengekalkan budaya hormat kepada guru, golongan yang mengajar dan memberi ilmu kepada mereka.

Saya tidak pernah berdepan dengan situasi rakan-rakan bercinta mahupun berkahwin dengan pensyarah. Pendirian saya, mereka wajib sedar sebelum lebih parah kerana perkara ini melibatkan perasaan.

Ia dikhuatiri menjurus kepada dendam dan kecewa jika cinta tidak berbalas. Ia juga akan mendatangkan kesan buruk, seperti gagal dalam peperiksaan dan malas belajar kerana mungkin harapan sudah musnah.

Tidak salah mempunyai secret admire, kerana minat mungkin kita akan rasa lebih bermotivasi untuk sama-sama mengejar kejayaan seperti pensyarah, terutama dalam bidang yang diajar.

Namun tidak sesuai menaruh perasaan jika sedar pensyarah terbabit sudah punya keluarga. Konflik lebih besar pasti berlaku, sedangkan sebagai mahasiswa kita tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

Perbuatan seperti mengajak pensyarah bertemu empat mata juga harus dielakkan. Bawalah kawan untuk elak fitnah, jangan terlalu pentingkan diri sendiri untuk mencipta laluan mudah kepada fitnah walaupun mengadakan perbincangan di tempat terbuka.

Saya tidak meletakkan kesalahan sekiranya pensyarah berhias ketika mengajar. Itu satu keperluan bukan sahaja untuk tampil menarik di hadapan anak didiknya, tetapi juga khalayak.  Malah, sesuai dengan tugas mereka yang mendidik agar sentiasa menjaga keterampilan diri.

Pada hemat saya, jika ada yang menyimpan angan-angan seperti ini, elok kaji dahulu dan muhasabahlah diri.

- MUHAMMAD FIRDAUS IMAN ROSLY
Penuntut UiTM



Siswa dan pensyarah dua kelompok berbeza  

siswa datang dan berterus-terang nyatakan minat pada saya, memang tidak ada, tetapi bila saya ke akaun media sosial, ada bait-bait yang ditujukan kepada saya. Selalunya pelajar perempuan akan menjadi infomer.

Sudah menjadi lumrah, apabila tampil dengan personaliti tersendiri, ada yang  memuji, namun saya anggap itu pujian biasa daripada seorang anak murid kepada gurunya.

Mula mengajar seawal usia 30, jadi waktu itu saya berdepan dengan anak didik yang jarak umurnya dalam lapan ke 10 tahun, jadi situasi ini di bawah sedar saya.

Personaliti saya yang sering berfikiran terbuka dan out going juga menjadikan mereka mudah mendampingi saya. Namun saya lebih suka terus-terang kerana ketika mula mengajar saya telah pun berkahwin.

Pendapat saya, tidak sopan penuntut menjalin hubungan dengan pensyarah. Ini akan memberi kesan sama ada ke atas emosi mahupun akademik.

Mereka mungkin mudah hilang fokus, manakala pensyarah pula berkemungkinan besar hilang hormat daripada siswa-siswi yang lain. Ia tidak salah jika itu jodoh mereka, namun cuba elakkan, kecuali sudah tamat pengajian.

Penuntut juga tidak patut menyimpan perasaan sebegitu sekali pun pensyarah itu mempunyai ciri-ciri lelaki atau wanita idaman mereka. Harus diakui, penuntut dan pensyarah adalah dua kelompok berbeza.

Perlu lebih persediaan fizikal dan mental bagi yang berperasaan sebegitu. Perlu kembali pada niat asal, menara gading adalah tempat menuntut ilmu, namun tidak salah untuk mencari pasangan jika kena pada tempatnya. 

- DR AREEJ TORLA
Pensyarah Kanan/Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang UIAM



Utamakan pelajaran dahulu

Senior saya pernah menaruh perasaan kepada pensyarah yang jarak umur 10 tahun lebih tua daripadanya. Cintanya tidak berbalas, akibatnya dia jadi murung. Kami sedar perubahan itu kerana dia seorang yang ceria.

Sebagai rakan sebilik, kami simpati dengan nasib menimpanya, lagipun awal-awal lagi pensyarah itu tidak layan dia, apatah lagi memberi harapan. Tetapi dia berdegil dan sikap itu akhirnya memakan dirinya sehingga menyebabkan dia tidak bersemangat untuk ke kelas.

Pada pendapat saya, sebagai penuntut, kita harus tanam kesedaran untuk lebih menuntut ilmu. Mungkin tidak salah meminati pensyarah, lagipun pada masa kini, ada yang sudah berjawatan itu seawal usia 30an. Di kampus saya ketika ini pun, kami menerima tunjuk ajar daripada tenaga profesional yang muda-muda.

Tidak timbul soal untuk minat lebih-lebih kerana pensyarah sepatutnya dihormati. Untuk memastikan perkara ini adil bagi kedua-dua belah pihak, pensyarah perlu tegas ketika sesi memperkenalkan diri.

Terus-terang jika nampak perubahan pada anak didik, sama ada di bawah bimbingan mereka mahupun yang belajar bidang lain. Ini juga boleh mengelakkan daripada pandangan serong dan membersihkan imej masing-masing.  

Bagi saya banyak kesan buruk ke atas penuntut jika suka menaruh hati pada pensyarah. Pada usia seperti ini, buatlah pilihan bijak dengan belajar dahulu sehingga mencapai apa yang dihajati, sekali gus membahagiakan hati ibu bapa.

- NOR AQILAH MUHAMAD NASIR
Penuntut UiTM

Kredit  : SinarHarian

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang
 

Responsive Advertisement

RECENT COMMENTS

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

Online

Artikel Lain

© LAMAN QASEH • Theme by Maira G.