SLIDER

HADIS 'PAYUNG EMAS' PALSU . Ustazah Asma turut memberi Pandangan atas Pencerahan Datuk Seri Zulkifli




Istilah 'Payung Emas' yang akan diperolehi wanita sekiranya membenarkan suaminya berpoligami berikutan ia sunnah Rasulullah SAW merupakan hadis palsu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukum atas sesuatu perkara berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak perlu melihat kepada maslahat perkara itu. 
Ustazah Asma' Harun turut memberi pandangannya berkenaan pencerahan yang diberikan oleh Datuk Seri Zulkifli.
Alhamdulillah, semoga dengan pencerahan ini, kita lebih berhati-hati berkata atau menulis berkaitan isu ini, daripada dulu saya konsisten menyatakan bahawa ia adalah palsu, namun tetap pihak-pihak guna pakai, kadang dengan nada bergurau.
Bahkan selalu diingatkan kepada lelaki yang ingin berpoligami, jangan memaksa isteri dengan mengingatkan tentang besarnya ganjaran itu ini hingga menggunakan hujjah palsu, paksa terima atas nama taqdir dan jodoh, jika anda sebenarnya tidak mampu dan tidak layak. Tambah pula isteri tidak mahu, telah berikan khidmat yang sehabis baik, maksudnya tiada sebab kukuh syara’ atau tidak sihat hingga tak mampu memenuhi keperluan batin, atau tidak dapat hamil, atau mungkin mempunyai akhlak yang sangat buruk.

Mudahan si isteri dapat pahala dan Syurga atas sabarnya, bimbang suami pula tiada di syurga atas sebab berlaku zalim. Zalim ni memang luas dan perlu perbahasan ilmiah, ramai yang rasa dia tak buat zalim sebab isteri tak bersuara, suami seolah boleh guna kuasanya atas alasan wajib ditaati. Jika suami dah cuba sehabis baik, namun isteri tetap tidak mampu terima, maka tidaklah zalim lagi.
Ingatlah menyakiti hati saudara muslim itu perbuatan dilarang, sakitkan hati kawan-kawan pun diberi dosa, ini hati isteri yang telah banyak memberi bakti. Data kelahiran anak lelaki di Malaysia masih ramai lagi lelaki berbanding perempuan, jika dibuat alasan itu juga perlu diperhalusi.
Benar, memang ada poligami yang harmoni, boleh dijadikan contoh kepada ummah. Biasanya suami ni memang seorang yang luar biasa usaha untuk berikan yang terbaik dalam pelbagai segi, juga yang ada ikhtiar merawat hati isteri pertama dan anak-anak secara berterusan.

Paling utama adalah benar-benar ikut cara Nabi SAW. Kenapa setelah kewafatan Saidatina Khadijah RA baru Nabi mula poligami, pada usia 53 tahun dan ke atas, semua tu boleh jadi timbang tara. Dengan siapa yang dinikahi, atas dasar apa dan lain-lain. Memang bila dikaji, setiap apa yang Nabi SAW lakukan ada hikmah besar. Maka yang ingin bernikah lagi dengan alasan sunnah Nabi SAW, paling penting cara pelaksanaan juga diikuti. Hadis berkaitan Nabi SAW tidak setuju anakanda Fatimah R.A. untuk dimadukan adalah sahih.
Bahkan tidak berdosa isteri yang menolak keinginan suami berpoligami atas sebab tertentu, petikan daripada artikel pada link di bawah:

“Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah R.A. bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Thalib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian daripadaku, aku merasa senang dengan apa sahaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya."

Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
وَأَنَا أَتَخَوَّفُ أَنْ تُفْتَنَ فِي دِينِهَا يَعْنِي أَنَّهَا لَا تَصْبِرُ عَلَى الْغَيْرَةِ فَيَقَعُ مِنْهَا فِي حَقِّ زَوْجِهَا فِي حَالِ الْغَضَبِ مَا لَا يَلِيقُ بِحَالِهَا فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”
Rujuk Fath al-Bari (9/329)

Bacaan penuh:
Kenapa ia terlalu sakit?
Banyak sebab. Antaranya:
Kebanyakan pasangan daripada awal nikah, bermula dengan kehidupan yang susah dan payah, lahirkan seorang demi seorang anak, diasuh dididik hingga dewasa, penat lelah tak boleh dibayangkan, namun tiba saatnya dah mula dapat melepaskan lelah sedikit demi sedikit, nak menikmati kehidupan yang damai, anak dah membesar, menunggu masa untuk bermenantu dan bercucu, tiba datang ujian kasih dan perhatian perlu dikongsi, waktu dan perancangan semua perlu berbahagi, ia adalah satu ujian yang sangat berat 😢.

Memang tidak menidakkan tentang isteri kedua juga ada hak, namun tetap ada berbeza, contohnya bab harta sepencarian pun dah berbeza, isteri pertama dah boleh buat tuntuan dalam tempoh nikah, Islam agama yang sangat teliti, menjaga hak semua pihak.

Suami yang kalian nikahi, lagi pula pada umur yang tertentu, dia dijaga dirapi selama ini oleh sang isteri yang teliti, sebab itu si suami dilihat menawan, didoakan dan diberikan sokongan tidak berbelah bagi, hingga si suami dilihat kecukupan. Isteri yang baru hadir, harus mengerti dengan sebenarnya, kenapa susahnya yang pertama ini untuk berlapang dada, bukan tidak redha pada Ilahi, namun lukanya pada manusia yang dipercayai dan dicintai.
Kerana itu, bagi wanita yang tidak mampu hidup berpoligami, hingga memberikan tekanan emosi dan mental, sakit pula dah bertambah, hingga darah tinggi dan lain-lain. Maka bukan menjadi satu laknat Allah, jika wanita ini mohon dilepaskan.

Daripada pengalaman saya di Jabatan Agama Islam menguruskan pasangan poligami, kebanyakan isteri pertama yang ingin dilepaskan, bukan faktor utama kerana benci poligami, mereka faham tentang hukum, atau sebab tidak redha dengan taqdir, namun demi mencari ketenangan dan kedamaian hidup di hujung usia, saat hati dah tak kuat nak berperang dengan perasaan sendiri.

Allahu Akbar, memang kita akan jumpa ada isteri pertama yang sangat sabar dan tenang, yang selalu menutupi kedukaan dengan senyuman, begitu juga isteri kedua, ketiga dan keempat yang begitu sabar dan redha dengan keadaan dan himpitan yang perlu selalu mengalah itu dan ini. Memang seolahnya dunia seperti lebih berpihak kepada yang pertama hingga kadang ramai yang kedua, ketiga dan keempat menderita, sebab itu penting sangat, sebelum nikah dibuat dengan baik, jumpa isteri pertama, tanya daripada hati wanita kepada wanita. Bahkan memang ada, wanita yang ingin mencarikan suaminya isteri, memang ada yang sangat terbuka, manusia kan berbeza, perasaan pun berbeza. Ada yang cemburunya sangat rendah.

Itulah pernikahan, monogami juga tidak lepas daripada ujian demi ujian, apatah lagi poligami. Si suami jangan hanya menuntut redha daripada isteri dan anak-anak, kalian juga kena redha dengan ketidakmampuan isteri dan anak-anak untuk menerima apa yang berlaku dengan berlapang dada. Sebelum meminta, berilah dulu, kerana bahagia yang dibina adalah atas banyaknya luka orang yang banyak berkorban dalam hidup kamu.

Maaf salah silap dalam tulisan ini, isu sensitif yang sentiasa ulasannya tidak akan berakhir dengan baik untuk semua pihak.

Kredit : Astro Awani

Kongsikan artikel atau luahan kisah anda di sini => lamanqaseh/borang


No comments

Responsive Advertisement

RECENT COMMENTS

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

Online

Artikel Lain

© LAMAN QASEH • Theme by Maira G.