SLIDER

Suami Tikus. Jadi Isteri Kedua, Bukan Semuanya Indah


Apabila pembaca membaca kisah saya ini, mungkin anda bukan setakat geram, tetapi benci dan marah. Saya pasti dicap perampas, kerana saya kahwin suami orang. Itulah kebencian terbesar kaum wanita bila dapat tahu ada wanita sanggup bermadu. Namun anda mesti ingat kadak dan kadar Allah.’’ Itu cerita Nurhazura Hasni dalam emelnya. “Seperti gadis-gadis lain, saya tak pernah terfikir kahwin suami orang. Saya juga ada perasaan tidak mahu berkongsi kasih. Tetapi, saya bukanlah penentu hidup ini, segala-galanya urusan Allah. Dan sebagai manusia kita hendaklah redha dengan ketentuan Allah. 

“Saya bawakan kisah hidup saya ini supaya anda berfikir bahawa bukan isteri pertama sahaja terseksa jika dimadukan. Lebih menderita isteri kedua. Sudahlah kami dicaci dan dibenci, lebih menderita suami tidak pernah ambil peduli kehidupan kami, sebaliknya, kami dianggap sebagai `penumpang’, dipaksa tanggung diri sendiri selain menyara anak-anak yang saya lahirkan. Kerana ramai suami takutkan isteri pertama. “Tidak saya nafikan ada isteri kedua berlagak macam queen dan si suami takut macam tikus dan melupakan isteri pertama dan anak-anaknya. Dalam kes ini tentu pembaca boleh bandingankan, apakah salah isteri pertama atau isteri kedua jika hidup mereka terpinggir dan terseksa. Di mana peranan suami? 

Adakah dia adil? Jika tidak adil layakkah suami berpoligami? Jadi jangan salahkan isteri kedua jika kami kahwin suami orang! “Semasa menuntut dulu memang saya ada ramai kawan. Tetapi tidak ada satu pun yang istimewa. Sebab pertama ramai jejaka ketika menuntut sudah `dipancing’. Ataupun dia keluarga carikan jodoh mereka. Jadi habis belajar saya terkapaikapai tanpa teman istimewa.

“Apabila masuk alam pekerjaan, keliling saya semuanya sudah berkeluarga. Kalaupun ada seorang berdua belum berkahwin mereka sudah bertunang ataupun ada yang secara terang-terang tergolong kepada kumpulan sukakan kaum sejenis. “Balik rumah, emak bising suruh cepat kahwin, apa emak fikir suami boleh pilih dalam `rumah kaca’ atau macam pilih ikan di pasar? Akhirnya kerana sibuk bekerja saya terlupa buat sementara bab cari jodoh. Tambahan pulak di pejabat terdapat beberapa orang gadis senior yang belum kahwin, Mereka releks! Tak sibuk cari jodoh. Sebaliknya bahagia tanpa suami

“Tetapi emak saya tak boleh terima bab anak gadisnya tak kahwin. Akhirnya saya akur dengan emak. Malangnya bila hati terbuka nak kahwin, hanya suami orang yang tawarkan diri. Ketika itu saya berusia 32 tahun, sedangkan mereka 50an tahun. Namun dalam banyak-banyak tawaran saya tertarik pada Ewan, berusia 48 tahun, ada 3 orang anak. “Sebab saya tertarik dengan Ewan kerana dia serius, dan dia tegas dengan katakatanya. Jadi bila dia kata akan uruskan masalah isteri pertama dan rumah tangganya saya terus percaya. Sebab dia tak banyak cakap dan serious. Lebih penting dari perwatakannya saya yakin dia boleh berlaku adil apabila berpoligami.

“Tetapi bila saya cakap pada emak, pastilah emak bantah. Katanya dia tak pilih menantu orang kaya, berduit atau berpangkat, asalkan tahu tanggungjawab sebagai suami sudah baik. Saya beritahu emak Ewan pun bukan berpangkat. Masalahnya kata emak dia ada anak isteri. Mana ada isteri boleh sabar jika suami berpoligami. Saya pun puji Ewan, dia serius, tegas dan katanya dia boleh uruskan isterinya dan kami tidak akan bermasalah. Kalau betul Ewan bagus kenapa nikah ke Siam? Itu tanda takut isteri kata emak. Tapi saya yakinkan Ewan tak mahu kecoh dan mahu pernikahan kami berlangsung aman.

“Sebenarnya kahwin dengan suami orang memang banyak masalahnya, kawan pejabat juga ada yang tak suka, yang senior juga kutuk, katanya saya sengaja `tempah masalah.’ Bermadu kata mereka lebih banyak masalah dan buat banyak dosa. Ada juga kata saya perampas suami orang, dan hancurkan rumahtangga orang. “Memang benar bila dah nikah baru saya sedar nasihat emak memang banyak benarnya. Ewan tak mahu daftarkah pernikahan kami di Malaysia. Katanya nikah dah sah apa masalahnya? Tapi saya berkeras saya tak mahu anak saya boleh didaftarkan di negeri ini. Kebetulan ketika itu saya hamil 3 bulan setelah dua tahun bertangguh kerana Ewan tak mahu anak.

“Bila saya berkeras daftarkan sendiri pernikahan, Ewan berang. Dia protes tak mahu balik ke rumah saya lagi. Rupanya dia takut isterinya tahu. Bila terbongkar kaki Ewan kena ikat dia tak boleh ke rumah saya. Kalau selama ini Ewan pernah bermalam di rumah saya, setelah daftar Ewan cuma balik ketika makan tengah hari waktu bekerja dan saya terpaksa ambil cuti. Ewan juga tak boleh keluar rumah hari Sabtu dan Ahad begitu juga waktu malam. “Kalau dulu Ewan serius dan tegas orangnya, rupanya dengan isterinya dia jadi tikus. Semua janjinya sebelum kahwin boleh membentuk, melentur dan menasihati isterinya semuanya `drama’, dia sendiri tidak berani angkat muka dengan isterinya.

Kata kawan Ewan, isterinya lembut, suara tak keluar, cuma tersenyum , tetapi Ewan takut dan tak berani bersuara. “Saya hairan kenapa Ewan tak berani berterus terang dengan isterinya, sedangkan dengan saya dia tegas, malah nak keluar duit belanja rumah untuk saya pun payah. Paling menyiksakan Ewan tidak mahu temankan saya jumpa doctor untuk pemeriksaan. Dia suruh pergi sendiri. Lebih malang ketika sakit Ewan tak berani hantar ke hospital apa lagi temankan saya ketika di hospital. Lepas seminggu baru Ewan menjengok. Alasannya banyak kerja.

“Kerja apa? Kerja saya lebih banyak dan kedudukan saya lebih tinggi daripada dia. Sebenarnya dia takutkan isterinya. Kerana tidak ada orang membantu, saya terpaksa minta tolong teman hantarkan saya balik kampung. Emak saya senyum, dia boleh teka masalah saya. “Kalau sebelum ini saya tak minta duit dari Ewan, pandai sayalah uruskan hidup sendiri, tetapi setelah ada anak saya minta nafkah anak dari Ewan. Tetapi alangkah sedihnya bila Ewan beri cuma RM200 katanya dia tak cukup duit. 

“Bila Hari Raya lagi sedih, sepanjang 8 tahun berkahwin tak pernah dia beraya di rumah emak saya. Saya minta dia berlaku adil, tapi alasannya dia tak boleh biarkan isteri dan anak-anaknya balik kampung sendirian. Habis saya sapa temankan? Saya balik kampung memandu sendiri dengan anak kecil. Kalau bergilir apa salahnya? Tapi Ewan memang penakut. Namun dalam marah benci dan tidak dapat nafkah secukupnya, saya lahirkan seorang lagi anak. “Beranak kali kedua memang Ewan marah, katanya dia tak mampu tanggung ramai anak. Sana ada 4, sini 2 dah jadi 6 dia tak mampu. Tak mampu macam mana? Dia cuma beri saya RM350 sebulan untuk 2 orang anak. Nak bayar upah pengasuh anak pun tak cukup apa lagi beli susu, pakaian, lampin pakai buang dan sebagainya.

 Jika masih baby dia tak mampu, macam mana jika anak-anak ini benar nanti? Apakah saya mesti tanggung sendiri? “Peristiwa paling malu selepas kedua-dua orang anak dilahirkan, Ewan masih tak datang ke hospital. Tak ada orang anak azan dan khamatkan anak saya. Akhirnya saya terpaksa panggil kawan. Sungguh memalukan bila mereka tanya Ewan mana? Ewan datang ke rumah ketika saya bersiap-siap nak balik kampung. Ewan tak berani hantar saya ke kampung. “Saya tidak tahu sama ada terdapat wanita lain senasib saya. Tetapi saya terpaksa kuatkan diri dan tahan kesakitan semuanya kerana anak. Kata emak nasib saya tak bentan atau gila meroyan. 

Tetapi saya terpaksa kuatkan semangat. Rasanya tak berbaloi saya hancurkan hidup saya kerana lelaki seperti Ewan yang tak bertanggungjawab ini. Setiap kali dalam pantang saya sering berfikir patutkah saya minta cerai? “Sebabnya Ewan tak pernah bersusah payah carikan tukang urut, sediakan makan saya dalam berpantang, cari ikan haruan supaya luka cepat sembuh. Dia tak peduli, semua emak siapkan. Emak jaga anak saya sedangkan Ewan bergembira dengan isterinya. Lagi keciwa dia tak pernah keluar duit sambut kelahiran anak ini seperti buat kenduri akikah. Saya yang buat.

“Lebih keciwa bila Ewan kata tak cukup duit, tetapi dia boleh belikan 2 buah kereta untuk 2 anaknya belajar di kolej, tak termasuk kereta baru untuk isterinya. Kalau saya congak-congak macam mana dia ada banyak duit, kerana gajinya bukan banyak sangat. “Walaupun saya sering menangis sendirian, tetapi setelah melihat mata anak-anak, saya kembali tenang. Ewan tak sukakan anak-anak saya kerana perkahwinan kami bukan sahaja tidak disukai oleh isterinya, tetapi ibu bapanya sendiri sejak kami mula kahwin lagi. Mereka suruh Ewan ceraikan saya. Tetapi atas kehendak Allah juga tahun lalu, anak perempuannya kahwin suami orang.

Mengapa tak suruh bercerai? Inilah namanya takdir dan balasan Allah. “Dulu saya kata ibu bapa Ewan tak percayakan takdir dan kadak kadar Allah. Sekarang setelah apa yang berlaku dalam keluarganya, mungkin mereka telah insaf. Tetapi saya pulak sudah hilang keyakinan pada Ewan, melihat kegagalannya membentuk keluarga dan dirinya sendiri bukanlah suami yang adil. Dia berat sebelah. Kalau makan minum anak-anak saya yang pikul, apa peranan dia sebagai ayah?

“Rasanya daripada buat banyak dosa lebih baik bercerai. Akhirnya atas persetujuan bersama Ewan mahu ceraikan saya, tetapi syaratnya saya tidak boleh minta nafkah, saya tolak. Saya nasihatkan dia jangan buat banyak dosa lagi. Biasalah, ding dong, ding dong cerai lambat diuruskan. Tapi saya desak Ewan beri nafkah jika tidak saya panjat pejabatnya. “Persoalannya jika ada orang kata perempuan sanggup jadi isteri kedua kerana kejar kekayaan, bukan semuanya benar. Lebih ramai isteri kedua hidup menderita, gara-gara suami tak tegas, tak adil dan tidak tahu tanggungjawab jadi suami.’’ Itu cerita Nurhazura Hasni tentang pengalaman pahitnya jadi isteri kedua teruk dan menyakitkan hati.


Kredit :DcckMona

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

No comments

Responsive Advertisement

RECENT COMMENTS

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

Online

Artikel Lain

© LAMAN QASEH • Theme by Maira G.